PEMILIHAN Umno kali ini dilihat sangat terbuka dan berlainan sekali. Buat berapa dekad lamanya, pemilihan kali ini dilihat membuka lebih ruang dan peluang buat ahli untuk bersaing terutamanya melibatkan pertandingan kerusi Presiden dan Timbalan. Jadi, untuk berbicara mengenai perubahan dalam pemilihan ini, Sinar Harian berkesempatan menemubual calon Naib Presiden Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ikuti temubual Ismail bersama wartawan Nasional MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI dan jurugambar ROSLI TALIB di pejabatnya baru-baru ini.

Apa pandangan Datuk Seri mengenai pemilihan Umno kali ini?

Pada saya pemilihan kali ini lebih terbuka, dan minat ini nampak berbeza dari sebelum ini, kalau dulu untuk pemilihan Presiden dan Timbalan Presiden kadang-kadang tiada pertandingan.

Dari segi keterbukaan pun jelas, nampak ramai, jauh berbeza dari dulu.

Datuk akan bertanding sebagai Naib Presiden jadi, apa yang Datuk Seri mahu bawakan dalam Umno?

Pertamanya sudah tentu sebagai Naib Presiden kita akan membantu Presiden, dan Timbalan Presiden, dan tentu sahaja semua orang cakap soal transformasi secara total dalam Umno. Jadi saya kira saya juga akan membantu parti untuk berubah dan membantu Presiden untuk membawa transformasi dalam parti.

Keduanya, mempertahankan Melayu dan Islam itu masih lagi merupakan agenda utama saya.

Meskipun ada yang bercakap soal perubahan dalam Umno, ada yang bercakap soal memberi ruang kepada bukan Melayu misalnya, tetapi saya lihat dari segi asas perjuangan Umno itu, tidak boleh lari daripada prinsip mempertahankan Melayu, Bumiputera dan Islam.

Ini tidak boleh dikompromikan walau apa perubahan yang kita nak cakap sekalipun, dua perkara ini kita tak boleh kompromi dan saya akan pertahankan hak keistimewaan orang Melayu, Bumiputera, Islam.

Kalau kita lihat selepas kemenangan Pakatan Harapan, bahawa mereka secara terbuka mempersoalkan hak keistimewaan orang Melayu, dan cuba memasuki sempadan, misalnya mula persoalkan Jakim, jadi perlu ada parti mampu pertahankan hak kita, jadi saya lihat tiada lain, hanya Umno sahaja.

Bagi saya, telah dicop ultra Malay dan sebagainya dan saya akan terus jadi ultra Malay.

Mampukah Umno kembali mendapat kepercayaan rakyat?

Saya percaya Umno perlu dan mampu mengembalikan kepercayaan rakyat kepada parti keramat ini.

Salah satu manifesto saya misalnya, adalah untuk membawa suara rakyat iaitu suara akar umbi ke peringkat tertinggi, Umno mungkin selama ini dilihat parti elitis , feudal dan sebagainya, jadi dari segi suara akar umbi dilihat agak kurang didengar.

Umno parti yang dimiliki ahli, dimiliki oleh rakyat, kalau kita lihat perhimpunan agung Umno misalnya, dikawal dari segi apa yang mereka nak perkatakan, jadi ini perkara yang kurang diminati ahli, begitu juga di peringkat bahagian. Jadi selepas ini ahli diberi kebebasan untuk bersuara dan kalau dipilih (Naib Presiden) saya akan mendengar dan membawa suara akar umbi ke peringkat lebih tertinggi.

Pengajaran dan iktibar yang boleh diambil selepas kejatuhan BN pada PRU14 lalu?

Kita sebagai orang Islam percaya setiap kejadian itu ada hikmahnya, mungkin hikmah yang terbesar adalah ALLAH memberikan kita peluang untuk kita berfikir semula.

Bak kata orang lepas mengantuk baru terngadah sebab itu, selepas PRU14 baru kita cakap soal transformasi, soal perubahan dan sebagainya, selepas kalah baru kita cuba, mungkin ALLAH nak beri kesedaran, agar kita bangkit dari tidur.

