22 tahun menjadi Perdana Menteri, kini TUN DR MAHATHIR MOHAMAD sekali lagi menjadi Perdana Menteri dalam usia 93 tahun.

Dr Mahathir bagaimanapun mengakui situasi hari berbeza dengan zaman beliau memegang jawatan tersebut sebelum ini.

Apakah cabaran semasa beliau dalam membawa PH yang dipimpinnya untuk berdepan harapan rakyat yang luar biasa kali ini.

Ikuti wawancara TAN SRI JOHAN JAAFFAR bersama Dr Mahathir pada program BICARA MINDA yang berlangsung di Dewan Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam, semalam bagi membincangkan harapan pemimpin itu terhadap PH yang

dipimpinnya, harapan rakyat, janji PRU dan cabaran semasa serta masa depan.            

Pada 31 Oktober ini genaplah 15 tahun Tun meninggalkan kerajaan. Apakah terfikir hal ini boleh berlaku kepada Tun?

Waktu saya letak jawatan saya tak pernah terfikir sama sekali. Saya fikir saya (mahu) berehat, ‘tunggu masa’ tapi dalam hanya satu dua minggu saja. Selepas  itu maka perkara-perkara tertentu berlaku yang menyebabkan saya berasa tidak senang. Bukan saja saya, orang lain juga nampak dan berasa tidak senang dan datang rombongan demi rombongan minta saya buat sesuatu. Itulah sebabnya saya balik.

Perkataan kleptokrasi sesuatu yang baru bagi kebanyakan rakyat Malaysia. Apakah sebenarnya matlamat Tun dalam konteks untuk menyelamatkan Malaysia daripada amalan kleptokrasi ini?

Pada mulanya kita tak kenal perkataan ini tapi kita tahu apa berlaku. Apa berlaku ialah kerajaan kita sendiri curi duit kita jadi kita tiada nama untuk itu selain kita kata mencuri. Lepas itu baru kita dengar perkataan kleptokrasi. Rupanya ada jenis-jenis kerajaan yang curi duit sendiri dan ini tepat yang berlaku (kepada negara).

Pusingan kedua sebagai Perdana Menteri, adakah Tun rasa lebih sukar atau lebih mudah sebab Tun pernah ada pengalaman sebelum ini menjadi Perdana Menteri?

Jauh lebih sukar. Pada tahun 1981 saya jadi Perdana Menteri, keadaan semua tersusun. Saya cuma buat keputusan dan ada jentera kerajaan yang akan melaksanakan keputusan itu dan mereka mempunyai wang yang cukup. Kali ini kita jumpa kerajaan yang sudah rosak teruk dan tiada duit. Nak buat apa pun susah. Jauh lebih susah sekarang ini daripada dulu.

Harapan rakyat bila Tun ambil alih kepimpinan terlalu tinggi. Apakah Tun rasa harapan dapat dipenuhi?

Saya betul-betul berasa takut terhadap harapan rakyat. Mereka seolah-olah memikir saya boleh buat apa sahaja dan berjaya, bukan begitu. Saya pun macam manusia lain juga, kadang-kadang buat silap, silap pilih orang, macam-macam boleh berlaku. Jadi kali ini saya cubalah daripada pengalaman dahulu, saya dapat sikit panduan dan saya cuba nak laksana sesuatu tapi (kadangkala) keadaan itu tidak mengizinkan tindakan saya berjaya.

Rakyat mengharapkan keajaiban daripada Tun, harapkan sesuatu yang luar biasa boleh dilakukan.

Saya bukan ahli 'magician' (silap mata). Saya manusia biasa, saya cuba selesaikan masalah melalui satu proses pemikiran, penetapan dan kadang-kadang cara yang saya pilih itu tidak kena tapi kita boleh betulkanlah.

Orang bercakap tentang janji pilihan raya. Tidakkah itu salah satu penyebab harapan tinggi rakyat?

Bagi orang ramai memang ternampak peluang akan capai sesuatu dengan mudah tapi sebenarnya tiada benda yang mudah. Dulu sebelum jadi kerajaan, anggaran kesalahan itu tidak seperti sebenar. Apabila kita menjadi kerajaan, barulah kita dapati bahawa kerosakan yang berlaku, hutang yang trilion ringgit, ini perkara yang kita tidak sangka. Kalau kita sangka, tiada lah kita nak berjanji sangat.

