MINAT mendalam dan kecintaan kepada alam sekitar ternyata membawa tuah buat Norazlin Hassan, mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (Tenaga & Alam Sekitar) di Fakulti Teknologi Kejuruteraan, Universiti Malaysia Pahang (UMP), apabila dipilih menerima Penghargaan Khas Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi yang disampaikan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datin Paduka Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir dalam Majlis Anugerah Tokoh Siswa 2017 yang telah berlangsung di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) baru-baru ini.

Penghargaan khas diterima ini adalah hasil kegigihan dan kecemerlangannya menerusi penyelidikan bertajuk Hybrid Energy for Highway Lighting System, yakni bertujuan membangunkan sistem pencahayaan lampu di lebuh raya dengan menggunakan tenaga yang boleh diperbaharui sekali gus dapat memberi manfaat kepada pengguna lebuh raya.

“Teknologi ini membantu dalam menyelesaikan masalah pengguna lebuh raya pada waktu malam dan pada masa sama tidak mencemarkan alam sekitar. Sistem ini juga sesuai digunakan dengan iklim di Malaysia yang menerima pancaran matahari sepanjang tahun serta untuk lebuh raya yang mana kenderaan bergerak pada kelajuan 70 km/jam. Malahan teknologi ini juga boleh menangkap angin dari mana-mana arah dan boleh dipasang pada lampu lebuh raya sedia ada,” ujarnya.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datin Paduka Ir Dr Siti Hasmah menyampaikan anugerah kepada Norazlin dalam Majlis Anugerah Tokoh Siswa 2017.

Menurut Norazlin, 23, yang banyak melibatkan diri dalam pertandingan inovasi selain aktiviti-aktiviti kesukarelawanan, penyertaan dalam pertandingan inovasi seperti ini bukan sahaja sebagai satu platform untuknya meningkatkan diri ke arah lebih baik tetapi pada masa sama meningkatkan keyakinan diri dan juga ilmu pengetahuan.

"Melalui aktiviti-aktiviti kesukarelawanan pula, saya dapat membantu orang lain dan secara tak langsung menabur bakti kepada komuniti. Bagi aktiviti di universiti, saya akan melibatkan diri dengan menjadi ahli jawatankuasa bagi sesuatu program kerana melalui penglibatan itu saya dapat meningkatkan keyakinan diri dan juga menambah ilmu pengetahuan dalam menguruskan sesuatu program," kata Norazlin yang juga meraih kecemerlangan bidang penyelidikan termasuk memenangi 'Double Gold Award' dalam pertandingan Novel Research & Innovation Competition (NRIC) 2017 serta Special Award: Sustainable & Green Technology Award menjadikannya terpilih menerima anugerah kategori khas ini.

KONGSI IDEA

Bakal bergelar graduan pada November depan, Norazlin berkata, kejayaannya pada hari ini tidak bermakna tanpa sokongan dan doa daripada insan-insan tersayang terutama ibu bapa, Hasan Osman dan Nasariyah Mohamad Yusub serta galakan pensyarahnya di UMT, Dr. Abu Yousuf.

"Saya juga bersyukur di atas tunjuk ajar yang telah diberikan oleh para pensyarah serta rakan-rakan yang banyak membantunya mencapai kejayaan sehingga ke tahap ini.

"Melalui penglibatan dalam bidang inovasi, saya melihat ini sebagai satu peluang yang bagus bagi mahasiswa untuk meningkatkan keyakinan diri mereka seterusnya menjadi mahasiswa yang mempunyai pemikiran kreatif, berinovasi dan matang dalam membuat keputusan.

"Lebih menarik lagi bagi saya sepanjang terlibat dalam aktiviti ini kerana banyak kenangan manis terutama apabila saya membentangkan projek tersebut dan berjumpa dengan ramai orang yang berlainan latar belakang dan berkongsi idea-idea bermanfaat," katanya.

Dalam pada itu Norazlin berharap agar sentiasa dikuatkan semangat untuk menempuh cabaran dan rintangan pada masa hadapan serta membanggakan ibu bapa dan ahli keluarga yang lain di samping mengharapkan lebih banyak penglibatan dalam bidang penyelidikan dan inovasi di samping dapat mengharumkan dan membanggakan nama UMP.

"Nasihat saya kepada mahasiswa lain ialah agar berani mencabar diri anda keluar daripada zon selesa dan terlibat dalam pelbagai aktiviti luar untuk menambah pengalaman," akhirinya.

BIODATA

Nama penuh : Norazlin Hassan

Asal: Pulau Pinang

Pendidikan awal (sekolah rendah/menengah):

- Sekolah Kebangsaan Seri Impian

- Sekolah Menengah Kebangsaan Guar Perahu

Pencapaian:

- Gold Medal for Creation, Innovation, Technology & Research Exposition (CITREX) 2017

- Special Award: Best fluid-related invention award (Student Category) for CITREX 2017

- Double Gold Award for Innovation, Design & Research International Symposium (IDRIS) 2017

- MyRIS Grand award, IDRIS 2017

- Gold Medal in Novel Research & Innovation Competition (NRIC) 2017

- Special Award: Sustainable & Green Technology Award for NRIC 2017

- Gold Medal for British Invention Show (BIS) 2017

- Diamond Award for Environment Award (Natural Earth) BIS 2017

- Anugerah Pelajar Kategori Daya Usaha & Inovasi (Majlis Anugerah Kokurikulum & Sanjungan Pelajar 2017)

- Penghargaan Khas Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Anugerah Tokoh Siswa 2017)