MENERIMA  Sijil Sistem Pengurusan Kualiti (ISO) pasti menjadi dambaan banyak pihak, sementelah pula ia merupakan 'lesen' pengiktirafan dari pihak luar yang membuat penilaian terhadap pencapaian yang diperoleh. Diakui bukan mudah, namun tidak mustahil dilakukan.

Inilah buktinya apabila Universiti Selangor atau Unisel berjaya memperoleh dua pensijilan ISO bagi sistem pengurusan oleh SIRIM iaitu ISO 9001:2015 dan ISO 21001:2018 secara serentak. Lebih membanggakan, Unisel merupakan universiti pertama yang memperoleh pensijilan 'Educational Organisation Management System (EOMS).

Akui Presiden dan Naib Canselor Unisel, Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman, untuk mencapai ke tahap ini, banyak perubahan telah dilakukan terutama melibatkan pengurusan secara keseluruhan.

Naib Canselor Unisel, Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman. Foto: Mohd Izari Rosli

 

"Ketika saya diberi amanah untuk memimpin Unisel pada Januari 2016, antara perkara yang dilihat perlu dilakukan ialah membolehkan pentadbiran Unisel itu mempunyai suatu kualiti. Ini kerana saya dapati di Unisel tiada satu pun sistem pengurusan kualiti yang boleh dijadikan sebagai panduan kepada pengurusan yang lebih baik.

"Atas dasar inilah saya memperkenalkan satu sistem yang diiktiraf di peringkat antarabangsa iaitu ISO dan proses ini bermula pada Mei 2016. Ia melibatkan beberapa proses perbincangan dan apa yang menariknya apabila kami memanggil wakil SIRIM untuk menjelaskan apa sebenarnya pengurusan kualiti dan saya dengan yakin serta sanggup memberi komitmen untuk melaksanakannya.

"Apabila kita menyebut tentang pengurusan kualiti, ia bukanlah sesuatu yang menakutkan atau menyusahkan kerana sistem pengurusan ini adalah bagaimana kita menyediakan dokumen, kita senaraikan apa yang kita janjikan kepada pelanggan dan kita pastikan apa yang dijanjikan itu dilaksanakan. Melalui cara ini, ia memudahkan kita memahami dan mengetahui apa yang berlaku," katanya ketika ditemubual oleh Kampus Uols di premis Kumpulan Media Karangkraf baru-baru ini.

Menjadi universiti setaraf dan dihormati

Untuk menjadi sebuah universiti yang setaraf dengan universiti awam, kualiti itu perlu ada. Ini kerana dengan adanya kualiti, baharulah akan dihormati dan disegani.

"Significant pensijilan ini meletakkan Unisel setanding dengan kualiti IPTA, IPTS yang lain serta di peringkat antarabangsa yang menggunakan sistem pengurusan kualiti yang sama. Saya kira, Unisel di posisi yang membolehkan dihormati kerana kita ada kualiti yang diiktiraf oleh pihak luar mengikut penanda aras yang diberikan," katanya.

 Cabaran untuk berubah

Membuat perubahan yang agak drastik untuk sistem pengurusan kualiti dalam tempoh tidak sampai dua tahun bukannya mudah. Lebih-lebih lagi ia melibatkan keseluruhan sektor pengurusan di dalam kampus.

"Saya akui cabarannya bukan mudah, tetapi saya melihat staf mahukan perubahan dan kepimpinan. Jadi, saya berikan bentuk kepimpinan yang boleh membawa mereka kepada yang lebih baik. Kami di pihak pengurusan tertinggi membuktikan bahawa kami berjaya lakukan perkara yang tak mungkin kami terfikir mampu buat. Alhamdulillah, kami telah berjaya memperbaiki infrastruktur, menjadikan kampus lebih selesa dan kemudahan juga semakin banyak, serta kurikulum yang berdaya saing.

"Selain itu, kami juga membuat rombakan besar-besaran pada kurikulum supaya kursus yang diajar itu menepati kehendak IR 4.0 yang mana kami turut menekankan empat elemen yang perlu ada dalam apa jua kursus yang ditawarkan. Pertama, mempunyai elemen komunikasi bahasa iaitu menggalakkan pelajar menguasai 4 bahasa iaitu bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin dan Arab. Kedua, multidisiplin yang mana pelajar perlu ada pengetahuan dan pengalaman dalam bidang lain juga. Ketiga, penekanan dari aspek kemanusiaan terutama memberi khidmat masyarakat. Dan keempat, marketability iaitu tahu mencari peluang untuk 'memasarkan' diri dalam mendapat pekerjaan," katanya.

Malah, beliau melihat dengan adanya sistem pengurusan kualiti ini, ia merupakan asas yang penting untuk bergerak dan merancang kepada yang lebih baik.