SAYA menerima sebuah pang­gilan daripada Talib, seorang kawan. Katanya, dia ber­masalah. Lantas kami berjumpa di sebuah kafe di mana saya minta dia ceritakan apa masalahnya.

Sebagai permulaan, Talib ialah seorang pengarah operasi di sebuah kilang pemakanan. Dia bertang­gungjawab ke atas lebih 100 orang pekerja.

Perhubungannya dengan staf amat baik. Dia kenal nama semua anggota pasukannya. Dan mereka kesemuanya sayangkan dia sebagai seorang bos yang baik. Tetapi katanya, graf hidupnya sudah mendatar kerana tiada cabaran baharu.

Menurut Talib, hampir kesemua proses produksi di kilang telah diurus oleh penyelia-penyelia unit yang cekap. Merekalah yang men­jaga keadaan mesin, mengawal bekalan bahan mentah, proses pembuatan, pembungkusan dan juga pengedarannya.

Oleh kerana setiap unit produksi mempunyai anggota tidak lebih 10 orang, maka segala urusan sumber manusia seperti cuti, sakit pening, gaji dan insentif dikendalikan oleh penyelia-penyelianya.

Talib juga mempunyai dua pengurus yang cekap. Seorang mengawal hal ehwal produk, seorang lagi menjaga hal-ehwal sumber manusia.

Isteri Talib pula seorang usahawan busana wanita yang berjaya. Dia pula mempunyai ratusan downliners. Perniagaannya untung dan hidup mereka senang. Setiap tahun mereka bercuti ke mana sahaja yang mereka sukai. Talib ada lima anak. Dua sudah berkahwin, dua lagi bekerja dan hanya yang bongsu masih belajar di universiti.

Hidup Talib sudah tersusun. Jadualnya penuh dengan kerja dan aktiviti peribadi seperti di sebuah NGO anti-merokok dan menjadi ahli jawatankuasa surau di kawasan perumahannya.

Namun, kese­muanya dapat ditangani dengan baik. Dalam hal ibu bapa, mertua dan ipar duai mereka juga dalam keadaan sejahtera. Pendek kata tiada apa yang hendak dikejar Talib.

Tetapi, dalam bercerita, Talib sempat melahirkan bagaimana kehidupan jahil sejak kecil dan remaja. Keluarganya kucar-kacir dan suasana belajar di rumah memang tiada.

Pergaulannya bebas dan dia akhirnya menghisap ganja. Apa yang tidak dilakukannya pada zaman remaja kecuali membunuh.

Kalau setakat bergaduh, sudah menjadi asam garam kehidupannya. Talib sedar, masa depannya bakal gelap kerana dia tak akan ‘menjadi orang’ kelak.

Nasibnya berubah apabila bapanya meninggal dunia. Seorang ustaz yang baik hati mengambil dan membesarkannya. Dia dilatih di sebuah pusat tahfiz, diajar bersolat dan beribadat dan ilmu-ilmu agama sehinggalah kebaikan membekas di dalam dirinya. Dia mengambil SPM sebagai calon persendirian dengan keputusan cemerlang.

Pendidikannya sampai ke menara gading dan akhirnya mendapat kerjaya yang baik. Sebab itulah menurut Talib, kehidupannya sudah tidak thrill seperti dahulu.

Yang menariknya, apabila Talib menceritakan kisah lalunya, perasaannya jadi sebak mengenang zaman susahnya. Tetapi kini apabila sudah senang, mengapa dia teringin pula bersusah-susah dengan beranggapan kesenangannya ini tidak mendatangkan thrill?

Buat saya, apa yang Talib alami adalah sebahagian daripada sifat manusia. Tidak pernah puas dengan apa yang ada kerana perasaan yang sering berbolak-balik. Bila susah, kita hendak senang.

Setelah senang, kita hendak susah kembali dengan cara mensabotaj diri dengan melakukan perkara-perkara yang merosakkan peribadi. 

Corak pemikirannya ber­padanan dengan apa yang diperkatakan oleh Adam Sicinski yang menemui formula IQ Matrix.

Sebab itu, kita perlu ingat akan diri kita yang semalam sebagai teladan mahupun sempadan. Jika kita asyik mahu melihat esok, kita mungkin akan kabur wawasan kerana tidak mengingati diri kita yang semalam. Ertinya, kenalah mengingati sejarah diri itu penting untuk mengentalkan semangat.

Hidup kita berputar naik dan turun. Apabila belum berjaya, jangan sangka yang kita tidak akan berjaya. Sebaliknya setelah berjaya, jangan ingat yang kita tidak akan menemui kegagalan.

Andainya kita menyedari bahawa kesemuanya tidak akan kekal sekiranya kita tidak memacu roda kehidupan diri dengan baik, kita tidak akan meminta masalah sesudah kita berjaya mencapai apa yang kita ingini.

Buat diri Talib,  dia yang berjaya dan senang lenang kini perlu mencari masalah orang lain. Jadilah pendengar, penyelesai ataupun penyelamat insan-insan yang lain.

Dia harus empati seolah-olah masalah orang adalah masalah dirinya. Barulah hidupnya akan mempunyai thrill kembali. Lagi pula, dia perlu mencontohi ustaz yang telah menyelamatkannya.

* Penulis mantan Ketua Pengarang Sinar Harian