PELANTIKAN Presiden Amanah, Mohamad Sabu sebagai Menteri Pertahanan dalam Kabinet PH memang suatu yang tidak dijangka.Namun beliau semakin serasi dengan potfolionya itu.Pada program Sinar Live: Dari Kamunting ke Mindef kelmarin, beliau berkongsi pengalaman itu.

Apakah YB memang  sudah menjangka PH menang selesa pada PRU14 yang lalu?

Sepanjang tempoh berkempen, Tun Dr Mahathir Mohamad masih tidak dapat melihat suasana ketika itu. Malah beliau sendiri tidak menyangka sama sekali bahawa PH akan menang besar.  Empat parti pembangkang bergabung dalam PH mula menjelajah ke seluruh negara. Ketika di Pasir Gudang saya beritahu beliau, ‘Tun, kali ini pasti kita dapat ambil alih Malaysia’. Beliau tanya, ‘Macam mana kamu tahu?’ Saya kata, ‘Tun baru setahun jadi pembangkang, kami jadi pembangkang dah lama’. Ini kerana saya melihat himpunan itu dihadiri pelbagai kaum dan pelbagai lapisan masyarakat, daripada anak muda belasan tahun hingga lanjut usia. Daripada situ saya nampak bahawa BN akan tewas kali ini. Menjelang PRU14 lagi saya sudah berasa yakin bahawa PH akan dapat mengambil alih pentadbiran daripada BN.

Apakah tanpa Tun Dr Mahathir, PH akan mampu memperolehi kemenangan itu?

Kita telah cuba pada PRU 2008 dan 2013 bersama PR. Kita kena akui bahawa PR kurang sokongan orang Melayu. Orang bukan Melayu telah memberi sokongan kepada PR, malah mereka turut menyokong reformasi. Kehadiran parti Bersatu pimpinan Tun Dr Mahathir ini kita sifatkan sebagai nilai tambah.

Ini bermakna rakyat lebih yakin dengan Tun Dr Mahathir?

Pemimpin Melayu yang dapat sokongan selepas merdeka hanya dua orang iaitu Tun Abd Razak Hussien dan Tun Dr Mahathir. Tun Abd Razak mendapat sokongan masyarakat luar bandar manakala Tun Dr Mahathir mendapat sokongan Melayu kelas pertengahan yang berada di kawasan pantai barat.  Sebelum ini memang kita tidak nampak secara ketara perubahan undi di kalangan orang Melayu luar bandar terhadap pembangkang. berbeza di bandar dan sub bandar, undi orang Melayu begitu berubah seperti di Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. Keadaan ini boleh dilihat pada PRU14 yang lalu. Di sinilah pengaruh Tun Dr Mahathir terhadap undi Melayu kelas pertengahan dan atasan kepada PH namun di luar bandar masih perlu ditingkatkan dari semasa ke semasa.

YB ditahan di bawah ISA ketika pentadbiran Tun Dr Mahathir. Apakah YB sudah memaafkan 'dosa' Tun Dr Mahathir itu?

Dalam perjuangan kita tak boleh ada dendam kesumat yang berpanjangan. Dalam perjuangan sudah tentu kita kena lalui tribulasi atau ujian dan cabaran sama ada kecil atau besar. Itu adalah sebahagian daripada perjuangan. Kebetulan ketika itu beliau berjawatan perdana menteri. Selepas tidak lagi menjadi perdana menteri, beliau menerima pelbagai kritikan terhadap kerajaan sehingga beliau berasakan perlunya kerajaan ketika itu ditukar. Kita juga nak tukar kerajaan, jadi apa salahnya jika kita bersatu. Maka kita tetapkan garis panduan, tentukan manifesto dan perjanjian bersama. Bukan soal memaafkan seperti hari raya. Itu semua boleh buat, 'Minta maaf Tun'. Tetapi ini adalah perjuangan. Perjuangan lebih penting.

Apakah persepsi YB terhadap Tun Dr Mahathir sudah berubah?

Sebenarnya dulu pun ketika menjadi pembangkang, saya menghormati Tun Dr Mahathir dalam beberapa perkara terutama dari sudut kerja, ketepatan waktu, keyakinan kepada apa yang nak dibawa. Soal orang terima atau tidak, beliau letak perkara kedua tetapi beliau yakin apa yang dilakukannya. Paling penting lagi dasar luar negara, sikapnya terhadap Barat, Dasar Pandang ke Timur dan sikapnya terhadap negara-negara di Timur Tengah. Perkara ini seperti ada satu ‘chemistry’ dengan saya. Saya nampak kalau kita bekerjasama maka kita boleh membina Malaysia yang lebih baik pada masa depan. Kerja kuat, ketepatan waktu yang diamalkan oleh Tun Dr Mahathir perlu dicontohi oleh rakyat Malaysia. Kita patut hormat kebolehan-kebolehan beliau.

YB dilantik sebagai Menteri Pertahanan sejurus kemenangan PH. Adakah YB terkejut ketika diumumkan oleh PM ketika itu?