Apakah Tun berpuas hati dengan komposisi Kabinet sekarang?

Kali ini berlainan sikit. Dulu saya memimpin parti yang dominan, kita mempunyai suara yang terbesar dan kita yakin apa juga kita cadangan maka kita akan dapat sokongan. Kali ini kita ada pakatan empat buah parti dan masing-masing mempunyai ideologi yang tersendiri, harapan dan anggapan tersendiri. Untuk membuat keputusan, ada proses untuk nak yakinkan tiga lagi parti apakah penyelesaian ini boleh dilakukan atau tidak. Jadi ia lebih sukar.

Adakah Tun bertolak ansur dengan pandangan yang berbeza ini?

Saya terpaksa bertolak ansur. Kalau nak bagi saya jadi diktator, senanglah. Tapi kalau kita nak berjaya, kita mesti ambil berat pandangan orang lain.

Apakah Tun berpuas hati dengan kualiti menteri dalam Kabinet Tun?

Saya nak kena pujuk mereka bahawa saya tak pandang mereka tak berjaya, tapi dulu legasi saya adalah sebuah Kabinet yang cukup berpengalaman yang sudah lama pegang jawatan. Boleh kata saya seorang saja yang baru, yang lain orang lama. Kalau kini yang lama ada dalam dua tiga orang saja, yang lain semua baru. Jadi orang baru tentulah tidak boleh macam orang lama.

Pandangan cukup berbeza sebab komposisi Parlimen sangat berbeza sekarang. Ini adalah pengalaman baru buat Tun?

Apabila kita kenal, tentulah keadaan itu berbeza, kita mesti sesuaikan cara dengan keadaan. Sekarang saya sedar idea saya terpaksa disesuaikan dengan pemikiran mereka (generasi baru). Mereka mempunyai idea berlainan, ada yang mirip kepada sosialisme, ada yang mirip kepada liberalisme jadi kena ambil kira semua ini. Kalau nak buat sesuatu tapi mereka dapati itu kurang liberal maka saya terpaksa terjemahkan pemikiran saya supaya tidak bertentangan dengan liberalisme.

Pemimpin PH sabotaj kerajaan kerana sikap mereka yang tak ambil tahu dan kurang fokus. Apa pandangan Tun?

Tak ambil tahu, kurang fokus lebih baik daripada penyangak, penyamun jadi kerajaan. Kita bila mula sesuatu, memang pencapaian tak seperti diharapkan.

Banyak teori konspirasi berkaitan Kerajaan PH. Apakah Tun yakin kekuatan PH untuk terus kuat?

Saya berada dalam PH tak lama tapi dalam masa itu pun saya belajar bagaimana mereka berfikir. Bagaimana kita boleh menyesuaikan kehendak kita dengan pemikiran mereka. Manusia tak boleh sama, antara dua orang tak pernah sama, anak kembar pun tak sama jadi kita kena tahu orang ini loghatnya macam mana, bolehkah kita sesuaikan dengan pemikiran kita.

Apakah Tun rasa terkejut dengan kebocoran, ketirisan kewangan, salah guna kuasa kerajaan lama?

Di zaman ini, tiada rahsia lagi kerana media sekarang dan cara mereka guna alat-alat, tiada yang rahsia. Kalau saya cakap dalam bilik sekalipun, esok tengok dah viral satu dunia. Itu masalah yang kita terima. Kalau keadaan macam itu, bagaimana kita bergerak.

Kita ada sistem tapi nampaknya skala salah guna kuasa dan rasuah begitu buruk sekali.

Kalau kita buat perbandingan zaman purba dengan sekarang ini, kita tak dengar orang mengadu, banyak rasuahlah. Kita pergi luar negeri pun orang tak tanya 'Hei, apa dah jadi dengan negara anda?' Tiada dah, mereka senyap saja. Jadi bermakna bahawa sedikit sebanyak matlamat kita tercapai iaitu mengurangkan rasuah.  

Pendedahan ketirisan semua ini, adakah ia tidak beri kesan kepada keyakinan orang terhadap negara?

