MUKADIMAH

18 tahun pengisytiharan Shah Alam sebagai bandar raya, pelbagai kemajuan dapat dinikmati rakyat di daerah ini. 10 Oktober 2000 adalah detik sejarah, namun sambutannya pada setiap tahun bukan sekadar satu tanda ingatan, tetapi lebih kepada program yang dianjurkan untuk mendekatkan warga kerja Majlis Perbandaran kepada Majlis Bandaraya (MBSA) dengan masyarakat setempat.

Apa yang telah MBSA rancang? Ikuti temu bual Datuk Bandar, Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad sempena Ulang tahun Bandar Raya Shah Alam Ke-18.

Pelbagai aktiviti dan tawaran menarik menanti warga kota Shah Alam sepanjang Oktober

Tahniah kepada MBSA sempena Ulang Tahun Bandar Raya Shah Alam Ke-18. Sempena sambutan bandar raya Shah Alam tahun ini, apakah fokus MBSA untuk memperkasakan lagi perkhidmatan kepada masyarakat?

Terlebih dahulu, saya serta Ahli Majlis dan seluruh warga kerja MBSA ingin berkongsi detik dan kegembiraan sempena Sambutan Ulang Tahun Bandar Raya Shah Alam Ke-18 bersama seluruh warga kota Shah Alam. Tarikh 10 Oktober pada setiap tahun merupakan detik yang amat penting dan perlu diingati kerana pada tarikh tersebut Shah Alam telah dinaik taraf daripada Majlis Perbandaran kepada Majlis Bandaraya. MBSA telah diisytiharkan sebagai bandar raya 18 tahun yang lalu iaitu pada tahun 2000.

Sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) yang telah diberi taraf sebagai bandar raya, kami sentiasa mengutamakan kepentingan dan kesejahteraan masyarakat termasuk dari segi pengurusan perbandaran seperti pengurusan sisa pepejal, kebersihan, keindahan landskap, penyediaan kemudahan dan infrastruktur awam termasuk keharmonian komuniti melalui platform Majlis Perwakilan Penduduk (MPP).

Pada tahun 2019, MBSA akan memperkasakan lagi aktiviti pembersihan dan penyediaan kemudahan awam dan akan fokus terhadap program yang melibatkan komuniti. Pihak MBSA akan menambah lagi peruntukan kepada MPP untuk memperbanyakkan aktiviti kemasyarakatan. Namun begitu apa yang lebih penting adalah penglibatan masyarakat dalam memberikan kerjasama dan mengambil bahagian dalam aktiviti atau program yang dianjurkan pihak MBSA.

Untuk sambutan tahun ini, apakah program dan aktiviti yang telah dirangka oleh pihak MBSA untuk diraikan bersama  warga Shah Alam?

Sambutan kali ini, tentunya kami di MBSA telah merangka pelbagai aktiviti untuk diraikan bersama komuniti setempat. Tetapi apa yang penting program yang dirangka ini mestilah mampu mendekatkan pihak MBSA dengan warga kota Shah Alam. Kami mengutamakan konsep engagement atau kebersamaan antara MBSA dan para stakeholders serta penduduk. Ini motif utama kami.

Justeru, pihak MBSA telah merangka pelbagai program sempena sambutan tahun ini yang kebanyakannya akan melibatkan komuniti pelbagai peringkat umur dan lapisan masyarakat.

Pada 5 Oktober kami mulakan dengan Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat di Masjid Jamek Raja Tun Uda, Seksyen 16. Kemudian, 7 Oktober kami ada aktiviti Kayuhan Shah Alam Enduride. Manakala pada 10 Oktober, pihak MBSA akan meraikan bayi yang dilahirkan pada tarikh 10 Oktober di Hospital Shah Alam dengan kerjasama pihak pengurusan Hospital Shah Alam.

Pihak kami juga mengadakan Pameran Anggerik dan Pasar Bunga selama 4 hari mulai 11  Oktober di Laman Budaya, Taman Tasik Shah Alam. Pelbagai spesies bunga dan bahan-bahan landskap akan dijual.

14 Oktober pula akan diadakan Program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan di Dataran Kemerdekaan, 20 Oktober kami anjurkan Shah Alam Soccer Kids di tempat yang sama dan Hari Mesra MBSA di Plaza Shah Alam, Seksyen 9. Kami mengalu-alukan kedatangan orang ramai untuk menyalurkan aduan dan cadangan kepada MBSA sempena program ini.

Pada 21 Oktober pula kami adakan Karnival Sukan Bendang melibatkan 24 MPP Shah Alam. Kemudian, pada 26 Oktober, pihak MBSA juga akan anjurkan Forum Perdana di Masjid Al-Munawwarah, Seksyen 27. Kami juga tak lupakan minat anak-anak muda. Justeru, Kejohanan Dart dan acara Lepak Seni akan diadakan pada 27 dan 28 Oktober.

Program yang dirangka secara komprehensif ini melibatkan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat dan MBSA menjemput seluruh warga Shah Alam untuk sama-sama hadir dan menyertai program yang kami atur sepanjang Oktober ini.

Adakah program-program yang dirangka oleh MBSA ini boleh disertai oleh masyarakat?

