KUALA TERENGGANU - Tidak serik! Baru lima bulan dibebaskan, seorang penganggur sekali lagi ditangkap polis kerana memecah masuk pejabat pejabat Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Suspek berusia 30 tahun itu ditahan pada jam 11.35 pagi, 11 Disember lalu ketika bersembunyi di sebuah pondok di Kampung Mengabang Lekor, Batu Rakit.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman berkata, dua rakan subahatnya iaitu janda anak lima berasal dari Medan Jaya, Rusila, Marang dan penganggur berusia 37 tahun dari Batu 6 turut ditahan pada hari sama.

Dengan tangkapan semua suspek, polis berjaya merampas pelbagai barangan curi antaranya beg galas, telefon bimbit, jam tangan, barang kemas, wang tunai, komputer riba dan ipad.

“Hasil soal siasat, suspek utama mengaku memecah masuk pejabat UMT dan UniSZA seorang diri, manakala suspek wanita akan menyimpan dan menjual barang curi dan suspek lelaki itu pula bertindak sebagai pemandu,” katanya dalam satu sidang media hari ini.

Menurut Suffian, pihaknya menerima 12 laporan kejadian pecah masuk pejabat UMT dan UniSZA bermula 30 Julai hingga 9 Disember lalu dengan nilaian kerugian dianggarkan berjumlah RM55,000 dan hasil siasatan, semua kes itu dilakukan oleh suspek.

Beliau berkata, suspek utama yang baharu dibebaskan dari penjara selama setahun pada bulan Julai lalu kerana kesalahan sama juga mengaku menggunakan wang hasil pecah pejabat itu untuk membeli dadah dan berfoya-foya di Thailand.

“Ketika ditahan, kita turut menemui sejumlah dadah pada badan suspek utama dan hasil ujian saringan air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah Methamphetamine.

“Sekarang, kita sedang mengesan seorang lagi lelaki dipercayai rakan jenayah suspek berusia 28 tahun dari Kampung Tok Jembal, Seberang Takir yang dikenali Emi Pak Samad bagi membantu siasatan,” katanya.

Suffian berkata, kesemua suspek direman dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah bangunan pejabat yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan juga boleh dikenakan denda, jika disabitkan kesalahan.