Kita lakukan sesuatu, kita mesti fikir orang akan tahu, jadi bila kita fikir begitu, kita akan jaga-jaga sikit, jangan buat benda salah kerana orang akan tahu. Hari ini kita cakap, esok satu dunia tahu. Itu kerana sistem. Jadi bila kita sedar bahawa tiada privasi, kita berjaga-jaga sikit bila nak bercakap, buat sesuatu supaya kita buat perkara yang boleh diterima orang.

Sekarang kita hidup dalam dunia berbeza. Pada waktu sama, kerajaan harus perintah dan perlu ada peralatan tertentu. Bagaimana nak imbangkan dua perkara ini?

Kita mempunyai ruang melalui teknologi moden ini untuk menjawab tuduhan-tuduhan yang dilemparkan kepada kita. Kita kena bijak macam mana nak jawab. Kalau kita nak buat sesuatu, kita kena tahu dari awal-awal lagi apa teguran yang akan sampai. Orang yang datang, bagaimana kita jelaskan. Kalau kita mampu jelaskan apa yang kita lakukan, walaupun ada teguran maka tak lah gagal rancangan kita.

Salah satu kekuatan PH adalah media sosial. Ia juga telah digunakan pembangkang untuk berikan gambaran tertentu kepada kerajaan. Apakah Tun rasa kerajaan di pihak defensif sekarang?

Tidak kepada defensif. Kita dapati kadang-kadang yang lawan dengan kita itu merosakkan diri dia. Umpamanya kalau dia buat ucapan mengatakan ‘kepala bapak kau’. Kita tak payah jawab. Macam-macam lagi dia kata, dia sebenarnya tolong kita bila dia cakap seperti itu. Tun Dr Mahathir bin...kononnya saya India. Itu semua adalah kesalahan dan kita dapati apabila mereka membuat satu kenyataan, kita ada jawapan kepada kenyataan itu sehingga kenyataan itu memburukkan mereka.

Sekarang kebebasan diberikan PH tapi mungkin boleh disalah guna. Apa pendekatan Tun?

Kita perlu dengan pendapat orang lain kerana kita dapat pelajaran yang banyak daripada teguran. Saya berpendapat parti lawan memang penting. Kalau parti lawan ditutup mulutnya, tidak guna. Mereka jadi seperti cermin buat kita. Kita nampak muka kita dalam cermin tak cantik macam kita fikir, ia hodoh. Jadi kalau tiada parti lawan buat teguran, kita akan menyeleweng. Kalau ada teguran dibuat tidak berasas, itu kita boleh jawab dan bila kita jawab, orang ramai dapati teguran mereka tidak kena.

Adakah Tun rasa kualiti perdebatan di Parlimen lebih baik dari dulu?

Baik tapi mereka tak guna peluang dengan sebaiknya. Umpamanya mereka kata saya flip-flop, kononnya tukar-tukar. Betul tapi masa kita buat kenyataan, itu sebelum kita jadi kerajaan. Masa kita jadi kerajaan, kita dapati keadaan berlainan dan apa yang kita anggap boleh dilakukan (dan) tak boleh dilakukan. Jadi, kalau kita tahu ini tak boleh dilakukan tapi nak buat juga, lebih baik ubah sikit pendekatan kita dan jadilah ‘flop’.

Kebebasan media nampaknya media merasakan satu budaya baru. Tun betul-betul percaya media perlu bebas di Malaysia?

Saya tak pernah tolak media. Selama 22 tahun jadi Perdana Menteri, bila media nak jumpa, saya jumpa, banyak mana pun saya jumpa. Sekarang ini lebih kerana media dah bertambah, tak macam dulu. Dulu ada dua stesen televisyen saja tetapi sekarang ada 10. Jadi, kita kena ada interaksi dengan media, barulah kita dapat tahu apa yang rakyat fikir dan tahu apa yang rakyat berasa tidak senang hati. Dengan adanya media, kita boleh jelas tapi kita kena tahulah macam mana nak jelas.

Adakah ini Tun Dr Mahathir yang baru, yang lebih toleransi dengan media berbanding dulu?

