BAYANGKAN bila masyarakat berpecah belah, negara jadi kacau-bilau, huru-hara menjadikan keselamatan dan keamanan negara akan terancam.

Kadar jenayah dalam negara meningkat berikutan perbalahan dan pergaduhan antara kaum, saling membenci dan tiada rasa kasih-sayang, tanggungjawab dan kerjasama.

Tunjuk perasaan, perhimpunan dan aktiviti tidak sihat akan berleluasa, nyawa rakyat tidak selamat dan terancam. Masalah sosial meningkat kerana tiada sikap untuk saling bekerjasama.

Rakyat kelompok penting menjamin keselamatan dan keamanan negara, namun jika berpecah belah, contoh di atas tidak mustahil berlaku.

Sifat berbaik sangka pelbagai kaum, agama, bahasa dan budaya, satu keunikan yang tidak terdapat di mana-mana tempat di dunia ini yang harus kita teruskan sampai bila-bila.

Dalam keadaan negara kita diuji dengan persengketaan, fahaman politik, sebenarnya kita sudah menunjukkan kepada dunia bahawa negara ini model rakyat pelbagai kaum yang hidup dalam keamanan.

Namun hakikatnya, isu-isu berkaitan perpaduan kaum sentiasa jadi topik hangat.

 

Arah penyepaduan

Hakikatnya, perpaduan kita idamkan di Malaysia, tetapi masih belum tercapai, kata Pengarah Pengasas, Institut Kajian Etnik (Kita), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin.

Menurutnya, apa kita capai dan dakap dengan penuh debaran dan cabaran hingga kini ialah suatu proses berbentuk kesepaduan dan untuk menenangkan debaran itu, kita sentiasa berusaha mencari jalan ke arah penyatupaduan.

“Kesemua ini kita lakukan berdasarkan tiga prinsip utama, iaitu tawar menawar (bargaining), berunding (negotiation) dan perantaraan (mediation). Apa kita capai selama ini adalah berasaskan platform integrasi telah kita bina.

“Ada berjaya, ada gagal, tetapi kita tidak pernah berhenti mencuba kerana keganasan bukan pilihan kita. Harmoni, kestabilan dan keamanan tetap jadi santapan hidup seharian kita dalam mengurus perbezaan sesama kita dalam masyarakat berbilang kaum,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Syarahan Kijang Kencana 2018 bertajuk Perpaduan, Kesepaduan dan Penyatupaduan: Cabaran Membina Platform Integrasi di Malaysia anjuran Persatuan Kemajuan Wanita Kelantan di Kuala Lumpur dan Selangor (Puspa), berlangsung di ibu negara, baru-baru ini.

Hadir dalam program, Penasihat 1 Puspa, Tengku Razaleigh Hamzah dan Presiden Puspa, Prof Datin Dr Rahimah Ahmad.

Dalam pada itu, Shamsul tidak menafikan masyarakat bercakap mengenai perpaduan umpama mantera terutama semenjak Peristiwa 13 Mei 1969.

“Walaupun 13 Mei kita tengok (tragedinya) kecil jika dibandingkan luar negara, tapi impaknya pada Malaysia menukar gelombang politik dan ekonomi negara. Sangat penting untuk kita ketahui kerana kadangkala ramai ambil mudah, perkara ini penting dan kadangkala perlu dihuraikan.

“Bagaimana Malaysia kekalkan keamanan, persoalan ini hanya ditanya kepada beberapa negara di dunia, tidak pada semua negara. Kita perlu tahu kita sangat-sangat istimewa. Saya rasa ini cabaran utama untuk semua rakyat Malaysia iaitu untuk memahami di keliling kita ada kepelbagaian,” katanya.

Negara bekas tanah jajahan seperti Malaysia dan Indonesia sentiasa berdepan cabaran ‘unity in diversity’ atau perpaduan dalam kepelbagaian. Yang lebih menarik dan jarang diperkatakan kepelbagaian tafsiran dan wajah fenomena kepelbagaian itu sendiri.

Menurutnya, hingga kini kepelbagaian itu pula membawa penjelmaan tiga wajah, iaitu wajah positif, wajah konflik dan satu lagi wajah idaman.

“Saya ambil contoh dari segi bajet, wajah positif banyak usaha untuk ‘menjual kepelbagaian’ kita seperti ‘Tahun Melawat Malaysia’. Kita laburkan beratus juta untuk rai dan jayakan usaha mendukung dan mempromosikan kepelbagaian ini.

“Tapi wajah negatif wujud serentak dengan wajah positif itu kita nak sorokkan, tapi itulah banyak diperkatakan. Tiap ciri perbezaan seperti etnik, agama, bahasa, adat resam berpotensi timbulkan konflik, pertelingkahan, fitnah- memfitnah sering dibakar khabar angin hingga timbul prasangka hingga mengipas emosi dan mencairkan rasionaliti,” katanya.

