PERMINTAAN terhadap tenaga mahir di negara ini sangat tinggi memandangkan dunia kini berhadapan revolusi industri 4.0.

Oleh sebab itu, Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) sangat penting bagi sesebuah negara dan Malaysia tidak terkecuali.

Namun, adakah pelaksanaan TVET di negara ini sudah berjaya dan mencapai piawaian yang diperlukan untuk memenuhi permintaan pasaran tenaga mahir di dalam revolusi industri 4.0?

Ikuti wawancara bersama Setiausaha Agung Gerakan TVET Nasional (GTN), Nordin Abdul Malek bagi merungkai persoalan TVET di negara ini.

Boleh kongsikan pengalaman dan penglibatan dalam bidang TVET yang difahamkan sudah melebihi 20 tahun?     

NORDIN: Saya berkesempatan melihat proses transformasi ini ataupun reformasi dalam TVET dalam tempoh 22 tahun saya menceburi bidang TVET sebagai pengusaha pusat latihan kemahiran swasta.

Dalam tempoh itu memang saya tidak nafikan kita melihat jatuh bangunnya TVET ini dan sebenarnya dalam tempoh 22 tahun ini juga,  saya melihat ada dua kali apa yang saya anggap sebagai tsunami kepada masalah dan krisis TVET ini.

Pertama berlaku pada tahun 2002 dan 2003, sekali lagi pada tahun 2016 kita dah rasa bahangnya itu dan pada tahun 2018 kita lihat kemuncak kepada semua masalah yang melibatkan awam dan swasta.

Cuma bezanya pada tahun 2003 kita berhadapan dengan masalah TVET di peringkat pusat latihan kemahiran swasta atau ILKS sahaja kerana ketika itu kita berdepan dengan satu isu besar iaitu dana Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) yang dahulunya dikenali sebagai Tabung Pembangunan Kemahiran (TPK) sahaja.

Jadi apabila ia diperkenalkan pada tahun 2001 ia mengundang banyak pihak untuk cuba untuk mengambil kesempatan ke atas dana yang ada ketika itu kalau tak silap saya RM200 juta dana awalnya.

Kami yang sudah dianggap sebagai usahawan tulen dalam bidang TVET ini yang bermula seawal tahun 80-an dan saya sendiri bermula pada tahun 1996, ketika itu kami menganggap dana ini sebagai bonus sahaja tetapi bagi sesetengah pihak yang baru menceburi bidang ini mereka menganggap itu sebagai peluang perniagaan.

Jadi akhirnya berlaku situasi di mana pihak Kementerian Sumber Manusia ketika itu gagal untuk mengawal jumlah ILKS dan lebih memeranjatkan ketika itu anak-anak syarikat kerajaan termasuk juga universiti awam turut menubuhkan anak-anak syarikat mereka untuk merebut peluang dana TPK itu.

Saya ingat ketika itu permohonan pinjaman TPK hampir mencecah RM800 juta, sedangkan dananya hanyalah RM 200 juta sahaja dan apa yang berlaku selepas itu, berlakunya ketidakcukupan dana, maka banyak pusat-pusat latihan yang tidak dapat bertahan kerana berhadapan masalah kewangan hingga bankrap ketika itu.

Nampak gayanya benda yang hampir sama berlaku pada tahun 2018 ini tetapi  kemuncak kepada segala masalah TVET berbeza kali ini apabila TVET berhadapan dengan krisis yang melibatkan semua pihak iaitu awam dan swasta.

Dulu kita bercakap soal ILKS yang terlalu banyak tetapi kali ini jadi terbalik, agensi kerajaan yang melaksanakan itu pula terlalu banyak. Kesan daripada masalah itu timbul pula pelbagai masalah lain yang dianggap sangat kritikal.

Apakah situasi hari ini mempunyai persamaan ketara seperti yang dilalui pada tahun 2003 yang dipanggil sebagai 'mimpi ngeri' kepada TVET?

NORDIN: Situasi pada hari ini agak berbeza pada tahun 2003 dulu yang kita sebut sebagai the nightmare of Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK). Saya melihat situasi ini yang mungkin mengulangi situasi lama.

