PARIS - PERANCIS . Imej menakjubkan diambil pengorbit Agensi Angkasa Eropah (ESA) menunjukkan kawah ais yang ditemui di planet Marikh yang mungkin memberi harapan baharu bagi persekitaran yang sesuai untuk hidupan bumi.

Ia menunjukkan kawah berukuran 82 kilometer itu di kawasan dataran rendah di bahagian utara planet merah tersebut yang mengandungi ais setebal 1.8 kilometer.

"Bahagian paling dalam kawah Korolev mengandungi ais bertindak sebagai perangkap sejuk semula jadi yang mana pergerakan udara mewujudkan lapisan udara sejuk di atas permukaan ais tersebut," jelas ESA dalam satu kenyataan.

Takungan tersebut dikatakan mempunyai kira-kira 2,200 kilometer kubik ais yang bersamaan seperti saiz Tasik Great Bear di Kanada.

Jumlah besar ais itu boleh menjadi sumber penting untuk hidupan pada masa depan selain membantu mereka kembali ke bumi kerana air tersebut boleh diasingkan kepada hidrogen dan oksigen untuk bahan api roket.

Difahamkan, kawah tersebut dinamakan sempena nama ketua jurutera roket dan pereka kapal angkasa, Sergey Korolev yang digelar sebagai bapa teknologi angkasa Soviet dan mengetuai misi penjelajahan ikonik termasuk program Sputnik, Vostok dan Voskhod. - AFP