BINTULU - Polis membongkar lubuk melepas gian menghisap dadah yang bersembunyi di sebalik rumah kedai.

Kegiatan itu dibongkar menerusi Ops Tapis Khas di tiga buah rumah di sekitar Bintulu, malam tadi, hasil maklumat dan risikan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak, Superintendan Sahar Abd Latif berkata, serbuan bermula jam 9 malam itu berjaya menahan seramai 43 individu termasuk dua wanita berusia lingkungan 16 hingga 45 tahun.

"Daripada jumlah itu, lapan daripada adalah warga Indonesia.

"Turut dirampas dadah disyaki syabu seberat 0.95 gram dianggar bernilai RM150," katanya kepada Sinar Harian.

Dalam serbuan lebih lima jam ini, siasatan polis mendapati premis ini bukan sahaja beroperasi di sebalik rumah kedai, malah turut sering berpindah-pindah bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Tambahnya, pihaknya percaya ia sering dikunjungi penagih tanpa mengira waktu siang atau malam.

"Operasi ini akan terus dijalankan bagi melumpuhkan terus kegiatan sebegini daripada terus merebak kepada masyarakat lain," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya1952