KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki pedofilia dijatuhi hukuman penjara 16 tahun dan 19 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini kerana melakukan serangan seksual terhadap 12 kanak-kanak yang berusia antara 6 dan 11 tahun.

Hukuman itu diputuskan Hakim Wan Azimah Yaacob terhadap Mohammad Amir Mohd Layi, 21, dari Kampung Paya, Marang yang mengaku bersalah 16 pertuduhan didakwa ke atasnya.

Mohammad Amir didakwa melakukan serangan seksual terhadap lima kanak-kanak perempuan termasuk menyentuh buah dada dan kemaluan mangsa, memaksa mangsa menyentuh kemaluannya dan melakukan seks oral terhadapnya di beberapa lokasi di Kuala Terengganu dan Marang antara 1 Januari 2017 dan 5 Mac 2018.

Dia juga didakwa atas empat pertuduhan melakukan kesalahan seksual terhadap dua kanak-kanak perempuan berusia 7 dan 11 tahun di dua sekolah di Rusila dan Kelulut, Marang antara 10 Julai 2017 dan 18 Januari 2018.

Mohammad Amir turut didakwa terhadap enam lagi pertuduhan melakukan kesalahan itu terhadap lima kanak-kanak berusia dari tujuh hingga 10 tahun di beberapa lokasi di Marang dan Kuala Terengganu antara 25 Februari 2017 dan 26 Februari tahun ini.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Zulfazliah Mahmud mengikut Seksyen 14(a), Seksyen 14(b) dan Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, Seksyen 5 akta sama serta Seksyen 354 dan 377E Kanun Keseksaan.

Bagi semua kesalahan itu, dia boleh dihukum penjara masing-masing tidak lebih 30 dan 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.