Cuma kesannya agak berbeza kerana bukan sahaja melibatkan swasta tetapi turut melibatkan pusat latihan awam, sekolah-sekolah kerajaan dan beri kesan terhadap TVET di peringkat tinggi. Walaupun kita lihat TVET di peringkat tinggi agak kukuh, tetapi mereka juga terkesan kerana mereka juga sebahagian daripada laluan kerjaya atau latihan pendidikan yang berasaskan TVET.

Saya dapat melihat kecelaruan sebenar kerana dalam proses pemulihan semula  dahulu saya terlibat secara langsung kepada usaha-usaha menambah baik semua masalah ketika itu.

Saya sendiri  juga membantu dari segi membuat pembetulan semula ketika itu. Contohnya apabila berlaku kegawatan pada tahun 2003 itu, saya sendiri telah mengambil satu langkah yang sangat drastik secara peribadi.

Pertama, kami menubuhkan persatuan yang dikenali sebagai Persekutuan Pusat-pusat Latihan Bertauliah JPK Swasta Malaysia (FEMAC). Kita menubuhkan persatuan ini sebagai platform bukan sahaja untuk menyuarakan keperluan dan pandangan peringkat penyedia latihan swasta tetapi kita juga bekerjasama dengan kerajaan untuk menyusun semula TVET pada ketika itu.

Dengan platform persatuan ini kita berjaya menyusun semula, contohnya kita meminta supaya Pusat Bertauliah (PB), Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) bertaraf Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) diasingkan daripada peraturan yang mengikat kita secara serentak di bawah Lembaga Akreditasi Negara (LAN), Kementerian Pendidikan dan juga keperluan pentauliahan JPK, Kementerian Sumber Manusia.

Jadi akhirnya kita berjaya mengasingkannya dengan Sijil Kemahiran Malaysia difokuskan di bawah Kementerian Sumber Manusia dan program akademik di bawah LAN ketika itu.

Kita juga adakan satu konvensyen besar di Genting Highlands yang akhirnya kita berjaya mendesak kerajaan supaya wujud pengasingan dua akta berbeza iaitu akta pendidikan dan satu akta baharu iaitu Akta Pembangunan Latihan Kemahiran (NASDA).

Kedua, kita juga ketika itu terpaksa menaik taraf PTPK yang ketika itu Tabung Pembangunan Kemahiran (TPK) yang bergantung kepada dana kerajaan. Itu yang menyebabkan mereka tak boleh meningkatkan jumlah pembiayaan.

Pada ketika itu kita mencadangkan kepada kerajaan agar TPK diperbadankan bagi meluaskan akses PTPK itu.  Manakala MLVK dijenamakan semula sebagai JPK. Bagi merealisaikan semua itu, saya mengorbankan masa selama hampir setahun meninggalkan sementara urusan bisnes bagi memperbetulkan kegawatan itu semua.

Bagaimanakah TVET berperanan sebagai aset besar negara pada masa depan?

NORDIN: TVET harus dilihat dalam satu konteks yang besar kerana bagi saya TVET ini merangkumi empat aspek komponen penting. Pertama menyediakan tenaga kerja. Kedua dari aspek pembangunan ekonomi iaitu pendidikan ini boleh dianggap sebagai kunci kemampanan ekonomi dan TVET pula merupakan kunci utama kepada pembangunan negara.

Kerjaya TVET berpotensi besar untuk merapatkan jurang ekn omi di kalangan rakyat. Yang ketiga dari aspek pendidikan bagaimana TVET itu sebenarnya adalah keperluan dan penyelesaian kepada sistem pendidikan di negara kita.

Ini merupakan satu komponen yang penting bagi menjadikan bagaimana pendidikan itu dilihat secara holistik dan komprehensif serta inklusif di sekolah yang mengikut kecenderungan setiap pelajar. Keempat kita melihat TVET ini juga penyelesaian kepada isu-isu sosial sebahagian daripada pelajar atau belia yang cenderungnya kepada bidang TVET.

Apakah isu-isu utama yang dilihat sebagai kecelaruan TVET pada masa kini?

NORDIN: Saya melihat ada lebih kurang lapan isu utama yang menjadikan TVET pada hari ini dianggap bercelaru dan dalam krisis. Pertamanya terdapat begitu banyak kementerian yang terlibat dalam melaksanakan TVET.

Saya difahamkan tidak kurang daripada tujuh kementerian, malah ada yang mengatakan lebih daripada lapan.

