PADA awal pembukaan Pak Jen Gulai Panas Langkawi sekitar Disember tahun lepas, nawaitu pengasas Restoran Pak Jen Gulai Panas Langkawi adalah untuk menyediakan sajian makanan Melayu Utara yang enak pada harga mampu bayar oleh pelanggan.

Sejak pembukaan Pak Jen Gulai Panas Langkawi, ramai pelanggan singgah ke restoran ini untuk merasai sendiri keenakan masakan gulai panas ikan bawal, daging dendeng, itik golek dan daging wagyu masak lemak.

Sasaran Pak Jen seterusnya... menjamu makan kepada golongan kurang berkemampuan.

Itu diusahakan oleh dua anak muda bersahabat berusia 24 tahun, yang baru tamat pengajian, berasal dari Kedah yang merupakan pengasas restoran ini.

Hari ini, Pak Jen tampil membuat projek amal dan kebajikan atau CSR dengan melancarkan Program Jom Makan, dengan konsep “Pay It Forward”, para pelanggan Pak Jen akan digalakkan untuk membayar untuk hidangan seterusnya atau membuat sumbangan kecil.

Semua kutipan Program Jom Makan disalurkan kepada badan-badan bukan berasaskan keuntungan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang akan menikmati makanan di Pak Jen setiap akhir bulan.

Bagaimanapun, sekiranya kutipan itu tidak mencukupi, pihak Pak Jen sendiri akan menampung kekurangannya.

Salah seorang pengasas Pak Jen Gulai Panas Langkawi, Tan Jen berkata, sewaktu memulakan operasi, hasrat pihaknya untuk menyajikan makanan tradisional popular dari utara tanah air di tengah-tengah pusat bandar Kuala Lumpur.

“Sajian dihidangkan kepada pelanggan bukan sahaja rasanya mesti sedap, tetapi pada harga mampu bayar, tidak membebankan dan pelanggan mudah untuk datang ke lokasi operasi restoran.

“Pelanggan makan di Pak Jen Gulai Panas Langkawi boleh menikmati hidangan dengan berbelanja kurang dari RM10,” kata Tan Jen.

Namun begitu, menurutnya pihaknya sedar wujudnya golongan kurang berkemampuan dalam kalangan masyarakat untuk makan di Restoran Pak Jen.

“Justeru, sejajar dengan misi kami iaitu memberi makan, kami lancarkan Program Jom Makan supaya golongan yang kurang berkemampuan dapat menikmati makanan yang enak dan lazat disediakan di Pak Jen,” kata Tan Jen.

 

CSR Jom Makan

Sebagai permulaan program CSR Jom Makan, seramai 50 kanak-kanak termasuk kakitangan dan sukarelawan dari Yayasan Chow Kit dipilih menjadi golongan pertama akan diraikan.

Selain menjamu selera, mereka juga akan diajar cara-cara untuk menyediakan lempeng dan membancuh minuman istimewa Pak Jen, Cenang Ais.

Sementara itu, pengasas bersama Pak Jen Gulai Panas Langkawi, Safwan Bahari berkata, Yayasan Chow Kit dipilih untuk Program Jom Makan kerana Pak Jen sememangnya menyasarkan masyarakat setempat sebagai permulaan.

“Kita sekarang mempunyai dua cawangan iaitu di Quill City Mall dan satu lagi di Sunway Putra Mall. Kedua-dua kawasan ini berhampiran dengan kawasan Chow Kit.

“Menjadi satu kelaziman untuk kita memilih Yayasan Chow Kit, apatah lagi mengambil kira segala usaha murni yang dilakukan oleh mereka selama bertahun-tahun lamanya,” kata Safwan.

Terdahulu, Tan Jen berkata, Program Jom Makan akan dikembangkan untuk memberi latihan penyediaan makanan kepada “soup kitchen”.

“Kami suka dengan konsep memberi makan kepada golongan gelandangan atau yang kurang bernasib baik menerusi kaedah ini. Oleh kerana restoran kami baru 10 bulan beroperasi, kami sedar kekangan yang mana agak mustahil untuk menyediakan makanan bagi satu kelompok yang ramai.

“Akan tetapi, dengan kesanggupan kami untuk berkongsi pengalaman dan ilmu bersama mereka untuk memasak secara pukal atau “soup kitchen” ini, sekurang-kurangnya inisiatif kami tidak terhenti setakat memberi makan setiap bulan.

“Kami rela untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan dalam ilmu masak memasak. Resipi kami bukan rahsia pun kerana kita semua tahu, resipi masakan tradisional adalah turun-temurun iaitu daripada satu generasi kepada satu generasi,” katanya.

Prihatin bab makanan, menurutnya pihaknya amat bersemangat, dan oleh itulah di Pak Jen tidak menggunakan ramuan peket atau sos sedia ada, sebaliknya menyediakan sendiri ramuan dari mula hingga akhir.