KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini membatalkan saman pemula oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menuntut deklarasi bahawa Laporan Suruhanjaya Siasatan Untuk Menyiasat Kerugian Urus Niaga Mata Wang Asing Oleh Bank Negara Malaysia Sekitar Tahun 1990-an adalah tidak sah dan terbatal.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Dr Mahathir memberitahu pemberita bahawa Hakim Datuk Azizah Nawawi membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk membatalkan saman pemula oleh  Dr Mahathir.

Mohamed Haniff Khatri berkata Hakim Azizah dalam keputusannya berpendapat bahawa mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk mencabar laporan suruhanjaya itu.

"Maka, permohonan AGC dibenarkan tanpa sebarang kos. Tindakan saman dikemukakan anak guam saya juga dibatalkan tanpa pendengaran merit," katanya kepada pemberita selepas keputusan kes itu  di dalam kamar hakim yang turut dihadiri Peguam Kanan Persekutuan Mazlifah Ayob, bertindak bagi pihak AGC.

Peguam itu berkata beliau akan berbincang dengan anak guamnya sama ada ingin merayu berhubung keputusan hari ini ataupun sebaliknya.

Dr Mahathir, selaku plaintif memfailkan saman pemula pada awal Disember 2017, dengan menamakan pengerusi suruhanjaya itu, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, anggota-anggota suruhanjaya iaitu Datuk Wira Kamaludin Md Said, Datuk Seri Tajuddin Atan, Tan Sri Saw Choo Boon, K.Pushpanathanan dan Datuk Dr Yusof Ismail, juga  bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, jemaah menteri serta kerajaan sebagai defendan.

Dalam saman itu, Dr Mahathir memohon pengisytiharan bahawa laporan suruhanjaya mengenai kerugian urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara Malaysia adalah tidak sah dan terbatal kerana tidak memasukkan dokumen undang-undang saksi dan nota prosiding.

Beliau memohon pengisytiharan bahawa laporan berkenaan adalah tidak sah, tidak lengkap dan tidak terpakai kerana tidak mengandungi nota prosiding, hujah bertulis dan hujah lisan melalui transkripsi atau rakaman video.

Turut dipohon pengisytiharan bahawa mana-mana 'Laporan Siasatan Diraja' oleh mana-mana Suruhanjaya Siasatan Diraja yang ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 hanya sah dari segi undang-undang dan terpakai jika ia mengandungi semua kenyataan bertulis oleh saksi-saksi yang memberi keterangan dalam prosiding, nota prosiding dan dapatan. - Bernama