"RINGGIT dibuka rendah berbanding dolar US pagi ini, didorong oleh permintaan lemah terhadap mata wang tempatan menjelang cuti Krismas," kata peniaga.

Pada 9.05 pagi, ringgit diniagakan pada 4.1800/1880 berbanding dolar US daripada 4.1790/1830 semasa ditutup pada Jumaat.   

Peniaga berkata sentimen dalam pasaran kurang menggalakkan dengan kemungkinan kerajaan AS ditutup selain hasil bon yang rendah berikutan kebimbangan mengenai pertumbuhan ekonomi yang perlahan, menyebabkan dolar US menghadapi tekanan berbanding mata wang selamat lain.

Beliau berkata yen Jepun meraih manfaat daripada kebimbangan pasaran ini.

Sementara itu, Ketua Dagangan Asia Pasifik OANDA Stephen Innes berkata dengan harga minyak rendah dan pasaran masih bimbang mengenai pertumbuhan global, ringgit dijangka tidak mencatat kemajuan yang ketara hingga tahun baru.

Penanda aras minyak mentah Brent susut 0.22 peratus kepada US$53.98 setong.

Pada pembukaan, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama lain kecuali yen Jepun, berbanding mata wang tempatan merosot kepada 3.7647/7730 daripada 3.7588/7634 pada Jumaat.

Ringgit mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0442/0511 daripada 3.0490/0531, meningkat berbanding euro kepada 4.7564/7668 daripada 4.7758/7808 dan naik berbanding pound kepada 5.2902/3008 daripada 5.2919/2986. - Bernama