JITRA - Anggota APM Kubang Pasu berjaya menangkap ular tedung selar di Kampung Wang Tepus, Jitra di sini, malam kelmarin.

Jurucakap Pusat Kawalan Operasi Daerah APM Kubang Pasu, Ketua Skuad, Sajiri Kassim berkata, tedung selar sepanjang kira-kira 3.6 meter itu dijumpai di atas siling rumah seorang penduduk, Mohd Fikri Din, 40.

Katanya, pihaknya menerima panggilan mengenai kes itu jam 8 malam sebelum empat anggota APM Kubang Pasu dikejarkan ke lokasi.

"Sebaik tiba di lokasi, anggota kami menyelongkar bahagian dapur rumah tersebut dan mendapati ada pergerakan di bahagian atas siling rumah," katanya.

Sementara itu, seorang anggota operasi, Shahrul Azli A Aziz, 27, berkata, ular berkenaan agak agresif dan pantas menghilangkan diri sebaik sedar kehadiran mereka.

"Kami mengambil masa dua jam untuk mencari dan akhirnya berjaya menemui ular tersebut di penjuru siling bahagian tandas oleh seorang lagi anggota operasi (Abdul Munir Noh,30) yang turut mempunyai pengalaman menangkap ular tedung selar besar sebelum ini," katanya.

Menurutnya, ular tersebut sangat agresif dan cuba menyerang anggota sebanyak lima kali, sebelum berjaya ditumpaskan dengan kerjasama semua anggota.

"Sebelum itu, seekor biawak juga terjun dari siling berkenaan. Mungkin ular tersebut cuba mengejar biawak terbabit sehingga ke atas siling rumah penduduk ini," katanya.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kubang Pasu, Kapten (PA) Kamalruzamal Kasa mengesahkan kes tersebut.

Beliau turut menasihati orang awam agar tidak bertindak sendirian sekiranya terjumpa haiwan berbisa atau berbahaya.

"Hubungi pihak-pihak yang pakar dalam kes mengendalikan kes ini untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini termasuk kehilangan nyawa," katanya.