Menurutnya, biarpun begitu keadaannya, cabaran wajah negatif ini tidak menerima perhatian wajar oleh kerajaan, maka tidak mendapat peruntukan bajet selumayan kempen wajah positif.            

 

Perpaduan hanya wajah idaman               

Selepas wajah positif dan wajah negatif, terdapat ‘wajah idaman’ di mana ia muncul dari keinginan kita yang berhasrat membentuk perpaduan paling ideal, iaitu ‘unity in uniformity’ atau perpaduan dalam kesatuan.

Shamsul berkata, keinginan idealistik ini sering dilaungkan terus menerus dalam ucapan politik dan di surat khabar serta kerap dalam lirik lagu patriotik, sedangkan tahu dan sedar yang nyata wujud ialah perpaduan dalam kepelbagaian, bukan dalam satu kesatuan.

“Hingga kini, penyuaraan psikik bersifat merindui dan mengidamkan perpaduan dalam kesatuan masih berterusan walaupun kita sama-sama tahu ini tidak mungkin tercapai.

“Kita ada wajah idaman, harapan untuk kita. Kalau boleh semua orang nak sama, pada saya memang tak boleh, hanya Pol Pot dan Hitler (pemimpin diktator) yang buat. Habis dibunuh orang Yahudi dan Kemboja. Inikah kita mahu? Saya pasti orang Malaysia tak mahukan itu,” katanya.

Mengulas kepentingan perpaduan melalui ‘perpaduan politik’ antara parti, Shamsul menyifatkan dalam politik tiada ‘kawan dan lawan’ sebaliknya sekiranya sesuatu parti politik bergabung ia kerana adanya kepentingan, menyebabkan ukuran kerjasama mencari jalan tengah untuk kompromi kepentingan.

Ditanya adakah situasi politik sekarang menggugat perpaduan, menurutnya ia tidak memecahkan perpaduan, sebaliknya situasi berlaku hanya ibarat gelagat budak-budak berkelahi.

“Realiti kepelbagaian, pemimpin atasan tiada masalah kerana bila bersatu ada kepentingan bersama.. Tapi rakyat di bawah kepentingan bersama itu tidak sangat dirasakan.

“Mereka tak berhubung, sebab itu ada yang tak boleh berbahasa Melayu pun, sehingga surat rasmi kerajaan terpaksa ditulis dalam bukan bahasa Melayu. Bagi saya, yang di atas tu ada semangat kekitaan, mereka di bawah tu belum ada, kadang tak boleh pun bercakap antara satu dengan lain,” katanya.

 

Setuju integrasi

Mengulas kaedah mengurus kepelbagaian dihadapi, memberikan contoh, menurutnya ia seperti di Indonesia yang mengambil cara asimilasi, seperti menutup semua surat khabar, sekolah selain yang berbahasa Indonesia.

Manakala di Malaysia katanya, kita sudah bersetuju tidak ada asimilasi, tetapi integrasi, di mana ada penerimaan orang asing.

“Kita tak boleh asimilasi... boleh berkelahi. Itu realiti sejarah tak boleh kita ketepikan. Kenyataan sejarah ada, tapi keinginan semasa itu lain. Keinginan semasa yang orang tak faham sejarah, itu nak semuanya sama. Itu saya kata, ini hanya mimpi di siang hari.

“Jika anda faham maksud kepelbagaian, anda akan faham kesepaduan. Jika mahu satu bahasa, satu bangsa, satu negara.. semua satu, tapi sebenarnya kita tak boleh capai.

“Dalam satu nafas itu, perpaduan di Malaysia ini berkaitan wajah positif, negatif dan wajah idamannya. Inilah cabaran pada kita,” katanya.

Sementara itu, mengulas cadangan supaya hanya satu sekolah untuk semua bangsa bagi merapatkan integrasi kaum, Razaleigh tidak menolak cadangan itu.

“Kalaulah ada dasar, satu bahasa kemungkinan sekolah jenis lain tak boleh wujud, sebaliknya satu aliran, maka mungkin akan wujud perpaduan.

“Tapi seperti Prof kata tadi, itu cita-cita, tak mungkin boleh berlaku tapi sekurang-kurangnya, ada persamaan,” katanya.

Rumusan syarahan mencadangkan usaha perpaduan-kesatuan-penyatupaduan harus jadi agenda utama negara yang perlu difahami semua pihak, dalam kata lain perlu mentafsir semula konsep perpaduan dipegang selama ini.

Usaha penyatupaduan ini akan membantu negara membangun lebih seimbang dan akan mengikut kesepaduan sosial ke arah impian mengecap perpaduan diidamkan.-AG