KUALA LUMPUR - Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur kecoh apabila penyokong bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mempersoalkan tindakan pihak berkuasa yang tidak membenarkan mereka memasuki pekarangan mahkamah.

Kekecohan timbul selepas Ahli Parlimen Bera Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba untuk memasuki namun dihalang.

Insiden itu menyebabkan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) mengambil tempat di hadapan pintu masuk mahkamah.

Selepas rundingan dengan pegawai polis, Ismail dan tiga lagi individu dibenarkan memasuki pekarangan bagi mengikuti prosiding di dalam galeri awam.

Ismail ketika ditemui berkata, beliau hadir bagi memberi sokongan kepada bekas pemimpin Umno itu.

Tidak lama selepas itu, Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Pengerusi Badan Pemantau Kerajaan Baharu, Datuk Lokman Noor Adam turut dibenarkan memasuki pekarangan mahkamah.

Prosiding pendakwaan terhadap Najib sedang  berlangsung dengan pertuduhan sedang dibacakan.