Mungkin kalau tak kalah, kita terus dengan cara lama, dan akhirnya orang akan tolak kita juga, kalau kita lihat kumpulan yang banyak menolak kita daripada golongan muda, jadi kalau kita tak sedar lagi bermakna akhirnya kita akan terus ditolak. Kita perlu lihat program kita semula yang mungkin tak menarik bagi mereka, jadi apa yang perlu dilakukan ialah melihat perubahan ini.

Media sosial medium yang penting selama ini, hanya tertumpu kepada orang bandar sahaja , untuk orang kampung mungkin tak peduli kepada media sosial tapi kita lupa pengaruh anak-anak muda di mana mereka yang ada di Kuala Lumpur boleh mengubah pemikiran ibu bapa yang tak pernah lihat media sosial, jadi media sosial perlu diberi perhatian.

Ketiganya dari segi perkhidmatan, kita menganggap apabila memberi perkhidmatan itu sudah pun mencukupi, sebenarnya kita sedar selepas kekalahan kita selain daripada memberi perkhidmatan. Isu merupakan perkara penting.

Rakyat Malaysia sekarang tidak lagi rasa cukup dengan perkhidmatan yang diberi tetapi isu juga boleh pengaruhi mereka, jadi kalau setakat kita memberi perkhidmatan di kampung misalnya, tetapi isu tak boleh diselesaikan atau pun segala isu tidak dijawab dengan baik pun boleh beri kesan kepada kita.

Kegagalan menjawab isu 1MDB menyebabkan salah satu faktor kekalahan BN?

Ya , salah satu isu ini, isu DOJ, isu derma RM2.6 bilion ini merupakan isu yang dulu kita anggap hanya di peringkat atasan Melayu bandar, di peringkat pengundi bandar sedangkan kita turun kampung kita tak pernah bawa isu ini.

Ini kerana bagi kita tak perlu bawa orang kampung tak peduli.

Anggapan kita anggap mereka tak faham jadi tak perlu teranglah , tapi sebenarnya anggapan ini salah, kerana isu ini juga mempengaruhi pemikiran mereka.

Mungkin mereka tak faham mula-mula tetapi anak-anak mereka di bandar balik akan menjelaskan kepada mereka, sebab itu saya kata isu ini penting, dulu kita anggap perkara penting bagi orang kampung adalah isu kos sara hidup dan  GST jadi kita fokus dua isu ini.

Adakah Datuk Seri masih percaya kepada jenama BN atau adakah BN wajar dibubarkan dan bentuk suatu gabungan baru, seperti dilakukan Parti Perikatan?

Bagi saya kita perlu melihat semula perkara ini, kita perlu lihat kembali tentang keperluan BN itu sendiri, kalau kita lihat BN hanya tinggal beberapa parti iaiu MCA, Umno, MIC, Sarawak sendiri sudah di luar.

Saya rasa Umno juga perlu fikirkan bukan setakat jenamakan semula Umno, tetapi jenamakan semula BN kerana buat masa ini daripada berbelas parti hanya tinggal tiga sahaja rakan kongsi kita, dan yang keluar terbaharu adalah Gerakan.

Walaupun bagi saya ada Gerakan tidak membawa makna yang besar kepada BN, saya difahamkan pengundi Cina yang menyokong BN hanya 2.4 peratus mungkin 2 peratus dibawa oleh MCA, 0.4 peratus dibawa Gerakan , mereka keluar tak memberi kesan yang besar tetapi dari segi kesan BN itu ya! orang kata Gerakan pun sudah keluar BN.

Saya percaya selepas pemilihan Umno nanti mungkin kepimpinan baharu perlu melihat secara keseluruhan BN sama ada nak kekal BN, sama ada nak baharu atau tukar jenama baharu itu akan dibincangkan, tetapi setakat ini BN Perlu  fikir keperluan teruskan perjuangan.

