SHAH ALAM - Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini mengingatkan orang ramai yang ingin mendapatkan ‘Sumbangan Pendidikan Zakat Anak Selangor (SPZAS)’ supaya mengisi borang permohonan  dengan betul supaya permohonan mereka untuk mendapatkan sumbangan tersebut tidak ditolak LZS.

Ketua Divisyen Komunikasi Korporat LZS, Datin Seri Norajun Ainun Mohd Hashim berkata, ia kerana sumbangan dalam bentuk ‘sekali beri ’ itu hanya akan diberikan kepada mereka yang layak selain memenuhi syarat permohonan yang ditetapkan lembaga zakat berkenaan.

"Terdapat dua jenis permohonan yang ditawarkan iaitu SPZAS Sekolah Rendah dan Menengah serta SPZAS Institut Pengajian Tinggi (IPT).

"Hanya golongan berpendapatan pertengahan di bawah asnaf fisabilillah yang tidak tergolong di dalam asnaf fakir atau miskin sahaja yang layak memohon," katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau berkata, permohonan SPZAS IPT masih dibuka bermula 25 November lepas sehingga 31 Januari depan manakala SPZAS Sekolah Rendah dan Menengah pula dibuka 11 Disember sehingga 10 Februari depan.

Tambah Norajun Ainun, pemohon perlu memuat turun borang permohonan yang disediakan di laman  sesawang LZS serta mengisi borang pengesahan yang disertakan sebelum meneruskan proses permohonan tersebut.

"Proses permohonan ini  melibatkan lima langkah mudah iaitu dengan memuat naik maklumat diri, maklumat tanggungan anak-anak, maklumat pendapatan, salinan kad pengenalan depan dan belakang serta borang pengesahan dan perakuan pemohon.

Permohonan hanya sekali untuk setiap nombor kad pengenalan ketua keluarga dan permohon perlu berhati-hati semasa proses permohonan agar permohonan tidak ditolak," katanya.

Katanya, orang ramai yang ingin mengetahui maklumat lanjut  berhubung permohonan itu, boleh  melayari laman sesawang LZS, di https://www.zakatselangor.com.my/. - Bernama