AUTA

SATU kenyataan media daripada Urusetia PH  mengkritik hukuman rotan yang di jatuhkan oleh Mahkamah Syariah Terengganu  terhadap pesalah yang didakwa mengamalkan hubungan sejenis iaitu lesbian.

Surat itu menyebut, PH seperti dinyatakan sebelum ini berkaitan hak-hak peribadi yang tidak boleh dicerobohi kerana ia bercanggah dengan hak kebebasan individu setiap rakyat Malaysia.

"Maka untuk itu sebagai usaha bagi membentuk Malaysia Baru, PH mengharapkan agar Mahkamah Syariah Terengganu dapat menarik balik hukuman yang boleh dianggap sebagai memusnahkan kebebasan manusia yang menjadi tunjang ke arah pembinaan Malaysia Baru.

"Penerusan hukuman ini bermakna mengheret Malaysia kembali ke zaman barbarian yang jauh dari nilai-nilai ketamadunan manusia yang pastinya akan mengundang kecaman daripada masyarakat berbilang bangsa di negara kita ini," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, PH menganggap hukuman ini sebagai satu bentuk penindasan terhadap golongan lesbian, gay, biseksual dan trangender (LGBT) yang juga anggota masyarakat.

"Hak-hak mereka perlu dihormati dalam meneruskan cara hidup mereka sebagaimana yang telah ditegaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri baharu-baharu ini.

"Kami menyeru seluruh rakyat Malaysia agar dapat menyelamatkan Malaysia daripada terjerumus ke dalam pelaksanaan hukum yang boleh membawa negara ke arah kehancuran," katanya.

FAKTA

Sementara Pengerusi PH Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad menafikan pihaknya mengeluarkan kenyataan kononnya menggesa Mahkamah Syariah Terengganu menarik balik hukuman sebatan ke atas dua individu yang di jadualkan pada 3 September 2018.

Katanya, edaran kenyataan tersebut adalah satu fitnah dan perbuatan tidak bertanggung jawab kerana PH Terengganu tidak pernah mengeluakan kenyataan tersebut.

"Hukuman itu adalah dibawah kuasa dan hak Mahkamah Syariah Negeri .

"Kami menyokong apa juga undang undang yang menepati hukuman dan kehendak Islam. Semoga tidak berlaku kekeliruan," katanya.