Sebelum itu nama saya disebut-sebut sebagai Menteri Dalam Negeri, tiba-tiba diumum oleh Tun Mahathir sebagai menteri pertahanan. Kita tahu kementerian ini penuh dengan protokol terutama melibatkan tiga cabang utama. Pertama, raja-raja dan sultan-sultan. Setiap raja menaungi satu cabang dalam angkatan tentera. Misalnya tentera laut dinaungi Sultan Selangor, tentera udara dinaungi Sultan Pahang, pasukan komando dinaungi Sultan Johor, begitulah seterusnya. Ertinya sebagai menteri kena ada hubungan yang rapat dengan sultan dan raja. Kedua, tentera. Daripada panglima angkatan tentera sampailah ke bawah pelbagai pangkat. Ketiga, barulah orang awam. Tiga kumpulan ini saya perlu sesuaikan diri. Dengan orang awam mudah tapi dengan raja-raja Melayu dan angkatan tentera ini saya ambil masa. Alhamdulillah saya dapat sesuaikan diri dengan cepat dan bersama dengan kehidupan baharu sebagai Menteri Pertahanan.

Siapa pemimpin yang YB hormati?

Saya menghormati orang yang baik, berintegriti tinggi dan berakhlak mulia. Antaranya Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan  Allahyarham Datuk Fadzil Noor.

Pandangan YB tentang kerjasama Pas-Umno?

Sebenarnya beberapa orang pemimpin Pas telah lama berjinak dengan Umno. Kami telah dapat mengesan keadaan itu. Sama ada tuduhan (menerima wang Umno) itu betul atau tidak dalam Sarawak Report, kita kena kena tunggu perbicaraan. Tapi kita boleh nampak perubahan-perubahan gaya hidup, cara dan sebagainya semasa saya berada dalam Pas lagi. Telah lama berlaku perselisihan pandangan sama ada kita nak bekerjasama dengan parti  pelbagai kaum termasuk dengan DAP ataupun bekerjasama dengan parti berasaskan Melayu dan orang Islam. Sekarang semakin ketara apabila sebahagian besar yang menguasai Pas sekarang menolak kerjasama dengan DAP dan semakin hampir untuk bekerjasama dengan Umno. Mereka juga sudah bekerjasama dalam pilihan raya kecil dan berpelukan satu sama lain ketika Muktamar Pas. Itu pilihan mereka. Kami sebagai parti pemerintah akan menerima cabaran mereka dan memberi jaminan bahawa hak Melayu, orang Islam tidak akan hilang dan berkurangan dalam PH. Kita alu-alukan gabungan Umno-Pas. Selamat berkahwin dan kita akan pukul gendang pengantin baharu untuk mereka. Kami akan berhadapan mereka dengan cara demokrasi. Apa yang akan berlaku dalam gabungan itu biarlah mereka yang jawab.

Apakah cabaran YB menyesuaikan diri sebagai Menteri Pertahanan?

Saya cuba sesuaikan diri, tidak sukar. Berlakon tidak sukar tapi untuk selamba itu yang sukar. Pada hari biasa mungkin boleh jumpa saya di kedai kopi dengan t-shirt dan seluar biasa. Cuma sekarang ini ke mana pergi ada pengiring sebab Menteri Pertahanan diiringi oleh satu pasukan kecil yang menjaga keselamatan dan sebagainya. Kalau nak ke pejabat, saya rasa dahaga, saya akan berhenti di tepi jalan, kedai mamak atau warung seperti biasa. Itu yang kadang-kadang ada orang ambil gambar kita singgah di bank, kedai makan. Bagi saya itu perkara yang kita buat tidak merendahkan martabat kita malah boleh berinteraksi dengan masyarakat. Ini yang saya sebut 'style Abang Mat'.

Cabaran untuk menunaikan janji-janji?

Yang ada pengalaman dalam kerajaan adalah Tun Dr Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Di peringkat negeri, Datuk Seri Azmin Ali dan Lim Guan Eng. Kita bekerja dengan kuat dan belajar dengan cepat. Pengalaman penting. Kerajaan dulu pun berpengalaman mencuri tapi ini yang kita tak mahu berlaku pada menteri-menteri kita. Jangan lupa, kami yang tak ada pengalaman inilah yang menjatuhkan kerajaan berpengalaman 61 tahun. Pengalaman bukan faktor utama. Faktor utama ialah perjuangan dan keikhlasan.

Soal manifesto, ada banyak perkara yang belum kita capai. Memang 100 hari terlalu singkat tapi ada perubahan ketara yang dibuat dan mesti dilihat oleh rakyat. Kita ambil alih ketika negara sedang berdepan masalah ekonomi yang begitu dahsyat. Hutang negara lebih RM1 trilion. Kita nak menyusun kembali keadaan ini memanglah kita ambil masa sedikit. Kita yakin selepas setahun, dua tahun kita akan dapat letak balik negara di landasan yang betul.