Apabila melibatkan tujuh kementerian ini ia menimbulkan banyak masalah dari segi pelaksanaan, penyelarasan, kewangan dan saya agak terkejut dalam situasi ini, sebenarnya kita antara negara di dunia, jika dibandingkan dengan negara-negara yang sudah maju dalam TVET negara  dunia, amat memeranjatkan apabila ada tujuh kementerian melaksanakan TVETdi Malaysia, sedangkan negara-negara maju hanya satu kementerian melaksanakannya.

Kedua, kadang-kadang kita hilang fokus sebab terlalu banyak dan masing-masing nak bersaing, masing-masing tak bersedia maka dia hilang fokus. Ketiga saya lihat kos perbelanjaan melibatkan tujuh kementerian ini sangat tinggi.

Bayangkan dari semasa ke semasa ia naik. Pada tahun lepas sahaja, di bawah kerajaan lama kalau tak silap saya mereka mengeluarkan RM4.9 billion menjadi antara bajet paling besar disediakan untuk TVET ini.

Peliknya ia tidak sampai kepada kumpulan sasar, sebagai contoh pinjaman PTPK hanya RM125 juta sahaja daripada RM4.9 billion. Seterusnya saya melihat berlakunya pertindihan program.

Kadang-kadang program yang sama tetapi dijalankan dengan sijil yang berbeza-beza di kementerian yang berbeza-beza.

Berikutnya berlaku juga percanggahan apabila wujudnya lebih daripada satu badan akreditasi seperti Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dalam masa yang sama kita ada JPK belum lagi badan-badan lain.

Sepatutnya kita berpegang kepada sistem akademik dan sistem kemahiran. Dua sahaja sudah cukup. Kita juga mempunyai sistem sokongan yang lemah, sebagai contoh dalam kita bercakap mahukan kualiti, bertaraf antarabangsa tetapi sistem sokongan itu tidak menjurus ke arah itu.

Di samping itu tidak ada kerjasama antara pusat latihan awam dan swasta. Pusat-pusat latihan swasta ini dilihat sebagai pesaing kepada awam. Sepatutnya satu penyeragaman dibuat dalam konteks kerjasama awam dan swasta.

Mungkin ada kemahiran-kemahiran tertentu diberikan kepada swasta melakukaknnya, ada sebahagian pula dilakukan oleh awam. Peranan swasta juga tidak boleh lari menjadi pelengkap kepada sektor awam kerana swasta ini mempunyai kelebihan-kelebih tertentu yang mungkin tidak dapat dilaksanakan oleh sektor awam.

Apakah penyelesaian kepada kekalutan TVET hari ini?

NORDIN: Masalah TVET ini boleh diselesaikan tetapi dengan syarat pertamanya semua pihak perlu ikhlas duduk bersama dan berlapang dada untuk berterus terang dengan jujur apakah masalah-masalah yang timbul dan bersedia untuk menerima secara bersama langkah-langkah ataupun syor-syor yang boleh membantu mempertingkatkan dan menambah baik TVET ini.

Kedua, kuasa politik sangat diperlukan bagi memperbetulkan kelemahan-kelemahan yang ada pada TVET hari ini. Bukan selama ini tidak ada cadangan yang baik bersifat konkrit dan berkesan tetapi disebabkan kepentingan tertentu ia tidak dapat dilaksanakan.

Pemimpin politik yang ada pada hari ini harus berani untuk membuat satu keputusan baru terhadap pelaksanaan TVET tanpa menyusahkan generasi muda atau golongan yang terlibat di dalam TVET.

Seterusnya kita mengurangkan kos operasi dengan meletakkan ia di bawah satu kementerian sahaja untuk memperoleh keberkesanan pengurusan dan kos.

Penjimatan yang boleh kita lakukan itu boleh disalurkan semula untuk membangunkan TVET dan keperluan kepada pihak berkuasa pelaksana termasuk PTPK. Kita mungkin memerlukan satu badan khas melibatkan akreditasi TVET yang tidak bertindan pula dengan akreditasi lain seperti MQA.

Bagi melangkah ke hadapan, gabungan NGO berkaitan dan berkepentingan TVET, telah mewujudkan Gerak TVET Nasional dan telah meyiapkan Cadangan Kerangka Baru TVET Nasional yang bakal dibentangkan kepada kerajaan pada bila-bila masa.

