KESEJAHTERAAN sumber manusia dalam organisasi turut dipengaruhi oleh persekitaran. Persekitaran dalaman dan luaran organisasi yang selesa akan membawa kepada sumber manusia organisasi yang sihat, ceria dan mampu melakukan tugas dengan jayanya. Kesihatan dan keceriaan sumber manusia ini nanti akan menyumbang pula kepada peningkatan produktiviti individu dan produktiviti organisasi.

Namun begitu, pernahkah anda berhadapan situasi seperti berasa sesak nafas, pening atau sakit kepala, pedih mata, lesu, atau kulit menjadi gatal apabila memasuki dan berada di dalam sesebuah bangunan, sedangkan anda tidak mengalami masalah-masalah ini sebelum memasuki bangunan tersebut?

Yang menjadi semakin pelik adalah anda kembali sihat seperti biasa selepas beberapa jam atau beredar meninggalkan bangunan yang berkenaan. Situasi yang anda alami itu bukanlah sesuatu yang misteri, mistik atau magis. Hal ini sebenarnya ada kaitan dengan persekitaran bangunan tersebut iaitu sindrom bangunan tidak sihat (sick building syndrome).

Sindrom bangunan tidak sihat adalah suatu situasi di mana individu di dalam sesebuah bangunan mengalami kemerosotan tahap kesihatan dan keselesaan yang kronik. Ia amat berkait dengan tempoh masa seseorang itu berada di dalam bangunan tersebut. Semakin lama seseorang itu berada di dalam sebuah bangunan yang mempunyai sindrom bangunan tidak sihat, semakin tidak sihatlah dia.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia menjelaskan bahawa bangunan tidak sihat merupakan keadaan yang mana individu dalam bangunan mengalami simptom dan rasa tidak selesa tanpa sebab-musabab yang jelas. Kajian menunjukkan bahawa sindrom ini boleh terjadi akibat masalah kualiti udara dalaman yang buruk. Aduan kesihatan yang sering dikaitkan dengan sindrom bangunan tidak sihat ialah sakit kepala, kerengsaan mata, hidung tersumbat dan selesema, tekak gatal dan sakit, batuk kering, kulit gatal dan kering, loya dan pening, sukar memberi tumpuan, kelesuan atau keletihan dan sensitif kepada bau.

Masalah ini juga berkaitan dengan aduan terhadap batuk, sesak dada, demam, kesejukan dan sakit otot oleh sesiapa yang berada di dalam bangunan tersebut. Kebanyakan aduan dan masalah yang dinyatakan ini selalunya akan hilang apabila pengadu meninggalkan bangunan, namun ada juga yang mengalami masalah-masalah ini secara berlarutan walaupun selepas meninggalkan bangunan.

Sebenarnya sindrom bangunan tidak sihat bukan sahaja berpunca dari dalam bangunan, malah ia juga boleh tercetus dari luar bangunan termasuklah sensitif atau alahan kronik, stres pekerjaan dan lain-lain faktor psikososial.

Jika simptom sebegini wujud dalam organisasi, maka berkemungkinan besar organisasi berada dalam kategori sindrom bangunan tidak sihat. Sesuatu perlu dilakukan bagi memastikan sebarang masalah kesihatan tidak menjejaskan prestasi dan kualiti kerja yang akan dilaksanakan oleh sumber manusia.  

Penyebab sindrom

1. Sistem pengudaraan dalam bangunan yang tidak sempurna. Sistem pengudaraan ini berkait dengan dengan sistem pengaliran udara dan sistem penyaman udara yang tidak diselenggara secara sempurna. Sistem pengudaraan yang tidak baik menyebabkan bahan karbon dioksida, karbon monoksida dan sebagainya terkumpul di dalam bangunan.

Masalah pengudaraan ini akan menjadikan kualiti udara di dalam bangunan tercemar dan terjejas. Sistem penyaman udara yang membekalkan suhu yang tidak bersesuaian pula boleh menyebabkan kesejukan atau kepanasan melampau di dalam bangunan.

