SERI MANJUNG - [DIKEMASKINI] Seorang wanita hamil 26 minggu maut selepas kereta yang dinaikinya terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga jenis kenderaan di KM 23 Jalan Sitiawan - Teluk Intan, di sini petang tadi.

Mangsa, Noraini Nasri, 31, menghembuskan nafas terakhirnya di wad kecemasan Hospital Seri Manjung (HSM) pada jam 6.05 petang ketika sedang menerima rawatan.

Difahamkan, mangsa menaiki Toyota Avanza bersama suami dan tiga anaknya, seorang lelaki dan dua perempuan berusia antara tujuh hingga 10 tahun.

Timbalan Ketua Polis Daerah Manjung Deputi Superitendan Chong Boo Khim berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada jam 3.50 petang melibatkan tiga buah kenderaan iaitu Toyota Avanza, Hyundai Elantra dan Toyota Vios.

"Kejadian menyebabkan seorang wanita maut, empat cedera ringan, dan sembilan lagi tidak mengalami kecederaan.

"Mangsa yang maut berusia 31 tahun merupakan penumpang belakang kereta Toyota Avanza, manakala empat lagi yang cedera adalah pemandu dan penumpang kenderaan yang sama," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tambahnya kesemua mangsa yang cedera merupakan pemandu dan penumpang Hyundai Elantra (tiga orang) dan Toyota Vios (enam orang).

"Kenderaan yang dinaiki mangsa menghala ke arah Sitiawan daripada Teluk Intan.

"Keadaan jalan ketika kejadian berturap tar, garisan putus-putus pembahagi jalan, jalan lurus serta cuaca baik dan cerah," katanya.