KUANTAN - Sebanyak RM45,000 peruntukan di bawah Insentif Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGap) akan diterima boleh 43 pekebun di daerah ini bagi memajukan projek tanaman mereka.

Pegawai Pertanian Daerah Kuantan, Amir Dzulfadli Samad berkata, peruntukan sejumlah itu bagi membantu pekebun buah meningkatkan pengeluaran hasil buah seperti durian, rambutan, kelapa mata dan cempedak yang mendapat permintaan tinggi daripada orang ramai.

Jelasnya, bagi tujuan itu, lapan jenis peralatan disediakan kepada pekebun seperti 37 unit mesin memotong rumput dan alat penimbang serta empat unit penyembur racun bermotor.

“Pihak kita turut menyediakan 20 unit pengalas atau palet plastik, 257 bakul buah dan 5,000 pembalut buah nangka.

"Empat unit peti kecemasan juga dibekalkan kepada pekebun yang mengusahakan tanaman secara berkelompok.

“Jadi, semua pekebun yang menerima insentif berdaftar dengan pejabat pertanian daerah selain turut memiliki sijil MyGap iaitu amalan pertanian baik membabitkan penggunaan baja, racun dan pengurusan ladang,” katanya pada majlis penyerahan insentif MyGap di pekarangan pejabat pertanian daerah Kuantan, hari ini.

Dalam pada itu,  Amir Dzulfadli berkata, insentif ini setiap tahun disediakan oleh pihak kerajaan.

Justeru, beliau berharap agar pekebun dapat meningkatkan pengeluaran hasil buah-buahan sekali hingga dua kali ganda seterusnya menambahkan pendapatan pekebun.

Selain itu, Amir Dzulfadli menambah,  pekebun di kawasan luar bandar seperti di Kampung Paya Rambutan, Paya Bungor, Sungai Lembing, Lepar dan Gambang perlu berusaha meningkatkan pengeluaran setiap tahun.

“Kalau boleh kita mahu mereka juga berjaya seperti pekebun lain dan sekali gus dapat meningkatkan pendapatan mereka jika hasil buah-buahan mereka banyak,” katanya.

Sementara itu, pekebun Jamsari Mohamad, 52, berkata, insentif yang diberikan kerajaan menambahkan lagi semangat mengusahakan kebun durian dan dokong seluas 0.8 hektar di kawasan tanah kelompok Kampung Paya Rambutan, di sini.

Menurutnya, dia menerima bantuan mesin rumput, bakul dan palet yang kini sudah mengeluarkan hasil, sebelum ini pejabat pertanian daerah turut membekalkan benih diperingkat awal projek 1990.

"Kemudahan yang disediakan memberi lebih peluang kepada pekebun meraih pendapatan lumayan terutama setiap kali musim buah-buahan," katanya.

Bagi Rosnani Mat Saleh, 43, berkata, insentif mesin rumput, bakul dan palet yang disediakan memberi lebih kemudahan kepadanya menguruskan kebun durian, dokong, cempedak dan kelapa mata seluas satu hektar di Kampung Paya Bungor.

“Saya akan berusaha untuk meningkatkan pengeluaran buah setiap tahun bagi memenuhi permintaan pengguna tempatan," katanya.