KUALA TERENGGANU - Seorang penganggur dijatuhi hukuman 18 tahun penjara dan lapan sebat selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini kerana merogol bekas rakan sekolah menengah.

Tertuduh,  Mohammad Asyraf Karimi, 21, dari Bandar Permaisuri, Setiu didakwa merogol mangsa berusia 19 tahun di atas kerusi batu di dalam semak di Felda Chalok Barat, Setiu, kira-kira jam 2 pagi, pada 24 September tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syazwani Zawawi di hadapan Hakim Azman Mustapha manakala tertuduh diwakili peguam bela Che Amir Che Musa.