Tahun 2019 dan selanjutnya adalah tahun-tahun yang sangat mencabar terutama diramalkan akan berlaku pengurangan bajet ketara. Bagi mengimbangi keperluan meningkatkan kualiti dan kapasiti latihan dengan kekangan kewangan, apakah langkah drastik dan realistik yang boleh dicadangkan?

NORDIN: Kita tidak nafikan kebarangkalian tahun 2019 dan tahun-tahun yang terdekat atas dua sebab. Pertama kerajaan baharu yang mengambil alih, kedua ketidaktentuan ekonomi dunia.

Bagi saya, kita tidak boleh menjadikan faktor kewangan sebagai alasan untuk kita menafikan kualiti dan akses latihan yang lebih besar tetapi yang penting bagaimana kita memanfaatkan dana-dana yang semakin terhad melalui kaedah yang lebih kreatif lagi.

Kemudian kedua kita mungkin perlu untuk mengubahsuai syarat pentauliahan. Walaupun kita tidak berkompromi dengan standard tetapi kita perlu menyesuaikan dengan keadaan kekangan semasa supaya akhirnya kita masih boleh memberikan akses kepada pendidikan dan latihan kepada masyarakat.

Kita kena memikirkan kaedah-kaedah yang tidak begitu bergantung penambahan atau pembaziran  sumber-sumber kerajaan, sebagai contoh kalau perlu misalnya pusat-pusat awam ini dibuka untuk mengoptimumkan penggunaan kemudahan yang ada.

Contohnya kita berhadapan dengan sekolah-sekolah yang mempunyai masalah pentauliahan dengan alasan kerana tidak cukup peralatan dan sebagainya tetapi ada kemudahan-kemudahan di institut latihan awam yang tidak dipakai menjadi gajah putih.

Mengapa tidak mereka ini membuka peluang kepada institut latihan awam dan swasta menggunakan kemudahan mereka. Kita juga boleh memikirkan apakah model-model pembiayaan baharu contohnya dari aspek pinjaman atau biasiswa kepada mereka yang terlibat dengan TVET, sebagai contoh selain daripada PTPK mungkin kita boleh menggalakkan sumbangan korporat kepada PTPK.

Mungkin juga dana-dana yang disokong syarikat berkaitan kerajaan (GLC) peringkat pusat mahupun negeri, misalnya mereka boleh menyumbang kepada pembiayaan program-program kemahiran di negeri itu. Boleh diusahakan juga kerjasama dalam penyediaan di antara kerajaan dengan swasta atau kerajaan pusat dengan kerajaan negeri melalui kaedah padanan.   

Apakah trend-trend latihan dan pekerjaan atau sumber manusia pada masa hadapan dan adakah kita sudah bersedia dengan TVET ke arah industri revolusi 4.0?

NORDIN: Sebenarnya kita menyedari dan mempunyai azam dalam rangka kita untuk menyediakan tenaga kerja berasaskan revolusi industri 4.0. Tetapi lucunya  kita berharap ia tidak menjadi seperti kisah dongeng angan-angan mat jenin.

Kita juga tidak boleh dibuai mimpi dan kita tak sedar sebenarnya kita tidak berbuat apa-apa ke arah revolusi industri 4.0 ini. Bagi saya persediaan kita terhadap akses-akses latihan kondusif ke arah revolusi 4.0 dan keperluan ini berbeza-beza sama ada di sektor awam mahupun swasta.

Perkara ini perlu dilakukan kerana Bank Dunia melaporkan bahawa dalam tempoh 10 tahun akan datang generasi yang berada di sekolah pada hari ini mungkin berhadapan satu keadaan dunia digital, automasi dan robotik yang telah menenggelamkan 60 peratus daripada bidang-bidang pekerjaan yang ada pada hari ini.

Saya nampak kita sedar akan keadaan itu tetapi kita tidak ada kesungguhan menyediakan kemudahan dan keperluan ke arah revolusi industri 4.0. Saya melihat perubahan trend latihan dunia dan perubahan watak serta citarasa generasi millenial  yang  sedang berlaku sekarang mungkin juga akan mengubah bentuk pensijilan, pemilihan bidang  dan pentauliahan sudah tidak rigit seperti hari ini.

