SELEPAS PRU14, tidak dinafikan Bersatu lebih kuat dan mula diterima. Kemasukan ramai ahli baharu menyertai Bersatu akhir-akhir ini membolehkan parti itu membina imej dan kekuatan di seluruh negara termasuk di pantai timur.

Bersatu kini dilihat mempunyai masa yang cukup dengan kekuatan lebih baik untuk membina kekuatan baharu demi mendapat sokongan rakyat. Ikuti wawancara Sinar Live bersama Pengerusi Bersatu Terengganu, Senator Datuk Razali Idris bagi mengetahui ke mana arah tuju Bersamu Terengganu.

Boleh datuk dikongsikan secara ringkas mengenai Bersatu di Terengganu.

Bersatu bertapak di Terengganu bermula 18 bulan yang lalu dengan keadaan yang tidak teratur dari segi keahlian, kewangan dan lain lain.

Namun, dengan kesabaran selepas enam bulan bertapak di Terengganu kita berjaya menubuhkan lapan bahagian lengkap 20 ahli jawatankuasa termasuk Armada.

Malah, Bersatu dapat menyediakan 10 calon Dun dan tiga calon Parlimen dengan sempurna dan menghadapi saingan PRU14 tetapi calon kita kalah semua.

Bagaimanapun, saya bangga kerana dalam masa singkat, masih mentah, setahun jagung dan dengan pelbagai tekanan termasuk tidak dibenarkan bertanding, Bersatu berjaya melepasi PRU14.

Selepas Kerajaan Pusat diambil alih, Bersatu bebas dari belenggu tekanan dan terus bergerak memperkasakan parti dalam konteks semangat perjuangan bagi mengisi kemenangan dengan sebaik mungkin.

Sejauh mana usaha Bersatu Terengganu meningkatkan lagi aktiviti menambah keahlian dalam usaha memperkasakan parti?

Usaha mendaftarkan ahli baharu berterusan dan lebih sistematik selepas mengambil alih Putrajaya.

Kita bentuk jawatankuasa khas keahlian. Penyelaras Parlimen, Dun dan penubuhan 366 cawangan termasuk Sri Kandi dan Armada.

Menariknya, bekas pemimpin Umno di peringkat akar umbi selain atas pagar turut mengisi borang keahlian Bersatu dalam program dianjurkan sebelum ini.

Jumlah keahlian Bersatu Terengganu, bagaimana sasaran parti dan perkembangannya setakat ini?

Setakat ini ahli Bersatu Terengganu seramai 3000. Kami jangka keahlian akan bertambah sehingga 10,000 pada akhir tahun ini.

Sasaran keahlian pula adalah ahli yang berkualiti dan bukan kuantiti semberono. Kita akan berusaha dengan sasaran 500 ahli setiap cawangan di 366 cawangan dengan jumlah 183,000 menjelang PRU15.

Bersatu parti berteraskan Melayu Bumiputera dan Islam, di Terengganu 98 peratus penduduk adalah Melayu, sudah pasti apabila Umno ditolak maka Bersatu menjadi pilihan tetapi dengan syarat kami perlu bekerja keras menyakinkan ahli.

Kami juga berusaha memenuhi tuntutan rakyat di Terengganu sama ada melalui bantuan atau projek Kerajaan Pusat atau bekerjasama dengan exco kerajaan negeri dalam perkara tertentu.

Sejauh mana kerjasama parti komponen Harapan di Terengganu dalam membuat persiapan demi mencapai kemenangan pada PRU akan datang?

Hubungan kami baik dalam Harapan dan jika ada pendapat berbeza, ia dianggap sebagai 'second opinion' demi kesepaduan dan keutuhan Harapan Terengganu.

Namun, kepimpinan Harapan perlu segera merangka pelan tindakan, tidak boleh berkhayal dengan kemenangan dianugerahkan sekarang. Kerja menguat dan memperteguhkan parti perlu berterusan.

Bersatu Terengganu juga telah membuat persiapan bagi menjamin Harapan menang pada PRU15 di negeri ini.

Ia dilakukan melalui Pelan Pilihanraya Bersatu PRU15 dengan mengambil pandangan dan syor ketua ketua bahagian, ahli dan pakar serta pertubuhan bukan kerajaan di negeri ini.

Kerjasama strategik Pas-Umno dinilai bakal mengalahkan PH dalam PRU15 berdasarkan 100 dalil dikongsikan pemerhati politik, komen datuk.

Saya berpendapat, mungkin kerjasama Pas dan Umno berlaku dalam perkara perkara tertentu tetapi bukan melalui gabungan dua parti menjadi satu kerajaan perpaduan.

Ini kerana, penyokong Umno pasti sukar menerima Pas selepas mereka 'dikafirkan' berpuluh tahun lalu. Lawan Umno BN bukan kerana mereka Umno BN tetapi kerana mereka kekal perlembagaan penjajah..

Manakala, pemimpin Pas yang menghadiri Perhimpunan Agung Umno atau pemimpin Umno menyertai Muktamar Pas juga hanya kosmetik. Bukan sahaja ia dilihat tidak berkesan tetapi ahli Umno turut mengkritik.

Mereka mengkritik pemimpin tertinggi Umno kerana tidak menunjukkan arah dan kosistensi. Juga amat memalukan apabila Perhimpunan Agung Umno hanya dihadiri oleh timbalan presiden Pas.

Adakah Presiden Umno tidak dianggap setanding atau setaraf dengan Presiden Pas. Untungkah Umno? Malah kedua dua parti ini pasti bertanding di 32 kerusi Dun Terengganu pada pilihanraya akan datang.

Bagi saya apa sahaja dalil dikemukakan untuk kalahkan Harapan ia perlu mendapat sokongan rakyat atau pengundi.