Saya nak dakwa bahawa dulu pun saya bertolak ansur. Banding saya dengan kerajaan lepas, tak berani berhadapan dengan media, tak berani jawab, tahan, ini tak boleh cakap, itu tak boleh cakap. Jadi saya memang dari dulu bertolak ansur dan saya dapati bahawa media itu beri peluang kepada saya nak jelaskan sesuatu. Kalau media tak tanya, macam mana saya nak jawab.

Bagaimana dengan akta-akta mengekang kebebasan media, kebebasan bersuara. Janji PH sebelum ini untuk kaji semula atau mansuh akta-akta ini. Jadi banyak tuntutan soalan ini. Apa pandangan Tun?

Kita perlu kaji semula. Satu daripada perkara yang mesti diterima adalah tiada kebebasan secara mutlak. Semua kebebasan ada hadnya. Kalau kita nak cakap dengan orang dia dah bebas tapi depan orang, kita maki dia, kata macam-macam, itu bukan kebebasan, sebab itu ada sekatan tertentu. Ada undang-undang menentukan setakat mana boleh buat. Kalau lebih dari itu, boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Ini banyak disebut rakyat dan negara. Hutang negara mencecah RM1 trilion. Bagaimanakah kerajaan boleh imbangi kaedah untuk bayar hutang ini tapi dalam masa sama tidak jejaskan pertumbuhan pembangunan rakyat?

Kita tak boleh jamin ia tidak jejaskan pertumbuhan ekonomi negara tapi kita boleh tangani masalah hutang ini dan kita mula dengan batalkan beberapa projek yang terlalu mahal yang kita tak cukup duit nak biayai tapi tetap nak buat macam projek ECRL, Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR). Macam-macam benda yang kita tak mampu nak bayar tetapi nak buat juga. Sekarang ini kita batal itu semua. Itu saja menelan belanja lebih RM300 bilion. Jadi 1 trilion ini adalah sebanyak 1,000 bilion, bukan main banyak ‘kosongnya’ tapi ada makna tu. ‘Don’t take zero for nothing’. Tambah satu kosong jadi seribu tapi kita sekarang sedang berusaha kurangkan perbelanjaan kerajaan dan kita cuba, terpaksa kadang-kadang jual aset nak bayar hutang kerana sepatutnya wang yang dulunya dipinjam dan dilabur, kita boleh ambil balik duit pelaburan itu tetapi ini bukan dilabur tapi dicuri. Pencuri itu tak mahu beritahu kita di mana dia simpan duit. Jadi, itulah yang jadi masalah. Tak lama lagi kita carilah.

Tapi nak dapat balik duit itu bukan senang Tun?

Ohh susah, susah. Kita tak pernah capai trilion ringgit tapi inilah kali pertama. Perkataan baru, kleptokrasi, satu trilion. Ini semua adalah perkataan baru yang kita tak pernah dengar.

Pada zaman Tun agaknya hutang paling maksimum saya fikir RM300 bilion lebih kurang.

Dulu kita hutang dan kita buat perancangan Lebuhraya Utara Selatan. Kita tentukan kita ada duit yang cukup. Kalau tak cukup banyak mana kita boleh hutang ikut setakat mana kita boleh bayar pulangan dari pelaburan. Ini cara yang terbaik.  Ini tak fikir langsung cara nak bayar, hutang sahaja. Korek lubang lebih banyak.

Kalau kita hentikan semua projek mega dan tak mega. Kesan kepada ekonomi itu akan terjejas pekerjaan, pendapatan, bagi syarikat-syarikat yang bekerja dan sebagainya. Adakah ini juga diberikan perhatian oleh kerajaan Tun.

Ini juga diberi perhatian tetapi kita cuma batalkan projek-projek yang tidak akan memberikan masalah kepada kita. Umpamanya ECRL. Kontrak diberi, dia mula pinjam duit RM55 bilion dengan syarat syarikat asing akan memulakan (projek). Bila syarikat asing laksanakan kita tak akan dapat apa-apa pun. Pekerja asing akan mereka bawa, barangan asing, apa yang kita dapat. Kalau kita batal yang itu, yang jadi mangsa pekerja mereka, bukan pekerja kita. Kalau kita batal, kita tak payahlah bayar hutang yang banyak.

