SEREMBAN - Kerajaan negeri melancarkan misi kemanusiaan mangsa gempa bumi dan tsunami fasa kedua di Wilayah Palu, Sulawesi, Indonesia, sebagai usaha meneruskan misi bantuan.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun berkata, kerajaan negeri komited untuk memberikan bantuan kepada mangsa meskipun tragedi itu sudah dua bulan berlalu.

“Melalui misi bantuan kemanusiaan pertama yang dihantar ke wilayah itu pada Oktober lalu, kita menerima pelbagai maklumat dan gambaran sebenar tentang keadaan penduduk di Palu yang masih terkesan dengan bencana itu.

“Kita akan meneruskan usaha ini selagi ia diperlukan dan tidak mustahil kita akan melaksanakan pula misi ketiga nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian di majlis penyerahan sumbangan kepada pertubuhan bukan kerajaan bagi Misi Kemanusiaan Palu, Sulawesi Tengah, Indonesia di Wisma Negeri di sini, semalam.

Pada majlis itu, Aminuddin menyerahkan sumbangan daripada Pejabat Menteri Besar, Pejabat Exco Pembangunan Belia dan Sukan negeri serta kutipan derma oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains) kepada Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dan Amal Relief Negeri Sembilan (Arif).

Turut hadir, Exco Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Mohamad Taufek Abd Ghani dan Setiausaha Mains, Datuk Kamal Amran Kamaruddin.

Aminuddin berkata, sumbangan keseluruhan berjumlah RM72,000 itu diharap dapat meringankan beban penduduk di Wilayah Palu yang masih terjejas akibat bencana gempa bumi dan tsunami.

“Sumbangan ini akan dibawa ke Wilayah Palu untuk membina ‘hunian sementara’ atau lebih dikenali sebagai Huntara di kalangan penduduk Palu. Pembinaan Huntara ini akan menelan belanja sebanyak RM8,000 seunit,” katanya.

Tabung Misi Kemanusiaan dan Sukarelawan Belia Bencana Alam Palu dilancarkan buat pertama kali di negeri ini pada 10 Oktober lalu.

Dua orang sukarelawan Belia Negeri Sembilan dan beberapa wakil daripada pertubuhan bukan kerajaan telah menyertai misi pertama bantuan ini yang berlepas ke Palu pada 22 Oktober lalu.