TMC Fertility sekali lagi menempa nama dalam Malaysia Book of Records (MBR) dengan memecah rekod bagi Jumlah Kelahiran Bayi IVF Tertinggi dihasilkan oleh Satu Amalan Tunggal IVF, dengan kadar kelahiran hidup 5,388 bayi.

Bersempena pengiktirafan itu, TMC Fertility telah membawa lebih daripada 300 ibu bapa dan anak-anak mereka dari seluruh dunia untuk satu majlis ringkas bagi meraikan kejayaan tersebut yang dicipta sejak 1994.

Majlis berkenaan merupakan perjumpaan santai di antara keluarga, doktor, jururawat dan turut dihadiri kanak-kanak IVF dari seawal usia beberapa bulan hingga 20 tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif TMC Fertility, Woon Ming Ming berkata, kejayaan rawatan kesuburan pesakit pihaknya mengingatkan bahawa mereka akan terus memberikan harapan dan kegembiraan kepada keluarga dari seluruh dunia.

“Di TMC Fertility, kami menganggap perjalanan rawatan kesuburan pesakit seperti perjalanan kami jua. Kami sentiasa ada di samping mereka di setiap langkah perjalanan sehingga berjaya melahirkan zuriat," katanya.