Ada kalanya dalam konteks ini syarikat-syarikat yang dibatalkan membawa kes ini kepada rakyat, membawa gambaran seolah puluhan ribu pekerja akan hilang pekerjaan. Apa pandangan Tun tentang etika korporat Malaysia ini.

Kita lebih berhati-hati kalau kontrak itu diberi kepada orang Malaysia, orang kita..umpamanya kalau kontrak itu nilainya RM50 juta, tiba-tiba kita dapati nilainya RM70 juta. Kita kena kaji dan tanya balik kenapa lebih mana pergi duit. Kita buat penilaian lebih teliti ini cuma RM50 bilion, kenapa dapat kontrak lebih RM20 bilion.

Mengenai pembentangan belanjawan. Banyak perlu menjaga keperluan kewangan. Rakyat dah banyak berkorban… dengan GST kos hidup tinggi dan kini kita sekali lagi harap pengorbanan daripada mereka. Apa yang Tun harapkan.

Kita minta bukanlah banyak sangat, kerajaan dulu suka bagi duit kepada orang. Duit yang dia bagi tu duit yang dia curi, kita tak ada duit, mana kita boleh bagi. BRIM, nelayan dapat gaji, semua orang dapat pasal nak beli sokongan. Kita tak boleh beli sokongan. Kalau anggap kita boleh tolong, undilah kita. Kita tak boleh nak bagi duit, sekarang saya bagi duit, jangan tanya dari mana duit itu datang, undilah saya. Itu kita tak boleh buat. Sebab itu rakyat mesti terima hakikat sekarang ni duit tak banyak nak bagi percuma takda lah. Itulah pengorbanan yang besar.

Tun dulu lancarkan Wawasan 2020. Besar kemungkinan kita tak kan capai negara maju 2020. Adakah Tun ada alternatif bawa Malaysia pada satu tahap yang tinggi dengan program dan perancangan yang baru dalam konteks ini.

Kita ada cara untuk mempercepatkan proses pembangunan negara. Walaupun demikian ia akan mengambil masa, kehilangan masa selama 13, 14 tahun yang mana segala usaha ke arah wawasan itu tidak dilaksana sebaliknya diubah. Bila diubah, dipinda maka kita tak boleh lagi capai matlamat seperti yang kita susun. Jadi sekarang kita punya perancangan kita nak kembali kepada rancangan kita tetapi dengan tambahan dengan industri yang baru, pendekatan yang baru, efisien yang lebih tinggi. Mungkin boleh capai wawasan 2020. Mungkin pada tahun 2025.

Apakah Tun seorang pendendam?

Kalau saya seorang pendendam banyak orang saya tak boleh bekerjasama. Saya bekerjasama dengan orang yang dulu panggil saya Maha zalim lah, Maha Firaunlah. Itu pun saya berbaik dengan mereka. Saya ada satu ja matlamat untuk mencapai matlamat itu, ini perkara kecil.

Ada pihak menyatakan Tun mengambil kesempatan daripada kemenangan ini bertindak ke atas orang-orang tertentu yang pernah mengecam Tun. Apa komen Tun?

Kita tak ada niat nak ambil tindak balas tetapi kalau orang itu lakukan kesalahan bertentangan undang-undang, maka undang-undang itu akan dilaksanakan. Kita dari awal janji pemerintah mengikut undang-undang. Kalau kita ada buat salah tindakan undang-undang akan diambil, yang lain kita tak peduli.

Presiden Umno (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) didakwa dengan 45 tuduhan. Ini menimbulkan keresahan dan mereka lihat ia sebenarnya sebagai tuduhan bersifat politik. Apa komen Tun.

Tunjuklah bukti dia tak buat salah, 45 tuduhan ini rekaan kita. Tak ada. Kalau dia tunjuk bukti tengok dia curi duit, dia kata bagi duit. Tunjuk kepada kita dengan bukti, dokumen mesti ada. Semua tuduhan ini dibuat oleh AG (Peguam Negara), bukan orang politik. Dia tak boleh buat tuduhan melainkan ada bukti dan bukti diterima di mahkamah.

