ANAK-ANAKMU bukanlah anak-anakmu

Mereka adalah anak-anak kepada kehidupan

Mereka datang melaluimu tetapi tidak darimu

Dan walaupun mereka bersamamu, tetap mereka bukan milikmu

Boleh jadi kamu memberikan mereka kecintaanmu, tetapi tidak buah fikiranmu

Kerana mereka mempunyai buah fikir yang tersendiri

Kamu mungkin bisa mengongkong jasad mereka

Tetapi tidak jiwa mereka

Jiwa-jiwa mereka kekal di masa hadapan… - Khalil Gibran

Syed Hussein Alatas dalam bukunya “Intelektual Masyarakat Membangun” menekankan bahawa masyarakat yang tidak mempunyai kelompok intelektual yang berfungsi akan kehilangan tingkat kesedaran dan wawasan terhadap masalah asas.

Jose Rizal pernah menulis mengenai kemalasan orang Filipina dalam The Indolence of the Filipinos’ yang diperakui sendiri oleh Syed Hussein Alatas bahawa masalah utama dalam masyarakat berkembang adalah kemalasan intelektual (Syed Hussein Alatas1987).

Bob Ellis dan Rodney Fopp dalam makalah mereka berjudul Karl Mannheim and the Political Intelligentsia: an Alternative Reading menghuraikan idea Mannheim yang memomokkan perkataan intelegensia dengan pelbagai terjemahan seperti ‘a free intelligentsia’, ‘free-lance intelligentisa, ‘unattached intellectuals’ dan sebagainya.

Namun, terma asalnya daripada bahasa Jerman iaitu ‘freischwebende yang bermaksud ‘free’ (frei) dan ‘floating’ (schwebend) dan intelegensia (intelligenz).

Hurai mereka lagi, terdapat dua kemungkinan kepada terjemahan ‘free floating intellegentsia’ atau intelegensia terapung iaitu (1) intelegensia yang terasing dari kerangka sosial serta (2) intelegensia kelihatan seperti imun dengan kesan-kesan sosial sekitarnya.

Di sinilah letak duduk fungsi kelompok intelektual yang sebenar. Merekalah kelompok yang menjadi pemberdaya kepada segala bentuk perubahan. Saya tidak fikir kita kekurangan kelompok intelektual tempatan yang mempunyai kearifan tempatan (local genius) tersendiri, kerana bagi saya, yang kita kurang bukan orangnya, tetapi fungsinya.

Kita kekurangan kelompok intelektual yang berfungsi di tengah-tengah kepedulian masyarakat. Sebab itu kita kena meninjau semula huraian Syed Hussein Alatas dengan memberikan tafsiran bahawa seorang intelektual berkemampuan untuk (1) pengajuan masalah, (2) pentakrifan masalah, (3) analisis masalah dan (4) penyelesaian masalah.

Kita juga perlu merujuk semula interpretasi Karl Mannheim yang mengutarakan intelektual sebagai social group whose special task is to provide an interpretation of the world for society. Tidak lupa juga kepada tulisan Edward Said yang menekankan bahawa kelompok intelektual itu tidak lain tidak bukan tugasnya ialah membebaskan masyarakat dari segala macam kebodohan.

Kelompok intelektual sangat diperlukan dalam era #malaysiabaharu ini apatah lagi kita semua sangat dahagakan perubahan terutama sekali perubahan dalam sistem pendidikan. Siapakah yang mampu mendidik masyarakat? Tentulah kelompok intelektual. Mereka perlu berusaha menghidangkan sajian pemikiran terbaik supaya masyarakat kurang ‘membawang’ tetapi lebih banyak berbincang secara sihat.

Kelompok intelektuallah yang menggerakkan wacana supaya masyarakat kita ialah masyarakat terdidik, masyarakat yang mempunyai ‘scholarly’ pak cik dan mak cik, dan masyarakat yang tidak mudah terbawa-bawa dengan kontroversi dan gosip murahan.

Siapakah yang mampu mendidik masyarakat? Tentulah kelompok intelektual.

* Dr Maszlee Malik Menteri Pendidikan Malaysia