KUALA LUMPUR - Jumaat lepas, ratusan penyokong Umno berhimpun depan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi menyatakan sokongan kepada Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Hari ini, bekas Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak pula sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Jika ratusan berhimpun semasa pendakwaan Ahmad Zahid, situasi berbeza pula berlaku ketika Najib didakwa, hari ini.

Suasana di hadapan mahkamah aman damai. Lengang. Tiada langsung kelibat penyokong Najib ‘memekik-mekik’ mendesak pihak keselamatan membuka pagar.

[ARTIKEL BERKAITAN: Ratusan ahli Umno hadir sokong Zahid]

Tinjauan Sinar Harian mendapat tiada satu pun kelibat baju merah berada di luar mahkamah. Berbeza sungguh jika dibandingkan dengan minggu lepas.

Mungkinkah ketiadaan penyokong disebabkan ini bukanlah kali pertama Najib didakwa? Pertama kali didakwa tempoh hari, ramai juga penyokong turun.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid kelihatan tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur kira-kira jam 9.00 pagi tadi.

Ketika ditanya tujuan beliau datang, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mengatakan beliau mahu memberikan sokongan moral kepada Najib.

“Saya datang untuk beri sokongan moral kepada beliau,” katanya ringkas.

[ARTIKEL BERKAITAN: Najib, Irwan Serigar dan Hasanah didakwa esok]

Najib, bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah dan bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas kesalahan pecah amanah.

Najib dan Irwan berdepan enam pertuduhan pecah amanah membabitkan lebih RM6 bilion.

Manakala Hasanah pula berdepan satu pertuduhan pecah amanah melibatkan jumlah AS$12.1 juta..

Pertuduhan ke atas ketiga-tiga mereka didengar di hadapan hakim, Azman Ahmad.