JEMPOL - Sebut sahaja legenda sepak takraw, nama Pak Sahak atau Sahak Yasin, 70, pastinya dikenali umum susulan pernah membawa pasukan Malaysia dalam sukan itu bergelar juara lebih 40 kali.

Beliau sehingga kini masih aktif dalam sukan sama, namun bertindak sebagai konsultan sepak takraw negara pada Oktober tahun lalu.

Sudah sebati dengan jiwanya sukan sepak takraw ini.

Antara keratan akhbar mengenai Ishak pada zaman kegemilangannya.

Katanya, tiada rahsia untuk berjaya melainkan disiplin tinggi dengan sentiasa mengekalkan stamina melalui senaman waktu pagi dan mengambil masa satu jam berenang setiap hari kecuali Ahad.

"Hari-hari saya akan lakukan rutin yang sama. Saya berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 1966 dan ketika itu, saya bertugas di Rejimen Renjer Diraja (RRD).

“Bakat bermain takraw bermula ketika saya menyertai satu kejohanan di Kuching, Sarawak pada 1969 dan ketika itu saya johan.

"Maka dari situ, saya dirisik menyertai pasukan ATM yang berpangkalan di Kuala Lumpur. Saya bertukar kor secara sukarela dari RRD kepada Kor Risik Diraja (KRD),” katanya ketika ditemui.

Sahak yang juga anak jati Kampung Nuri, Johol pada zaman kegemilangannya, terkenal dengan teknik senjata libas gunting dan libas pari seperti peluru hingga tidak mampu dihalang lawan.

Beliau juga merupakan individu bertanggungjawab memperkenalkan kaedah blocking dalam dunia sepak takraw.

"Saya akan berusaha mencurah tenaga demi menaikkan kembali mutu sepak takraw di peringkat antarabangsa sekali gus menaikkan nama Malaysia," katanya.