TANJUNG MALIM - Kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati menjalankan kegiatan pembalakkan haram sekitar kawasan hutan simpan kekal di daerah Hulu Perak.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, jika benar dakwaan seperti yang dilaporkan sebuah akhbar tempatan sebelum ini, tindakan tegas akan diambil dalam memerangi pembalak haram dalam menjaga alam sekitar termasuk hasil kerajaan negeri.

"Jadi, tindakan saya seterusnya pada hari ini, saya telah meminta Setiausaha Sulit Kanan saya untuk membuat laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkenaan laporan ini kerana saya kira, mereka adalah pihak berkuasa yang boleh mendapatkan lebih maklumat.

"Apabila laporan sebegini keluar dan Jabatan Perhutanan telah masuk ke kawasan dilaporkan dari semalam, itu tindakan yang kita boleh buat," katanya ketika berucap pada majlis penyerahan hak milik tanah kepada 179 peneroka Felda Sungai Behrang di sini hari ini.

Katanya, sekiranya laporan berkenaan benar, dia berasa amat kecewa dan tindakan segera akan diambil kerana kerajaan negeri serta Jabatan Perhutanan Perak tidak merestui perbuatan tersebut terutamanya membabitkan penerimaan suapan oleh penguatkuasa.

Menurut Ahmad Faizal, pihaknya memerlukan lebih maklumat dan meminta akhbar berkenaan memberikan kerjasama kepada Jabatan Perhutanan berhubung senarai lapan syarikat yang didakwa terlibat menjalankan pembalakan melebihi had kawasan di bawah lesen, namun akhbar berkenaan enggan memberikan kerjasama.

Ahmad Faizal turut menjelaskan bukan semua hutan rizab tidak boleh dijalankan pembalakan kerana ada yang dibenarkan tertakluk kepada beberapa peraturan yang amat ketat.

“Jadi saya bimbang, ada pihak memikirkan bila kita bagi lesen balak ini, boleh tebang pokok apa sekalipun. Tidak, dia ada 'tagging' dan proses ini mengambil masa yang panjang.

“Saya percaya kalau ada pun lesen-lesen pembalakan yang sedang diusahakan sekarang ini, ia lesen-lesen pembalakan daripada pentadbiran terdahulu sebab ia ambil masa panjang, nak buat tagging dan sebagainya," katanya.