PUTRAJAYA - Polis menahan tiga lelaki ketika disyaki cuba mencuri kabel di dalam bilik generator pangsapuri Presint 18 di sini kira-kira jam 2 pagi ini.

Menurut sumber, ketika polis sampai di lokasi ketiga-tiga suspek berkenaan dikunci oleh orang awam dari luar semasa berada dalam bilik generator itu.

"Polis kemudian membuat pemeriksaan ke atas ketiga-tiga suspek lelaki berusia 38, 33, 31 tahun. Hasil pemeriksaan menemui sebuah beg yang mengandungi peralatan untuk memotong kabel termasuk pemotong besi, pemotong kabel, playar, spanar, pemutar skru, lampu suluh, allen key dan pisau lipat," kata sumber itu lagi.

Jelas sumber berkenaan, dua daripada suspek didapati memiliki rekod jenayah lampau dan pemeriksaan dalam kenderaan Perodua Myvi milik seorang daripada suspek yang diletakkan berhampiran bilik generator itu menemui serbuk kristal yang disyaki dadah jenis syabu seberat 1.56 gram.

Polis kemudian merampas Perodua Myvi di mana dadah itu ditemui dan sebuah lagi Perodua Myvi milik seorang lagi suspek yang diletakkan berhampiran tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hassan ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tiga suspek itu.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 431A Kanun Keseksaan kerana mencuri kabel dan Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya," katanya lagi. - Bernama