PASIR GUDANG - Umno mengalu-alukan keputusan kerajaan memberi bantuan awal persekolahan RM100 kepada pelajar dalam kalangan isi rumah berpendapatan bawah RM3,000.

Naib Presidennya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, namun kriteria untuk menerima bantuan tersebut diharapkan dipertimbangkan semula kerajaan.

"Kita harap kerajaan beri pertimbangan macam mana kita amalkan dahulu. Kita tak guna kriteria sebegitu.

"Sebab ada keadaan keluarga itu besar, pendapatan lebih RM3,000. Dia masih lagi dalam kategori susah dan miskin terutama tinggal dalam bandar," katanya ketika ditemui selepas Program I'm Ready For School anjuran Johor Volunteers di sini, hari ini.

Menurutnya yang juga Ketua Umno Bahagian Pasir Gudang, meskipun kerajaan mengumumkan bantuan sedemikian, namun sebenarnya masih ramai yang tidak mendapat manfaat.

"Sepatutnya tak gunakan kriteria dan asas sedemikian," katanya.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, Umno berharap program intervensi membantu golongan memerlukan menerusi yayasan pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak melihat kecenderungan sokongan politik penerima.

“Ia amalan tidak baik, tindakan ini tidak pernah diamalkan kerajaan BN. Kita lihat kecenderungan kerajaan pada hari ini, kalau tak 'sign' borang masuk ahli satu-satu parti, tak kan dapat terima bantuan.

"Jadi saya berharap supaya ini diberhentikan kerana ia tidak membantu masyarakat yang susah. Itu menunjukkan tidak ada keikhlasan untuk membantu," katanya.

Menurutnya, yayasan PBT diharap terus memikir dan melaksanakan program yang boleh membantu rakyat setempat.

"Saya difahamkan macam di Pasir Gudang sendiri, kelas-kelas tuisyen (anjuran yayasan PBT) dikurangkan dan sebagainya.

"Walhal kita tahu kalau nak mengharapkan kepada tuisyen swasta, tak mungkin ramai anak orang susah boleh mendapat tuisyen," katanya.