SEREMBAN - Kerajaan negeri akan sentiasa mempelbagaikan pakej pelancongan negeri ini bagi meningkatkan kehadiran pelancong dari dalam mahupun luar negeri.

Menteri Besar, Aminuddin Harun berkata, kepelbagaian pakej dan tambah nilai produk pelancongan adalah penting untuk menarik pelancong datang ke negeri ini.

"Antara pakej pelancongan yang ditawarkan oleh pengusaha produk pelancongan ialah pakej inap desa Pachitan, pakej 'Colours of Negeri Sembilan' iaitu persembahan kebudayaan Negeri Sembilan dan pakej 'Murex Watersport' (permainan sukan air seperti 'snorkeling', memancing dan jet ski).

"Selain itu, pelbagai aktiviti masyarakat setempat bersama pelancong seperti makan nasi ambeng, mewarna batik dan makan bersilo akan diperbanyakkan untuk menarik pelancong," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan daripada Datuk Shamsulkahar Md Deli (Serting-BN) pada Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Pertama Dun Negeri Sembilan ke-14, semalam.

Aminuddin (Sikamat-PKR) berkata, pihaknya juga akan memperbanyakkan persembahan kebudayaan Negeri Sembilan, sebagai usaha untuk memperkenalkan budaya negeri beradat ini kepada pengunjung luar dengan lebih dekat.

Katanya

Menjawab soalan Ng Chin Tsai (DAP-Temiang) pula, beliau berkata, kerajaan negeri akan sentiasa memajukan aktiviti pelancongan tempatan merangkumi keseluruhan kawasan berdasarkan kesesuaian dan sejauh mana potensi sesuatu kawasan tersebut dapat menarik bilangan kedatangan pelancong serta berupaya menghasilkan impak pelancongan yang berkesan.

Di samping itu, katanya, produk-produk sedia ada di kawasan Temiang seperti Ban Joo Lee (balai polis lama), Masjid Jamek Seremban, bangunan Penasihat Undang-Undang, tokong Lit Sent Gong, tokong Tam Gong, Persatuan Sei Yap Negeri Sembilan dan Persatuan Fui Chew Negeri Sembilan akan disenaraikan sebagai satu daripada produk tarikan pelancongan dalam pelaksanaan program 'Seremban Heritage Trail'.