DISEMBER @ musim tengkujuh dikaitkan dengan hujan. Kawasan-kawasan rendah di beberapa negeri pantai timur telah dilanda banjir.

Musim lembap dan basah begini, semua lopak, parit dan longkang akan dipenuhi air, lalu menjadi tempat katak mengawan, bertelur, dan membiak.

Maka setiap kali musim berair seperti ini akan dikaitkan dengan katak. Baik di belakang rumah, di parit hatta di lopak berair tepi jamban, pagi petang, siang malam, katak berkumpul.

Kuang, kuang, kuang, mereka menyanyi bersahutan, berzikir kepada alam. Katak berbagai spesies, tidak kira saiz, warna, tiba-tiba muncul setiap musim hujan.

Saya bercakap mengenai katak sebenar, iaitu amfibia berkaki empat, tidak berekor yang dikenali suka mengawan, suka melompat-lompat...

Secara kebetulan sehari dua ini sana-sini orang sibuk bercakap mengenai katak. Tetapi bukan jenis amfibia tidak berekor yang berkuang-kuang-kuang pada musim hujan.

Katak yang menjadi perbualan umum sekarang juga tidak berekor, tetapi berkaki dua. Ada yang kurus, ada yang buncit, ada juga yang tampan seperti hero filem Hindustan.

Mereka muncul bukan sebab musim hujan, tidak juga kerana lopak dan parit dinaiki air. Mereka muncul pada musim kekalahan parti.

Itulah katak-katak politik yang hilang keyakinan terhadap parti, ramai-ramai sepakat meninggalkan parti asal, sambil berharap dapat melompat ke parti lain yang dirasakan lebih stabil.

Siapa sangka Umno yang menjadi tunggak utama pemerintah sejak lebih enam dekad, tiba-tiba boleh kecundang dan tersungkur di bumi sendiri.

Parti terbesar orang Melayu yang selalu dislogankan sebagai ‘dulu, kini dan selamanya’, ternyata tidak dapat bertahan lagi. Pada 9 Mei 2018 parti itu ditolak rakyat, tersungkur dengan labu-labunya.

Parti terhebat yang berkobar-kobar menegakkan apa yang disebut ketuanan Melayu itu akhirnya diguling dan diaibkan, termasuk oleh orang Melayu sendiri.

Ternyata rasuah mega dan salah guna kuasa berleluasa – oleh pemimpin dan anak buah – telah merapuhkan parti. Pemimpin kini menghadapi tuduhan rasuah RM berbilion, sehingga tidak berupaya lagi mengemudi bahtera.

Apabila bahtera kucar-kacir, haluan tidak menentu, dan nakhoda asyik turun-naik mahkamah, kelasi dan seisi kapal berasa gelisah, sentiasa berdebar menanti kapal akan karam.

Maka seperti yang terjadi dalam hikayat-hikayat sebelumnya, apabila tempat bergantung semakin rapuh, ramailah berasa tidak selamat, lalu belot.

Tiada lagi kesetiaan pada parti yang selama ini dianggap benteng perjuangan. Lebih baik belot dan dituduh menderhaka sebelum mati kekeringan.

Alkisah, kerana takut mati – boleh jadi juga untuk kepentingan peribadi – berbondong-bondonglah orang meninggalkan Umno, parti yang dulu hebat, kini sengkek.

Baik Ahli Yang Berhormat – Parlimen atau Adun – pemimpin-pemimpin bahagian, hatta macai-macai lain semua tanpa segan silu belot kepada parti.

Sesetengahnya awal-awal sudah memohon untuk menyertai parti lain. Keluar parti asal, melompat ke parti lain, lalu mendapat gelaran baharu – katak.

Dulu-dulu istilah katak adalah sesuatu yang memalukan, sebab itu tidak ramai yang bersedia menjadi katak. Kalau ada seorang dua lompat parti akan dicaci macam apa-apa.

Tetapi pada era Malaysia Baharu, orang tidak malu, malah megah menjadi katak. Ramai-ramai isytihar keluar parti, masuk surat khabar jadi berita muka depan. Cehh!

Untuk berlaku adil, bukan semua yang keluar Umno itu bertaraf katak, belum lagi! Hakikatnya ialah mereka keluar parti, jadi penyokong kerajaan, dan memohon menjadi ahli parti lain.

Hanya setelah sah mereka diterima ke dalam parti lain – tidak kira parti Bersatu atau komponen lain PH – barulah mereka layak dipanggil katak.

Parti-parti dalam PH jangan terburu-buru mengambil pembelot Umno ini. Perlu diingat pembelot ini adalah orang yang pernah menghentam dan mencaci pemimpin PH, khasnya Tun Dr Mahathir.

Mereka bukan pejuang tulen. Sekiranya mereka pejuang tulen, mereka sepatutnya terus bersama Umno dan padu memainkan peranan sebagai pembangkang yang baik.

Sebenarnya, tanpa pembelot pun PH yang dipilih secara sah, akan terus mendapat sokongan rakyat. Menerima pembelot tidak semestinya akan menguatkan PH, sebaliknya mungkin boleh memecah-belahkan parti.

Maka tidak menghairankan sekiranya ada yang beria-ia dan berkobar-kobar keluar Umno, tetapi akhirnya kempunan untuk menjadi katak. Biarlah mereka mati kekeringan!