Apa pandangan mengenai keperluan Umno buka keanggotaan kepada bukan Melayu?

Itu pandangan peribadi yang memerlukan persetujuan ahli akar umbi kerana ini isu yang besar, perubahan perlembagaan perlu dari segi persetujuan ahli.

Umno diwujudkan untuk Melayu dan Bumiputera sejak dari awal, Dato Onn Jaafar cuba tetapi tidak diterima waktu itu, kalau kita mahu buka keahlian kita perlu ada alasan, adakah kita nak jadi parti alternatif kepada PKR.

Kalau kita lihat dalam PRU lalu kita dapat undi yang besar daripada orang Melayu, kegagalan kita kerana parti komponen Cina yang gagal tarik undi, tapi Umno dapat undi yang besar. Jadi adakah kita rasa Umno telah gagal?

Lagi pun Tun Dr Mahathir Mohamad tubuhkan Bersatu,  beliau juga tidak jadikan parti itu sebagai parti kepelbagaian kaum.

Beliau menjadikan Bersatu parti Melayu seperti Umno, tetapi kepimpinan Dr Mahathir diterima, maknanya bukan salah parti tetapi mungkin pendekatan yang berbeza atau rakan kongsi yang kuat menyebabkan mereka berjaya.

Bagaimana kerjasama dengan Pas-Umno selepas PRU14 ini?

Saya kira kita boleh kerjasama dengan siapa sahaja, tidak terhad kepada Pas tetapi kepada sesiapa sahaja, asalkan bawa keuntungan kepada Melayu, Bumiputera dan Malaysia amnya, sesiapa sahaja.

Sesiapa sekalipun yang penting hak Melayu dan Bumiputera terjaga, begitu juga program Islam dan Raja-raja Melayu tidak dikacau, jadi tiada masalah.

Pandangan Datuk Seri mengenai pentadbiran kerajaan sekarang?

Sebab itu saya kata mereka ini (Pakatan Harapan) hanya nak menang PRU14, jadi mereka tahu orang Malaysia senang digula-gulakan oleh janji. Maka mereka kira yang penting menang dulu, jadi selepas itu apa nak jadi jadilah.

Sebab itu saya lihat janji yang tidak munasabah yang mereka janjikan, kata kita tak boleh jadi populis semata-mata, tapi mesti berpijak.

Janji menang esok turun harga minyak, sudah tentu tak boleh kalau nak turunkan harga minyak, kena tingkatkan subsidi jadi tak mungkin dari RM2.20 jadi RM1.50, berapa bilion nak tanggung?.

Saya ada dalam kerajaan sebelum ini, tahu tak mungkin boleh dilaksanakan. Jadi saya nampak huru-hara pemerintahan hari ini, banyak perkara tak dibincangkan dalam Kabinet tapi diumumkan dulu. Perdana menteri, umum dulu tak bincang dalam Kabinet.

Kerajaan caca marba macam tiba-tiba elaun nelayan dihentikan, mereka seolah tak tahu subjek  nak cakap dan mereka tak bawa bincang dalam Kabinet.

Mungkin sedikit nasihat?

Saya menasihatkan agar cukuplah mereka ini berpolitik. PRU sudah tamat, mereka dah menang, rakyat sudah beri kepercayaan dan tanggungjawab kepada mereka untuk mentadbir.

Tadbirlah dengan betul-betul, buat baik-baik dan tak perlu lagi setiap kali cakap nak cakap politik, tujuan nak hentam kerajaan lama.

kita perlu bergerak ke hadapan, lima tahun ini fokus nak buat kerja , lima tahun jumpa lagi digelanggang kita akan cuba rampas itu yang sepatutnya.

Nasihat untuk mereka yang keluar parti?

Mereka mengkhianati kepercayaan rakyat bukan sahaja khianati parti, tapi yang lebih besar mereka khianati rakyat, kalau keluar parti pertama khianati parti kedua adalah khianati rakyat.

Saya rasa apa dilakukan (keluar parti) itu amat tidak bermoral dan tidak patut dilakukan.