PERSATUAN  Tindakan Alam Sekitar Kuala Langat  menggesa Kerajaan Selangor, Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) memeriksa secara  telus lesen premis perniagaan kilang plastik di daerah berkenaan.

Peguam dan juga aktivis NGO itu, CK Lee berkata, menjadi kewajipan pihak berkuasa untuk memantau secara konsisten sama ada terdapat pelanggaran atau premis berkenaan berselindung di sebalik lesen membuat barangan plastik.

"Sekurang-kurangnya terdapat 15 kilang plastik di daerah Kuala Langat tetapi  kami sebagai NGO mahu tahu, sama ada lesen mereka itu digunakan secara telus.

"Kami bimbang jika lesen pembuatan barangan plastik disalahgunakan untuk menjalankan operasi mengitar semula barangan plastik.  Ia adalah dua aktiviti berbeza. Pihak kami juga bimbang peraturan dalam pelupusan sisa plastik, termasuk pembuangan sampah dan pembakaran secara terbuka dilakukan oleh premis-premis tersebut," katanya.

Menurutnya, Persatuan Tindakan Alam Sekitar Kuala Langat   sedia maklum pihak berkuasa sudah mengambil tindakan dengan menyita serta membuat pemotongan bekalan elektrik terhadap beberapa premis yang beroperasi tanpa lesen di Kuala Langat.

"MDKL mesti terus buat pemantauan berkala untuk memastikan kilang itu benar-benar menghentikan aktiviti sepenuhnya. Tolong siasat sembilan dari 15 kilang yang ada itu, "katanya.

Menurut aktivis itu lagi, pihak berwajib perlu memantau sejauh mana ketelusan pemberian lesen kepada premis itu sama ada mereka mematuhi syarat lesen untuk buat barangan plastik atau kitar plastik.

"Sama ada  premis itu memproses sampah plastik tempatan atau import dengan memiliki Permohonan Lesen Import. Perlu diselidik jumlah tan sampah plastik  diproses, termasuk lokasi sisa proses plastik dibuang sama ada menunjukkan pelanggaran peraturan dalam pelupusan sisa, pembuangan sampah dan pembakaran secara terbuka.

"Mungkinkah wujud skandal salah guna kuasa atau rasuah dalam  perlu diselidiki pihak berwajib," tegasnya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Tindakan Alam Sekitar Kuala Langat Tan Ching Hin  berkata, persatuannya aktif menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa tempatan bagi membanteras aktiviti kitar semula plastik secara haram di Kuala Langat, sejak Julai  tahun ini.

"Kami mahu pihak berkuasa periksa, jika kegiatan kitar semula plastik secara haram masih berlaku.

"Kami buat tinjauan sendiri mendapati terdapat premis yang masih ada bekalan plastik yang terlalu banyak dan bagaimana mereka uruskan?" Soalnya.

Jelas Ching Hin, terdapat beberapa premis masih mempunyai sejumlah besar sisa plastik yang diimport disimpan di premis yang disita itu dan pada masa sama ada yang  dibiarkan berlonggok di tempat terbuka di Pulau Carey.

Berdasarkan pemerhatian Wartawan Sinar Siasat, terdapat kesan pembakaran semula yang pastinya mengakibatkan pencemaran udara dan sampah-sampah itu juga pastinya mencemarkan sungai kerana dilonggok di tepi sungai.

Mengulas perkara itu Ching Hin berkata, ia menunjukkan pelanggaran peraturan secara  dalam pelupusan sisa plastik apabila melakukan pembuangan sampah dan pembakaran secara terbuka.

Dalam pada itu dia mendakwa mendapat maklumat bahawa beberapa pengusaha kitar semula plastik kini menukar modus operandi mereka ke tempat lain dipercayai sekitar Semenyih, Kuala Kubu Bharu, Bukit Pelanduk dan Port Dikscon.

Umum tahu tindakan keras Kerajaan menutup 114 kilang haram memproses sisa plastik sekitar Julai lalu,namun persoalannya adakah kita benar-benar sudah  menangani masalah sampah ini?

Kuatkah tahap penguatkuasaan kita atau tidak mustahil wujudnya penyelewengan, tauke-tauke kilang berselindung di sebalik lesen perniagaan membuat plastik.

Kisah di Kuala Langat ini bukan baharu kerana penduduk Telok Panglima Garang misalnya, kerap mengadu kesihatan terjejas akibat pencemaran udara dari pembakaran plastik, malah bukan sedikit mendakwa sesak nafas, batuk dan sukar tidur gara-gara terhidu asap bertoksin. 

Jika benar, mereka pindah dari Kuala Langat, pastinya ada mangsa baharu di daerah baharu itu!