KUALA LUMPUR – Top Glove Corporation Bhd tidak akan mengambil sebarang tindakan undang-undang ke atas akhbar United Kingdom, The Guardian yang mendakwa pengeluar sarung tangan getah itu menggunakan tenaga kerja secara paksa.

Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Lim Wee Chai berkata, ini berikutan pendirian syarikat yang lebih mengutamakan usaha menjalankan perniagaan.

“Kami bukannya dalam ‘perniagaan’ untuk menyaman pihak lain. Pada masa ini, kami tidak akan mengambil tindakan (undang-undang) kerana tidak mahu membelanjakan sumber, masa dan tenaga ke atas perkara yang bukan produktif.

“Kami hanya berminat menjalankan lebih banyak perniagaan daripada (menumpukan) usaha bersengketa dengan pihak lain (The Guardian),” katanya kepada pemberita pada satu sidang menerusi telefon, hari ini.

Akhbar itu mendakwa Top Glove menindas ribuan pekerja, termasuk memaksa mereka bekerja melepasi had tempoh kerja lebih masa sebanyak 104 jam sebagaimana ditetapkan dalam Akta Pekerjaan 1955 selain beban hutang dan merampas pasport pekerja.

Mengulas perkara itu, Lim sebaliknya menegaskan Top Glove mematuhi dasar gaji minimum Malaysia manakala gaji kerja lebih masa juga mengikut akta pekerja dan akur kepada tempoh lebih masa maksimum 104 jam dalam masa sebulan.

Top Glove juga baru-baru ini dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Tempat Kerja Paling Sihat oleh firma penginsurans AIA pada Sidang Kemuncak Tempat Kerja Paling Sihat Malaysia 2018. - Bernama