BUTTERWORTH - Menikmati pemandangan feri berlabuh dan kemegahan pelabuhan di Pulau Pinang antara tarikan utama pengunjung yang menikmati hidangan di medan selera Makan Street di Penang ­Sentral.

Pelbagai hidangan tempatan serta luar negara antara keistimewaan yang terdapat di medan selera Makan Street, Penang Sentral.

Boleh dikatakan sebagai pintu masuk segala jenis makanan yang ada di Pulau Pinang, Makan Street mendapat tempat bagi pelbagai pengunjung berbilang bangsa bukan sahaja masyarakat di negeri ini bahkan mereka yang datang dari luar.

Peniaga, Abdullah Mohamed Noor, 56, berkata, dengan segala kemudahan yang disediakan di sini, ia memberikan keselesaan kepada pengunjung yang bertandang.

"Dari segi fasiliti yang disediakan amat terbaik dan bercirikan moden, Alhamdulillah setakat ini sudah ada pelanggan tetap yang datang berkunjung.

"Dari segi kemudahan, kerusi dan meja makan amat selesa dan sesuai untuk semua peringkat umur," katanya.

Namun katanya, ada beberapa perkara yang diharap dapat diberikan perhatian oleh pihak pengurusan.

"Antaranya dari segi tanda dan iklan tentang kewujudan Makan Street ini, memang ada tanda di setiap sudut di Penang Sentral ini, tapi kalau boleh kita minta ia dibesarkan sedikit dan diperbanyakkan lagi," katanya.

Peniaga, Rafik Ali Muthalib,51, berkata, ruang makan yang selesa antara faktor penarik di Makan Street, Penang Sentral.

"Ruang makan di sini mengadap ke arah laut, sambil makan pengunjung dapat menikmati suasana selesa dan nyaman.

"Dari segi hidangan, harga yang ditawarkan amat berpatutan, dan sesuai untuk semua bangsa dan agama," katanya.

Penang Sentral terdiri 38 tapak parkir bas, kaunter tiket bersepadu, lot komersial, kaunter tempahan teksi serta ruang menunggu kereta sewa, serta jejantas yang menghubungkan ke pelabuhan feri dan stesen keretapi Butterworth.

Selain itu, sebanyak 55 lot kedai dan medan turut ­disediakan.

Penang Sentral juga menyediakan 577 tapak parkir demi menggalakkan pengguna kenderaan peribadi bergerak dengan pengangkutan awam bersepadu.

Makan Street bermula operasi pada jam 10 pagi dan berakhir 10 malam, setiap hari pada Isnin sehingga Jumaat.