Tun jadi ahli Umno 1946, 70 tahun selepas itu Tun buat satu parti baru. Apakah Tun masih ada perasaan sayang pada Umno?

Umno sudah tidak ada lagi. Umno yang saya pimpin dahulu pegang pada perjuangan yang kita janjikan untuk bangsa, agama, negara. Ini tak ada. Perjuangan Umno ialah untuk kekalkan Najib sebagai pencuri yang terbesar.

Apakah kita boleh menghukum seluruh parti semata-mata kesalahan pemimpinnya?

Pemimpin satu tak apalah, tapi pemimpin banyak peringkat ni yang kita tunjukkan pada mereka, ini pemimpin kamu salah, tengok Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin) keluar, Shafie (Datuk Shafie Apdal) keluar kenapa kamu tak keluar. Pasal apa pertahan duit ini Tok Arab bagi. Mana ada duit banyak itu Tok Arab bagi.

Dalam sistem parti di Malaysia, orang jadi pemimpin selalu ditakuti, dihargai dan disanjung. Sistem Umno tu dah macam tu. Jadi bagaimana nak mengata tidak kepada pemimpin.

Masa saya jadi pemimpin Umno, saya dicabar Tengku Razaleigh Hamzah, ramai yang sokong dia sampai boleh buat parti Semangat 46. Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) pun tak setuju dengan saya. Jadi semua ini ada orang menentang. Tapi masa Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak) siapa yang tak sokong dia dibuang. Muhyiddin tak bersetuju ja buang, Mukhriz (Datuk Seri Mukhriz Mahathir) buang. Saya tak buat macam tu.

Tun rasakan parti Umno dan BN yang kalah dalam pilihanraya, kita kena ingat peratusan orang Melayu yang sokong Umno, Pas masih tinggi. Orang Melayu untuk PH antara 15 hingga 25 peratus sahaja. Sebahagian besar orang Melayu menyokong Umno, Pas. Apa komen Tun?

Bukan menaruh kepercayaan, menyokong ya. Mereka sokong membuta tuli, kalau kita terang kepada mereka pun duit ini dicuri dari 1MDB, tak duit ini Tok Arab bagi duk bercakap begitu lagi sampai sekarang ini. Ada orang keluar dari Umno cakap dengan saya, mereka buat silap tapi saya percaya mereka dapat duit dari Tok Arab. Tok Arab gila mana nak bagi duit banyak tu.

Kerajaan PH yang Tun pimpin ini terlalu dipengaruhi DAP, terlalu liberal. Malah tuduhan anti Islam dan perkara-perkara ini dilemparkan. Apa komen Tun?

Bila kita ada musuh, musuh buat tuduhan. Kononnya PH ini tak baik, dikuasai oleh DAP, kita tengok DAP ni kuasai kita macam mana. Jumlahnya tak banyak, kalau tak ada kita dia jatuh. Dia bagi pendapat, pendapat dia, kita bincang, kita bahas, kalau kita bersetuju kita bersetuju, kalau tak setuju kita tak setuju. Kita bebas.

Keupayaan Melayu dalam bidang perniagaan boleh diperbaiki lagi?

Dia boleh diperbaiki bukan perkara-perkara lain dari budaya dia. Orang Melayu tak kerja sekuat orang Cina dan India. Kita mesti ingat, orang Cina datang sini dulu jadi kuli. Angkat benda berat, benda yang kotor, dia sanggup buat bekerja. Kenapa dia bekerja pasal orang Melayu tak mahu bekerja. Orang India datang ke sini kerana orang Melayu tak mahu toreh getah. Kita bagi tempat kepada orang lain, orang lain guna peluang sehingga jadi begitu kaya. Kalau kita tak betulkan diri kita, tak sanggup bekerja kuat, tak amanah, kita tak boleh jadi maju. Sebab itu saya tekan berkali-kali setiap kali persidangan Umno kita kena rajin, amanah, sanggup bersaing, berdisiplin, kita boleh dari segi akal fikiran kita sama orang lain tapi dari segi budaya kurang.

Banyak orang Melayu yang berjaya dalam perniagaan, usahawan Melayu ini perlu kita galakkan?

