SABAK BERNAM - Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Empat berjaya mengadakan Karnival Sekolah dan Mega Reunion 2018 untuk mengutip dana akademik dan aktiviti sekolah pada 18 November lalu.

Program yang dicetuskan oleh Guru Matematik dan Pendidikan Jasmani Sabri Harun itu mendapat sambutan menggalakkan daripada 2,000 peserta.

Timbalan pengerusi 2 karnival, Mahidi Saleh berkata, program dirasmikan Penyelaras Parlimen Tanjung Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi.

Dalam ucapan perasmiannya, Dr Zulkafperi berterima kasih kepada pihak penganjur dan Alumni UPSR 1989-2010 yang bersatu hati mengadakan program tersebut sehingga berjaya.

Pada masa sama beliau juga mengumumkan sumbangan kepada dana sekolah berjumlah RM5,000.

Guru Besar SK Parit Empat Norzakiah Daud berkata, antara aktiviti yang diadakan adalah kayuhan amal yang melalui kawasan sawah padi dan Pantai Redang disertai 300 peserta sambil meninjau keindahan panorama laluan.

“Pelbagai lagi aktiviti menarik yang telah disediakan antaranya mini zoo, persembahan badut dan silap mata serta rumah hantu.

"Selain itu, ada juga 'soopa doopa', tayangan filem dan persembahan artis Jemputan,” katanya.

Melalui program tersebut, SK Parit Empat berjaya mengumpul dana sebanyak RM36,000.

Sementara itu, Sabri berkata, walaupun kurang dua bulan perancangan yang dilakukan, namun jawatankuasa yang dianggotai bekas anak didiknya berjaya melaksanakan dengan baik.

[ UNTUK MELIHAT LEBIH BANYAK GAMBAR DI SINI: KARNIVAL SEKOLAH DAN MEGA REUNION 2018 SK PARIT EMPAT MENJADI-JADI  ]