PORT DICKSON - Mangsa bunuh juruteknologi pergigian, Mahussin Abd Rahim, 28, dengan suspek berusia 19 tahun yang direman polis kelmarin dipercayai ada menjalinkan hubungan sulit.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Zainudin Ahmad berkata, suspek dan mangsa berkenalan melalui aplikasi WeChat seminggu sebelum mereka bertemu pada 15 Januari lalu.

Menurutnya, suspek datang ke Lukut menaiki bas selepas mangsa berjanji mahu mencarikannya pekerjaan.

"Mangsa membawa suspek tinggal dirumahnya namun suspek bertindak memukul kepala mangsa selepas tiga hari mereka tinggal serumah.

"Berdasarkan siasatan lanjut, antara sebab suspek melakukan tindakan jenayah itu kerana dia tidak berpuas hati serta merasa di tipu apabila janji mendapatkan pekerjaan tidak ditunaikan," katanya.

Zainudin berkata, suspek juga mendakwa dia tertekan kerana sejak 15 Januari hingga hari kejadian iaitu 18 Januari dia dikurung dirumah itu.

"Ketika siasatan, suspek mengaku memukul mangsa dengan topi keledar dan alat pemadam api dan mendakwa ketika meninggalkannya mangsa masih bernafas.

"Suspek kemudian keluar dari rumah berkenaan pada 18 Januari dan membawa motosikal mangsa balik ke Senai Johor," katanya.

Zainudin berkata, suspek ketika ditahan polis dirumahnya di Senai tidak mengetahui mangsa telah meninggal dunia.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson pagi tadi.

Pada 22 Januari lalu, sekitar jam 8.30 pagi di kediaman tingkat empat kuaters kakitangan klinik kesihatan di Lukut mayat juruteknologi pergigian Mahussin Abd Rahim,28, ditemui oleh rakan sekerjanya yang datang kekediaman tersebut selepas dia tidak hadir kerja sejak Jumaat 18 Januari.

Hasil bedah siasat mendapati, punca kematian adalah kecederaan parah di muka dan kepala akibat hentakan objek tumpul.

Dalam kejadian itu, motosikal dan topi keledar serta beg duit si mati hilang. Sehari selepas kejadian berlaku, melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) suspek dikesan berada di sebuah restoran makanan segera di Nong Chik, Skudai Johor.

Suspek berjaya dikesan selepas menggunakan motosikal si mati dan berdasarkan rekod penggunaan kad debit si mati dan berjaya diberkas polis sekitar jam 9 malam Selasa lalu.
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BUKIT MERTAJAM - Pasangan suami isteri direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kematian anak mereka yang berusia 46 hari di Kampung Tok Panjang, Bukit Tengah di sini pagi semalam.
  • KAJANG - Dua mayat berlumuran darah ditemui di Jalan Balakong 3, dekat sini, malam tadi. Polis dimaklumkan kejadian terbabit selepas menerima panggilan orang awam kira-kira jam 7.45 malam.
  • SUNGAI BULOH - Seorang kontraktor meminta pihak berkuasa menyiasat semula punca kematian anak lelakinya yang sedang menjalani hukuman penjara selepas disahkan meninggal dunia akibat jangkitan di bahagian dada di Hospital Sungai Buloh pada Isnin lepas.
  • LUMUT - Bangkai seekor anak ikan lumba-lumba seberat 5 kilogram ditemui terdampar dalam keadaan luka di ekor dan perut terburai di Pangkalan Baru Marina Island di sini, hari ini.