USIANYA baru mencecah 20 tahun, namun pengalaman yang dilalui Mogesh a/l Sababathy, penuntut tahun kedua Sarjana Muda Sains Biologi Marin di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) ini khususnya dalam aktiviti kemasyarakatan agak luas. Apa tidaknya, mula terlibat dengan kesukarelawanan sejak umur 12 tahun di Kenchara Soup Kitchen iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membantu masyarakat kurang bernasib baik terutama gelandangan di sekitar ibu kota.

"Tugas kami adalah untuk mengagihkan makanan disediakan pihak NGO kepada golongan miskin di tempat-tempat yang kami ditugaskan di sekitar bandar Kuala Lumpur," katanya sambil mengakui menimba banyak pengajaran dan pengalaman khususnya berkaitan hidup daripada aktiviti berkenaan.

"Antara pengalaman paling saya ingat adalah semasa bersama Kenchara Soup Kitchen untuk mengagihkan makanan kepada ‘urban poor community’, dan orang pertama saya jumpa adalah seorang pak cik yang berbaring di atas lantai hanya berlapikkan kotak sedang menanti kedatangan kami. Apabila pak cik itu menerima makanan yang saya hulur, dia mengucapkan ‘terima kasih’ dan memberikan seukir senyuman yang cukup bermakna sehingga membuat saya menitik air mata. Peristiwa ini telah menyedarkan saya bahawa tiada kebahagiaan yang lebih besar daripada kepuasan dan kesejukan hati apabila dapat membantu orang yang memerlukan," imbasnya sambil berterima kasih kepada ibu bapa yang paling banyak mendorongnya terlibat dalam bidang.

Aktiviti NGO turut mendorongnya memilih bidang pengajiannya kini selepas melihat banyaknya pencemaran alam termasuk kawasan marin di Malaysia.

"Bidang pengajian ini sebenarnya bukanlah antara pilihan kursus yang teratas iaitu berkaitan perubatan dan kesihatan. Namun begitu saya tetap bersyukur berjaya mendapat tempat di UMT kerana saya turut mempunyai minat dalam bidang sains kelautan dan biologi marin. Hasrat saya suatu hari nanti ingin jadi saintis Biologi Marin, dan pada masa sama akan terus bekerja keras untuk turut menyumbang kepada bidang perubatan dan kesihatan di Malaysia," jelasnya.

Bersama kumpulan projeknya yang diumum Action Plan terbaik di Debris Expedition 2018.

Wakili Negara

Selain aktiviti NGO, pemegang tali pinggang hitam tekwando WTF ini juga aktif dalam pelbagai aktiviti kokurikulum lain, malah turut kerap dipilih mewakili Malaysia ke acara-acara peringkat antarabangsa sama ada sebagai wakil pelajar mahu pun remaja.

Menurut Mogesh, tahun ini dia terpilih sebagai salah seorang daripada lima delegasi Malaysia menyertai program YSEALI Marine Debris Expedition anjuran Young South-east Asian Leaders Initiatives (YSEALI), Kedutaan Amerika Syarikat di Jakarta dan Divers Clean Action Indonesia bertempat di Jakarta, Indonesia dari 4 hingga 9 Ogos lalu.

"Dalam program ini kami didedahkan dengan pelbagai kemahiran dan ilmu pengetahuan dalam mengetahui keadaan semasa lautan dunia dan penyelesaiannya serta sistem pengurusan sampah yang strategik dan sistematik," katanya.

Di hujung program, kumpulannya seramai enam orang termasuk dua dari Singapura serta masing-masing seorang dari Indonesia dan Brunei telah membentangkan projek bertajuk Action Plan For Sustainable Debris-Free Ocean yang boleh menyumbang kepada pengurangan sampah laut (marine debris) di Brunei.

"Projek kami telah terpilih sebagai Action Plan terbaik dan akan membentangkan sekali lagi di Our Ocean Conference Youth Leadership Summit di Bali, Indonesia hujung September ini," katanya teruja.

"Haruslah diingat, untuk mengecap kejayaan, bukannya mudah dan pelbagai halangan dan cabaran mungkin perlu kita harungi, namun kunci untuk terus mara adalah semangat ingin berjaya dan tidak putus asa! Kejayaan tidak akan datang bergolek jika tiada usaha yang mendampingi, bak kata pepatah Melayu yang sentiasa menjadi pembakar semangat saya iaitu ‘Di mana ada kemahuan, di situ jalan’. Sentiasa mempunyai hati yang terbuka untuk menghulurkan bantuan dalam apa jua bentuk kepada sesiapa sekalipun tanpa sebarang diskriminasi," akhirinya menitip ungkapan motivasi.

Penganugerahan Youth Ambassador for Peace anjuran Women Federation for World Peace di UMT.

Biodata

Nama penuh: Mogesh A/L Sababathy

Asal: Kuala Lumpur (kini menetap di Shah Alam)

Adik-beradik: 3 beradik, anak ke-2

Pendidikan:

- SK TUDM Subang  

- SMK TTDI Jaya

- Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan (Pra-Universiti)

Pencapaian:

- Lesen Selaman Skuba PADI Advance Open Water 2018

- Naib Presiden Kelab Marina UMT 2018/2019

- Penerima Anugerah Kecemerlangan Dekan UMT 2018

- Exco Akademik, Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan 2016

- National Unity Youth Fellowship 2016/Felo Muda Perpaduan Nasional 2016 (IDEAS)

- Jawatankuasa Belia Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman Dan Keharmonian Antara Penganut Agama (JKMPKA) (2016-2017)

- Project Assistant di Federation of Reproductive Health Association Malaysia (FRHAM) 2017

- Project Leader Birds and Bees 2017 (NRC11)

- Jawatankuasa Kerja Dialog Harmoni Antara Penganut Agama sempena Sambutan Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama 2017

- Jawatankuasa Kerja Dialog TN50 bersama Pemimpin-pemimpin Belia Antara Agama 2017

- Black Belt Taekwondo (WTF) 2014

- Pertandingan Menulis Surat Kepada Perdana Menteri 2010 (Tersenarai dalam 10 esei terbaik seluruh Malaysia)

- Young Voices for Conservation 2016 (TrEES) – Sukarela

- Kenchara Soup Kitchen (2011 – 2018) – Sukarela

- Menyertai Konvensyen Belia Kebangsaan 2016 & 2017

- Menyertai 2016 Kuala Lumpur International Youth Discourse

- Menyertai Inspiring Orchid Conference 2016

- ASEAN Student Council Union Conference 2016 (Hiroshima, Japan)

- Duta Youth Ambassador for Peace 2018 anjuran Women’s Federation for World Peace (WFWP)