ALOR SETAR - Nasi kukus yang popular di Kelantan kini boleh didapati di Alor Setar dan disesuaikan dengan citarasa masyarakat utara namun kualitinya masih sama.

Pengasas Nasi Kukus Ayam Berempah Musang Teghiyak, Mohd Fuad Razali, 54, berkata, perniagaan yang dibuka sejak 22 Julai lalu mendapat sambutan yang mengalakkan termasuk ditempah untuk program-program luar.

Menurutnya, beliau mengakui nama hidangan menjadi salah satu tarikan termasuk kualiti yang diberikan keutamaan kepada nasi yang dikukus dan juga ayam gorengnya.

"Sebelum memulakan perniagaan keluarga ini, memang saya minta cadangan nama untuk mengkomersialkan perniagaan dari anak-anak dan jelas mereka memberikan sokongan yang cukup tinggi.

"Idea musang teghiyak (teriak) ini datang dari anak kedua, Abdullah Fahmi, 28, dan kami sepakat menggunakannya kerana unik," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di gerai makan berdepan Masjid Al Bulkhari Pantai Johor, Anak Bukit dekat sini.

Mohd Fuad yang merupakan bekas ketua biro di sebuah akhbar berkata, mereka sepakat menggunakan nama itu selepas mengambil kira beberapa nama makanan lain seperti nasi daging harimau menangis yang kini jadi tumpuan di utara.

Jelasnya, resepi nasi kukus itu dipelajari dari seorang tukang masak Kelantan dan bezanya hanya kuah kari ayam dan pajeri nenas yang disesuaikan dengan kehendak masyarakat di Kedah.

"Antara bahagian makanan ini yang menjadi pelengkap adalah sambal dan kualiti termasuk rasanya kami kekalkan seperti di Kelantan.

"Elemen rasa yang pelbagai seperti adanya sedikit manis, pedas dan masin membangkitkan lagi selera makan apabila digabungkan dengan nasi yang dikukus dan ayam goreng berempah," katanya lagi.

Menurutnya, pelanggan yang makan di kedai tersebut boleh menambah nasi secara percuma sebagai satu kaedah beliau yang mahu bersedekah melalui konsep perniagaan.

"Setiap hidangan makanan telah ditetapkan harga RM6 tidak termasuk air. Namun pada setiap hari Khamis kami menyediakan air sirap secara percuma," katanya.

Mohd Fuad berkata, pihaknya juga turut menyediakan khidmat penghantaran dalam lingkungan 10 kilometer sekitar Alor Setar yang dikenakan caj sebanyak RM2.

Peredaran zaman pada hari ini turut menuntut beliau menggunakan teknologi sedia ada seperti media sosial apabila makanan tersebut turut dipromosikan menggunakan medium Facebook dan Instagram.

"Saya bersyukur enam anak saya termasuk isteri, Jawahil Ismail, 54, turut membantu saya terutamanya pada hari cuti hujung minggu kerana kebiasaan kami banyak menerima tempahan luar.

"Anak sulung saya, Nur Farhana, 29 pula bertindak sebagai pengurus iklan yang mempromosikan perniagaan kami di Facebook walaupun beliau tinggal di Kuala Lumpur," jelasnya.

Tambahnya, setiap hari sebanyak lapan ekor ayam perlu disediakan dan bilangannya bertambah bila menjelang hujung minggu dan mensasarkan untuk mencapai 20 ekor sehari selepas ini pada masa hadapan.