PROTEGE terpilih dikehendaki menarik tayar diubahsuai menjadi ‘sledge’ dengan berat minimum 49 kilogram (kg). Mereka perlu menariknya sepanjang 10 kilometer (km) setiap hari.

Semua kelengkapan peribadi seperti khemah, alat memasak, makanan dan keperluan harian lain perlu dibawa sepanjang perjalanan itu.

Mereka hanya boleh menambah bekalan air minuman pada setiap malam untuk persediaan esok hari dengan menggunakan bekalan air sedia ada di Tadom Hill Resorts dan tidak dibenarkan mendapatkan bantuan luar.

Para protege juga perlu memasak makanan sendiri, mendirikan dan menurunkan khemah setiap hari serta menghadiri slot telah disusun sepanjang lima hari cabaran.

Cabaran bermula jam 7 pagi setiap hari ini merangkumi lima hentian sangat menguji mental dan fizikal dengan kawasan berbatu, berbukit, berair dan tanah gambut. Semuanya dilakukan sendiri!

Itu antara latihan simulasi protege ketika berada di Antartika kelak.

Setelah hampir setahun proses pencariandengan melalui pelbagai saringan, seramai 14 top protege terpilih menyertai Cabaran Tarik Tayar Aweta-Tadom Hill Resorts 2018 selama lima hari di Tadom Hill Resorts, Banting, Selangor, baru-baru ini.

Program ini dianjurkan dengan kerjasama Tadom Hill Resorts dan Kolej Komuniti Hulu Selangor.

All Women Empowerment To Accelerate (Aweta) merupakan NGO memfokuskan pemberdayaan wanita di Malaysia.

Justeru, satu projek sedang dijalankan bagi merealisasikan objektif penubuhan NGO ini dengan melaksanakan Misi Negaraku: All Women’s Expedition To Antarctica 2018/2019 (Aweta 2018/2019).

Ia dirasmikan di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat pada 15 Mei 2017 yang lepas dan kini Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail penaung kehormat Aweta 2018/2019.

 

Giat cari dana

Misi ini terbuka kepada anak-anak muda khususnya golongan remaja dan belia wanita Malaysia bertujuan menyahut cabaran mencari dan membawa kembali “Malaysia 1st Time Capsule in Antarctica” yang telah ditanam pada 2004 ketika Ekspedisi terdahulu oleh Ekspeditor Negara, Dr Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir.

Seterusnya misi ini bakal mencatat satu lagi rekod baru dengan menanam kapsul masa  bakal diterajui beliau bersama lima ekspeditor muda baru (protege).

“Hari ini, ramai wanita berfikiran terbuka, berdikari serta suka aktiviti lasak seperti daki bukit dan gunung. Ekspedisi ke Antartika itu kerana suhu ekstrem dan bukan semua dibenarkan ekspedisi ke Antartika melainkan betul-betul cergas dan kuat dari segala sudut.

“Berdasarkan pengalaman dilalui ke Antartika dan ketika berada di sana nanti, kami berharap dapat melahirkan pelapis ikon bertaraf global dapat menjadi contoh untuk diteladani semua golongan remaja, belia dan wanita,” kata Sharifah Mazlina.

Asas pemilihan protege adalah melalui pelbagai elemen kekuatan formula psikologi ciptaan Sharifah  Mazlina sendiri melalui tesis PhD nya iaitu mengimbangi kekuatan mental, fizikal, emosi, sosial dan spiritual untuk pencapaian optimum.

Apabila pulang dari ekspedisi nanti, protege akan membuat perkongsian pengalaman dengan seluruh masyarakat Malaysia dan menyuntik semangat serta menjadi inspirasi .

Buat masa ini, Aweta banyak fokus melaksanakan Misi Negaraku: Aweta 2018/2019 serta giat mencari dana bagi menampung perbelanjaan misi ini.  

Antara inisiatif  dilakukan untuk mencari dana adalah dengan mengadakan perkongsian pengalaman bersama Sharifah Mazlina, penganjuran program larian amal seperti Antarctica Charity Run 2018 yang telah berlangsung pada 7 Januari 2018 selain daripada memohon penajaan daripada syarikat-syarikat korporat.

Aweta akan menganjurkan Antarctica Xfit Burden Run 2018 akan berlangsung pada 2 Disember 2018 di Citta Mall.

Program larian ini berbeza dengan program larian biasa kerana peserta dikehendaki untuk berlari sambil membawa beban seberat 10 kg (lelaki) dan 7 kg (wanita) bagi jarak 10.5 km. Bagi jarak 5km, peserta bebas untuk membawa apa jua beban.

Mereka ingin mencabar diri dan mencuba sesuatu baru, sertai program ini dengan melayari laman sesawang www.racexasia.com atau www.howei.com. -AG