2. Bahan binaan bangunan yang tidak bersesuaian dengan persekitaran dan cuaca. Bahan binaan seperti asbestos melepaskan wap bahan kimia ke udara yang menjadi punca iritasi kepada penghuni bangunan tersebut. Bagi bangunan yang dibuat daripada kaca sepenuhnya pula akan mencetuskan kepanasan melampau kepada bangunan tersebut.

3. Penghasilan ozon daripada peralatan di dalam bangunan. Ozon yang terhasil daripada mesin fotostat dan pelarut organik misalnya menjadi penyebab kepada sindrom bangunan tidak sihat yang memberi masalah kepada kesihatan sumber manusia.

4. Pencemaran biologi kesan daripada pembiakan kulapuk, bakteria, kulat dan pepijat. Bangunan yang tidak diselenggara dengan baik dan berkala akan menggalakkan pembiakan kulapuk, bakteria, kulat dan pepijat. Kesemua hidupan ini mampu membiak di permaidani, lantai yang lembap, bilik air, stor penyimpanan dokumen dan tempat-tempat yang lembap dan kurang mendapat cahaya matahari.

5. Sistem pencahayaan dalam bangunan yang tidak mencukupi dan malap. Kekurangan pencahayaan semula jadi daripada matahari membantu meningkatkan kejadian sindrom bangunan tidak sihat. Persekitaran dalaman bangunan tersebut akan menjadi lembap dan berbau hapak atau busuk. Selain matahari, pencahayaan dalaman daripada lampu yang malap atau kurang terang juga turut membantu menggalakkan timbulnya masalah ini.

6. Faktor persekitaran bangunan. Penghasilan karbon monoksida daripada kenderaan yang diparkir berdekatan dengan bangunan akan menyebabkan sindrom bangunan tidak sihat. Selain itu suhu di dalam dan luar bangunan yang tidak sesuai, kelembapan, bau, bunyi bising dan getaran di dalam bangunan juga membawa kepada terhasilnya sindrom bangunan tidak sihat.

Penyelesaian

Melakukan penyelenggaraan bangunan dan persekitaran dalamannya. Penyelenggaraan ini termasuklah melakukan pembersihan udara dan meningkatkan kadar pengudaraan semula jadi ke dalam bangunan. Pembersihan berkala perlu diamalkan bagi mengawal habuk, pembiakan hidupan seperti kulat dan kekotoran dalaman.

Mengawal pembiakan kulat. Ia boleh dilakukan dengan cara mengatasi kebocoran paip air dalam bangunan, memastikan tidak ada kawasan dalam bangunan yang basah atau lembap dan membenarkan pencahayaan semula jadi memasuki bangunan.

Menghapuskan sumber bahan tercemar. Penggunaan bahan kimia seperti racun serangga dan bahan pencuci dalam organisasi perlu mengambil kira impaknya terhadap kesihatan sumber manusia dan persekitaran organisasi. Jika perlu, gunakan racun serangga dan bahan pencuci organik yang mesra pengguna dan mesra alam sekitar.

Meningkatkan komunikasi dan pendidikan dalam kalangan sumber manusia organisasi. Antara komponen penting dalam meningkatkan kesedaran tentang sindrom bangunan tidak sihat adalah melalui pendidikan dan komunikasi. Organisasi perlu mengadakan latihan berterusan, penyeliaan dan menyediakan maklumat berkaitan bahaya sindrom bangunan tidak sihat serta cara mengatasinya kepada semua sumber manusia organisasi.

Hakikatnya, sindrom bangunan tidak sihat merupakan suatu masalah kepada organisasi. Adalah menjadi tanggungjawab semua pihak terutamanya Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan bagi memastikan sindrom ini tidak berlaku kepada organisasi anda. Kegagalan mengurus sindrom ini boleh menjejaskan bukan sahaja prestasi dan kesihatan sumber manusia, malah produktiviti dan daya saing organisasi.

* Prof Dr Zafir Khan Mohamed Makhbul ialah Timbalan Dekan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UKM