BIASANYA jika berkunjung ke Temerloh, menu pilihan ramai pelanggan khususnya dari luar sudah tentulah masakan ikan patin.

Pelbagai menu masakan lain sama ada masakan tradisional atau ala barat turut tenggelam dengan populariti ikan patin.

Namun, terdapat sebuah kedai makanan barat yang sangat popular hingga menjadi pilihan pertama penduduk daerah ini.

Dimiliki pasangan suami isteri tempatan, Sidin Cafe yang beroperasi di Dynaton Bukit Angin menjadi pilihan paling ramai khususnya warga Temerloh yang sesekali ingin beralih selera menikmati masakan ala barat.

Pemiliknya, Mohd Fadzrul Nashriq, 34, dan Nurul Huda Ahmad 33, asalnya peniaga nasi kukus tepi jalan tetapi memberanikan diri membuka sebuah kedai makanan ala barat di bandar Temerloh yang dimonopoli perniagaan ikan patin.

Pelanggan boleh memilih lebih 40 menu masakan barat di Sidin Cafe.

Nurul Huda berkata, semua 40 menu masakan barat yang dihasilkan adalah resipi ciptaannya sendiri.

Menurutnya, dibantu 18 pekerja, kedai makan yang beroperasi tiga tahun lalu di Dynaton Bukit Angin bukanlah seperti yang dilihat sekarang.

“Asalnya saya sewa dua kedai, satu kedai saya jadikan kedai makan dan satu lagi saya buat butik jualan baju yang saya usahakan sebelum ini.

“Tapi bila sambutan yang baik dari orang ramai kami kemudian tutup butik dan tumpu pada makanan barat di dua kedai ini.

“Alhamdulillah, selepas menimba ilmu menerusi kaedah pemasaran menerusi Facebook, Sidin Cafe ‘meletup’ dalam tempoh singkat,” katanya.

Nurul Huda berkata, menu paling popular ketika ini adalah BBQ smoke shortrib yang mana pelanggan dihidangkan dengan daging tulang rusuk dengan sos BBQ salai diimport dari Texas, Amerika Syarikat.

Katanya, minuman paling laku sekarang cocolava dan caramel sweetcorn memang paling laris.

Sementara itu Mohd Fadzrul berkata, nama Sidin Cafe diambil sempena arwah toknya. Ia dijadikan jenama perniagaannya kerana lebih bersifat lokal, mudah diingat dan lain dari yang lain.

Menurutnya, selain promosi menerusi media sosial, kaedah paling mudah menarik pelanggan adalah dengan sopan santun dan budi bahasa.

“Selain perkhidmatan yang pantas, kami utamakan budi bahasa.

“Kami antara pelopor perniagaan kedai makan berkonsep barat sepenuhnya yang menerima sambutan baik dari pelanggan pelbagai bangsa,” katanya.