Kami memang rancang program untuk orang ramai. Jadi, MBSA sangat mengharapkan penyertaan seluruh warga kota Shah Alam terlibat dalam setiap aktiviti yang dirancang ini. Hasrat kami ialah menjadikan program-program ini satu platform untuk mendekati penduduk Shah Alam dengan MBSA. Kami harap komuniti Shah Alam sama-sama hadir dan meraikan ulang tahun MBSA yang ke-18.

Sebenarnya banyak lagi yang kami sudah aturkan. Seperti Program Hari Mesra MBSA adalah satu cara warga kota Shah Alam menyalurkan aduan, pandangan atau apa-apa cadangan untuk kami tambah baik perkhidmatan untuk keselesaan mereka. Inilah masa orang ramai berpeluang berjumpa pegawai serta kakitangan MBSA, lihat sendiri dan fahami fungsi serta peranan MBSA membangunkan bandar raya Shah Alam ini melalui bahan-bahan pameran yang kami sediakan.

Begitu juga semasa Program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan, kami galakkan orang ramai hadir awal pagi supaya dapat sama-sama menyertai Pink Walk. Kami bersama Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita Dan Keluarga Negeri Selangor akan adakan aktiviti sampingan sepanjang program ini. Ada jualan Eco Free Market, food truck, jualan produk hijau, senamrobik, pameran dan macam-macam lagi. Bawalah anak-anak dan ahli keluarga. Kalau nak tahu maklumat lanjut tentang program kami, orang ramai boleh layari www.mbsa.gov.my.

Adakah sebarang insentif atau kemudahan yang ditawarkan oleh MBSA sempena Ulang Tahun Bandar Raya Shah Alam Ke-18 ini?

Ya, kami akan adakan Kempen Pengurangan Kompaun selama sebulan mulai 1 hingga 31 Oktober. Pengurangan kompaun sebanyak 50 peratus akan diberi kepada kompaun terpilih MBSA dan juga RM30 terhadap kompaun kesalahan di bawah Perintah Pengangkutan Jalan MBSA 2007. Seluruh warga Shah Alam khususnya Orang Kena Kompaun (OKK) ambillah peluang diberi untuk selesaikan tunggakan kompaun masing-masing.

Selain itu, pada 10 Oktober pengguna juga tidak akan dikenakan bayaran untuk Tempat Letak Kereta di Bangunan Wisma MBSA, Tempat Letak Kereta Stesen Komuter (HUB) Seksyen 19, sewaan di Padang C Dataran Kemerdekaan dan sewaan gelanggang untuk sukan badminton di dewan serbaguna MBSA.

Insentif ini diberikan untuk menghargai warga kota Shah Alam yang telah bersama-sama menjadikan Shah Alam sebagai bandar raya yang hebat. Suka juga kami ingatkan warga kota Shah Alam bahawa 10 Oktober adalah tarikh keramat yang perlu diingati kerana pada tarikh inilah Shah Alam telah dinaik taraf sebagai bandar raya.

Difahamkan, MBSA ke arah menjadi bandar raya rendah karbon menjelang tahun 2030. Apakah inisiatif dan tindakan yang dilaksanakan oleh MBSA?

MBSA telah melaksanakan pelbagai inisiatif, program dan projek berkaitan Bandar Rendah Karbon ini bagi memastikan Shah Alam mencapai tahap pengurangan karbon menjelang tahun 2030. Melalui komitmen ini, MBSA telah menjalin kerjasama dengan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau & Air (KeTTHA), Sustainable Energy Development Authority Malaysia (SEDA), Malaysian Green Technology Corporation (MGTC) dan Malaysian Institute Planners (MIP).

Beberapa inisiatif juga kami laksanakan antaranya sesi townhall dan Perjanjian Kerjasama antara KeTTHA, MGTC dan MIP, ada pelantikan duta hijau, Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan, kempen bangunan rendah karbon Shah Alam di sekitar Pusat Bandar Seksyen 14 dan pemasangan 10 unit pengecasan kenderaan elektrik di kawasan MBSA di bawah peruntukan Green Tech Malaysia.

MBSA juga menjalankan kajian trek basikal, laluan pejalan kaki dan kemudahan orang kurang upaya (OKU) di Pusat Bandar Seksyen 14, Projek Pembinaan Sistem Pengumpulan dan Penggunaan Semula Air Hujan (SPAH) bagi 3 aset MBSA di bawah peruntukan Kerajaan Negeri Selangor 2016 serta penyertaan APEC Low Carbon Model Town (LCMT) Dissemination Project – Phase 7 oleh Ministry of Economy, Trade and Industry (METI), Jepun.

Melalui pelbagai insentif dan inisiatif ini membuktikan MBSA begitu bersungguh-sungguh untuk memajukan bandar ini demi keselesaan warga kota. Apakah harapan dan peranan MBSA demi mencapai tahap yang lebih baik?

MBSA akan sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan perbandaran yang cemerlang dan terbaik kepada masyarakat. Fungsi dan peranan PBT ini akan terus diperkasa untuk memastikan rakyat dapat menikmati kesejahteraan hidup di bandar dalam bentuk persekitaran yang berkualiti, selamat, gaya hidup sihat dan harmoni.

MBSA juga akan terus memberi fokus kepada penambahbaikan.