Ini memang benar, ada orang Melayu boleh. Yang tak boleh sebab tak kerja kuat. Majoriti tak. Kita tengok dalam Malaysia, bandar dipenuhi orang Cina sebab mereka bekerja kuat mereka pandai cari duit. Orang Melayu lari, bandar makin besar dia jual tanah, dia pindah jauh-jauh sikit dari bandar. Bandar itu membesar sampai ke tempat dia, dia jual tanah. Lama-lama dia duduk di pinggir hutan.

Orang Melayu tak rasa kecil hati dengan komen Tun misalnya.

Saya tak kira kecil hati. Saya nak cakap benda yang benar. Kalau saya nampak orang itu malas, saya nak cakap ‘eh awak cukup rajin?’.

Orang Melayu sanggup buat apa sahaja untuk parti, budaya itu tidak ada ke dalam politik Cina, politik India.

Mereka tak peduli parti, kalau ini merugikan bangsa mereka, mereka tinggalkan parti itu. Mereka akan sokong parti lain. Tak ikat pada parti sehingga tak boleh fikir. Dia nampak MCA ini tak betul dia pilih DAP, kalau nampak DAP tak betul dia pergi kepada MCA tapi orang Umno betul tak betul, penyangak ka pencuri ka, ini Umno, kita sokong.

Tun seorang yang sangat sensitif. Kadang kala Tun berdepan dengan orang yang kadang kala sedikit biadab misalnya mengacau atau membuat keadaan yang Tun rasa tak selesa. Apakah Tun rasa ini ada kaitannya dengan nilai orang Melayu sekarang yang dah tak hormati pandangan orang lain?

Sesuatu bangsa itu dikenali sebagai bangsa itu bukan kerana warna kulit, bahasa ataupun iklim, tetapi kerana budaya. Budaya di sini bermaksud nilai hidup yang dipegang dan diamal. Kalau dia langsung tidak sensitif terhadap ketidakadilan yang berlaku, bangsa itu tidak akan maju. Jadi kita perlu ada nilai-nilai yang mulia, yang kita amal dan kita pertahankan. Kalau kita tengok sesuatu itu salah, kita mesti kata ia salah walaupun diri kita terancam sedikit...ini saya ingat bangsa yang semacam itu, tetap akan berjaya. Soal warna kulit, fizik, semua itu tak menyebabkan kita gagal, kita sama dengan orang lain. Sebab itu bila kita tengok orang kita yang sanggup mendaki gunung, berenang, buat apa yang orang lain buat, dia boleh buat...dan kita boleh berjaya, dan kita boleh jadi bangsa yang maju yang boleh dianggap sebagai bangsa yang maju, tetapi kita tak usaha. Kita bercakap sahaja ini baik..ini baik...kita berdoa minta kepada Tuhan. Saya selalu peringat orang bila sembahyang hajat, baca doa minta Tuhan selalu ingat dalam al-Quran kata, kamu mesti lakukan dulu, baru kita dapat pertolongan daripada ALLAH SWT. Jadi kita tak ikut ajaran yang cukup baik yang ada di dalam al-Quran. Kita sebagai orang Islam sembahyang, puasa, zakat, mengerjakan haji, buat umrah 30 kali, tetapi perkara macam kerja kuat, ia tiada (tidak dilakukan). Dalam al-Quran kata, kalau nak timbang, kena guna penimbang yang terbaik.

Apakah komen Tun tentang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan menggantikan Tun?

Ya saya akan pergi dan tentu akan ada pengganti dan kalau orang ramai nak Datuk Seri Anwar, mereka berhak mendapat Datuk Seri Anwar. Saya tak boleh jamin macam saya pilih Datuk Abdullah (Tun Abdullah Ahmad Badawi), saya ingat dia baik, dia orang agama, tapi tengoklah apa yang dia buat? Kemudian, Abdullah saya ganti dengan Datuk Seri Najib, anak Tun Razak, seorang yang ikon, tentulah baik, tapi tengoklah apa yang jadi. Jadi saya tak boleh nak jamin, tetapi setakat yang boleh ini janji saya. Saya janji selepas saya letak jawatan, Anwar akan ambil balik, itu terpulang kepada rakyat untuk menentukan.