KEYAKINAN pelanggan memintanya menghias sebuah rumah di Kajang beberapa tahun lalu memberikan inspirasi kepada Pengasas Lentera Creative Home, Amran Azhar untuk menerokai bidang hiasan dalaman yang amat dicintainya.

Kepercayaan tersebut menjadi antara kenangan yang tidak boleh dilupakan beliau kerana kepakarannya dalam bidang langsir dan hanya menjadikan bidang hiasan dalaman sebagai kerja sampingannya sahaja pada 2009.

"Sehingga kini, saya tidak boleh melupakan kepercayaan pelanggan tersebut yang memberikan saya sebanyak RM50,000 untuk menghias rumahnya. Alhamdulillah, dengan wang yang diberikan saya terjemahkan kepada apa yang dia mahu dan menepati cita rasanya," katanya.

Itu antara kenangan Amran sebelum menempa kejayaan seperti sekarang kerana selepas menghias rumah tersebut, beliau semakin berani menerima tempahan hiasan dalaman, malah merupakan antara Bumiputera berjaya dalam bidang hiasan dalaman dan menempa nama di peringkat Asia.

Mengimbas kembali penglibatannya dalam kerjaya, sejak zaman sekolah, beliau meminati bidang jahitan dan menjadikan rumah keluarganya di Johor untuk mencurahkan idea hiasan dalamannya yang dianggap perkara baharu pada waktu itu.

"Alhamdulillah, walaupun masih bersekolah, saya diberikan kepercayaan untuk menjahit langsir rumah keluarga pada musim perayaan dan jiran juga turut menempah kerana tertarik dengan kekemasan jahitan dan rekaan yang diketengahkan mengikut trend semasa tanpa meninggalkan ciri-ciri klasik.

"Saya menjadikan wang upah tersebut untuk perbelanjaan sekolah dan membantu keluarga kerana saya bukanlah dari keluarga yang kaya," katanya.

Berusaha mengubah kehidupannya, Amran turut mencari pengalaman di syarikat pembuatan langsir, sebelum beralih ke syarikat hiasan dalaman terkenal yang menjadi titik permulaannya untuk berjaya.   

"Di sinilah saya mengutip pelbagai ilmu mengenai hiasan dalaman dan perniagaan. Saya gabungkan ilmu yang diperolehi, minat dan pengalaman selama beberapa tahun tersebut untuk membuka perniagaan sendiri, Lentera Creative Home.

"Saya bermula dari bawah dan bermodalkan RM15,000, saya menjalankan perniagaan langsir. Pada awal 2009, permintaan perniagaan tersebut bukanlah seperti sekarang, kita perlu memujuk pelanggan dan berjalan dari pintu ke pintu untuk menunjukkan rekaan sendiri," katanya.

Berkat kesungguhan beliau, dari dua pekerja  kini Lentera Creative Home mempunyai lebih 10 pekerja dan mempunyai dua cawangan; di Seri Kembangan dan Denai Alam, Selangor.

Kini, Lentera Creative Home bukan sahaja terkenal di Lembah Klang tetapi terkenal di Asia Tenggara. Malah setiap sentuhannya umpama magis kerana sentiasa mendapat tempat di hati pelanggan.