BACHOK - Pembeli rumah Projek Perumahan Rakyat Kelantan (PPRK) di Kampung Budi kecewa kerana ia terbengkalai sejak hampir lapan tahun lalu.

Wakil pembeli, Zamri Mustafa, 51, berkata, dia membeli satu unit rumah dengan harga RM35,000 tiga tahun lalu, namun sehingga kini belum dapat menduduki rumah tersebut.

Menurutnya, dia membayar RM230 sebulan atas nama satu koperasi sebelum ini, tetapi kini terpaksa membayarnya kepada nama individu.

Katanya, pembeli berada dalam keadaan serba salah kerana jika berhenti membayar, nama untuk pemilikan akan digugurkan.

Kawasan perumahan digenangi air dan dipenuhi semak-samun.

“Projek perumahan ini bermula 2010 lagi. Saya difahamkan ada yang membeli secara tunai dan ada melalui pinjaman bank.

“Perumahan ini sekarang terbiar, banyak bahagian rosak dan cermin tingkap banyak yang pecah,” katanya.

Menurutnya, pembeli sudah puas mencari jalan penyelesaian tetapi gagal kerana pemaju mengelak bertemu mereka.

Justeru katanya, dia berharap kerajaan negeri campur tangan bagi menyelesaikan segera masalah tersebut.

Cermin tingkap rumah banyak yang pecah.

“Saya berharap sangat kerajaan negeri membela nasib kami kerana sehingga sekarang belum ada sebarang petanda pembeli boleh menduduki rumah ini.

“Sekarang saya berusaha mencari pembeli lain yang senasib untuk kami mengemukakan aduan kepada pihak berkenaan,” katanya.