Majikan juga sudah tidak lagi bertanya dari universiti mana tetapi apakah kemahiran dan ilmu yang anda ada dan kedua  baharulah ditunjukkan apakah bukti-bukti perakuan dan pentauliahan yang ada daripada kaedah perakuan digital.

Baru-baru ini Pengerusi Jawatankuasa Pemerkasaan TVET Kebangsaan, Nurul Izzah Anwar mencadangkan agar diwujudkan Suruhanjaya TVET. Sejauh mana idea ini dapat diterima?

NORDIN: Saya melihat tidak ada keperluan Malaysia menubuhkan suruhanjaya itu. Apa yang penting sebenarnya ialah mewujudkan satu kementerian peneraju untuk mengurus, melaksana dan menyelaraskan TVET. Apa guna suruhanjaya kalau kita masih bergerak dalam kerangka struktur pelaksanaan seperti sebelum ini.

Lagi pun suruhanjaya ini tidak mempunyai kuasa mutlak untuk mengarahkan semua kementerian berkaitan mematuhi sepenuhnya arahan-arahan suruhanjaya ini kerana mereka mempunyai ketua-ketua pengawal kementerian masing-masing yang mempunyai cara pengurusan tersendiri.

Sudah pasti suruhanjaya ini tidak boleh menyelesaikan isu kecelaruan pengurusan dan mengurangkan kos perbelanjaan pengurusan supaya menjadi lebih efektif.

Itulah sebabnya kita yakin cadangan kerangka TVET nasional yang akan dibentangkan oleh kami menerusi Gerakan TVET Nasional adalah lebih baik kerana menepati konsep peneraju tunggal dalam TVET yang akan memastikan keberkesanan pengurusan dan perbelanjaan kerajaan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika membentangkan usul mengenai Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) menyatakan bahawa kerajaan komited dengan usaha meningkatkan keupayaan belia dalam bidang TVET bagi memenuhi keperluan industri berteknologi tinggi. Bagaimana anda melihat perkara tersebut?

NORDIN: Bagi saya banyak pihak termasuk kerajaan lama yang melaung-laungkan untuk memartabatkan TVET. Sebelum ini kita mendengar bermacam-macam gagasan tetapi akhirnya ia bersifat retorik.

Saya tidak mengatakan perdana menteri bersifat retorik.

Tetapi apa yang penting bagi saya adalah keberanian untuk kerajaan baharu melakukan reformasi termasuk bakal Perdana Menteri yang diuar-uarkan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kali ini kerajaan harus berani melakukan apa yang dikatakan sebagai ‘political will’ untuk memperbetulkan semua keadaan dan saya nampak jika kerajaan mengambil kira isu-isu yang saya timbulkan tadi, maka kerajaan pastinya dapat menyusun apakah keutamaan yang perlu dilakukan secara berperingkat untuk memperbaiki TVET dalam tempoh sekarang atau masa-masa akan datang dan saya nampak sebagai contoh sejauh manakah kerajaan berani untuk meletakkan TVET di bawah satu kementerian utama dan kalu perlu  mungkin dibantu oleh satu lagi kementerian lain dalam konteks mengikut niche seperti kemahiran golongan pekerja oleh Kementerian Sumber Manusia. Ini yang paling penting.

Kalau sekiranya kita masih dalam kerangka yang sama, saya yakin sebenarnya TVET tidak akan pergi ke mana dan akhirnya yang rugi adalah bangsa kita, negara kita dan paling teruk adalah kita mungkin menjadi negara yang tidak kompetitif.

Sebenarnya terus terang saya katakan bahawa sekarang kerajaan perlu menumpukan kepada perubahan struktur pengurusan kerajaan.

Saya yakin jika perkara-perkara yang disebutkan tadi diambil berat oleh kerajaan, kita bukan sahaja dapat membawa negara kita, bangsa kita sebagai masyarakat berkemahiran dan berpendapatan tinggi tetapi sebenarnya kita mampu menjadi pusat kecemerlangan TVET di peringkat antarabangsa.

Saya secara peribadi telah mempromosikan TVET ini kepada negara-negara luar. Ada negara-negara yang berminat untuk menghantar belia mereka belajar di sini tetapi saya sendiri tidak yakin untuk menawarkan program kita.

Bukan kerana kita tidak mempunyai piawaian atau kualiti yang baik tetapi kita masih mempunya kecelaruan dan kita tidak mahu memburukkan nama negara di peringkat antarabangsa.