SEKTOR pertanian tidak wajar dipandang rendah kerana ia adalah bidang penting bagi memastikan bekalan makanan di negara ini mencukupi. Ia juga penyumbang kepada per­tumbahan ekonomi Malaysia.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub menggariskan lima hala tuju pertanian bagi memantapkan sektor berkenaan.

Lima perkara tersebut ialah meningkatkan produktiviti keluaran dalam tiga sektor pertanian iaitu padi, ternakan dan perikanan. Kedua, menggalakkan sektor swasta untuk masuk dalam industri itu. Ketiga, jadikan pertanian sumber rezeki. Keempat, menambahbaik ekosistem dan kelima, mengukuhkan dan menyusun semula semua agensi di bawah kementerian.

Ikuti kupasan lanjut Salahuddin yang berkongsi visi dan misi beliau dalam Bicara Minda Sinar Harian, dikendalikan oleh wartawan veteran, Tan Sri Johan Jaaffar selaku moderator.

Kalau kita perhatikan berdasarkan kepada skala kepentingan ekonomi dari segi pertumbuhan dan penghasilan dan sebagainya, nampaknya pertanian bukanlah di tahap paling tinggi berdasarkan sumbangan kepada ekonomi itu nampaknya masih rendah, kenapa kita masih berikan tumpuan kepada pertanian?

Tugas hakiki saya mesti menjamin tentang keselamatan makanan. Orang ada duit, tiga hari tiada berasa apa jadi di Kuala Lumpur, apa akan jadi di Alor Setar? Kelam-kabut. Ini tugas hakiki saya, orang pandang rendah itu naratif masa dulu.

Hari ini, saya mempunyai iltizam untuk pastikan kementerian pertanian mesti bekalkan makanan cukup kepada negara, itu penting.

Walaupun dipandang tidak memberikan pulangan ataupun menyumbang kepada GDP dalam skala besar tapi jangan fikir, ini keselamatan makanan, kalau orang boleh tidak peduli ratusan bilion diberikan kepada Kementerian Pertahanan untuk beli 10 jet pejuang, kerana apa?

Kerana itu isu keselamatan negara. Kenapa tidak anjakan paradigma itu pergi ke keselamatan makanan, yang kita mesti jamin makanan di waktu aman dan kecemasan.

Sebab itu saya tidak akan terperangkap dengan paradigma itu, saya akan terus ke hadapan, nafas baru, iltizam baru. Saya akan pastikan sektor pertanian berkembang seperti di negara maju seperti Jepun, Eropah dan sebagainya.

Seorang menteri besar bagi sebuah negeri ada kata dalam Parlimen baru-baru ini bahawa ini adalah satu korban buat dirinya, masih beri tumpuan kepada pertanian sedangkan pada asasnya, beliau merasakan perlu bantuan banyak daripada Kerajaan Pusat. Ini bermakna negeri yang masih memberi penekanan kepada pertanian merasakan bahawa mereka akan terus ketinggalan. Ertinya, ini membuktikan bahawa pertanian masih menjadi sektor yang dikaitkan dengan kelemahan dari segi ekonomi. Datuk setuju atau tidak?

Kita nak fikir dari aspek mana? Saya baru semak tadi seperti contoh Perancis memberi subsidi 6.5 bilion Euro, Jerman 2 billion Euro, UK 3 bilion Pound Sterling.

Negara maju, maju industri tapi tidak meninggalkan pertanian kerana mereka faham falsafah tiada guna bangunan tinggi, rakyat maju tapi lapar, ini penting. Oleh itu, dalam konteks ucapan rakan saya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, saya rasa untuk kita maju ke hadapan, kita ada naratif baru. Kita ada teknologi baru, saya dan kementerian akan usaha untuk modenkan pertanian.

Subsidi bersasar, kita sasarkan contohnya baja untuk tanah yang sesuai. Sebelum ini konsep semua kawasan gunakan satu baja, saya tidak mahu pendekatan begini. Saya harus fikir secara inovatif supaya semua agensi yang terlibat dalam kementerian ,kita harus lihat semua masalah ini, baja yang akan diberi, kita fikir tentang perubahan iklim, kita kenalkan inovasi baru.

Kalau kita,mahu Kedah maju dalam sektor pertanian, kita kena mula dengan subsidi dulu. Jangan anggap subsidi itu sebagai beban kepada negara tapi kita perlu bantu. Saya tidak akan berhenti pada subsidi.

Mentaliti subsidi ini konotasinya malas, bergantung dengan kerajaan tapi dalam pemberian subsidi akan datang dengan amalan tiada ketirisan, dan sasaran sampai dengan mengamalkan amanah dalam urus tadbir. 

Persepsi orang kepada pertanian, memikirkan bahawa pertanian melambangkan kepada ketinggalan, cerita rakyat Melayu menggambarkan bahawa pertanian ini hanya memberikan gambaran kemiskinan. Bagaimana Datuk melihat perkara ini?

Ayah saya Guru Agama, mertua saya nelayan, saya dulu pernah bertani, pernah buat kebun, saya tahu. Saya rasa kemiskinan jangan dipandang umum, kemiskinan ini naratif. Bapa mertua saya walaupun nelayan tapi dia ada tanah.

Dia menyahut saranan kerajaan pada waktu itu untuk menanam koko, ditanam di celah-celah pokok kelapa. Ini satu perkara yang dapat mendatangkan hasil. Saya tahu bapa mertua saya pergi menunaikan haji menggunakan wang dari tanaman koko, anaknya kahwin, pergi sekolah, masuk universiti menggunakan duit dari tanaman koko dan nelayan.

Jangan kita umumkan isu itu. Ada orang menyindir saya masa saya kata tanam nanas di belakang rumah, mereka kata inikah idea seorang Menteri Pertanian? Saya menteri Malaysia, saya Menteri Pertanian untuk Johor, Sabah.

Nelayan di Pulau Pinang, dia berjaya, buka koperasi dan tanah terbiar dijadikan tanah kelompok dan ditanam nanas, ia berjaya sehingga dieksport ke China.

Atas kita sebenarnya untuk ubah persepsi itu, kalau kita terus rasa pertanian itu miskin, sektor tidak menjanjikan apa-apa tapi ingat sektor ini menjadikan RM3.5 bilion KDNK negara, campur komoditi angka itu bertambah.

Jadi saya perlu gerakkan angka itu ke hadapan, tak terperangkap dengan naratif lama, harus kumpulkan semua kekuatan yang ada dalam Kementerian Pertanian dan maju ke hadapan.

Apa bezanya Datuk dengan menteri sebelum ini, semuanya kata nak majukan pertanian, jadikan petani lebih berjaya. Apa perubahan yang Datuk nak buat?

Saya yakin semua menteri ada idea, ada gagasan masing-masing. Saya tak boleh kata pemimpin negara tiada jasa pada negara. Ada bagus, belanjawannya cukup dan seumpamanya.

Pada tahap  ni, saya perlu lihat dengan teliti ke mana duit itu pergi. Kalau subsidi itu hampir RM2 bilion, hari ini harus pastikan di era saya, saya bukan nak cakap besar, saya harap ketirisan itu dapat dikurangkan.

Kontrak baja, kontrak biji benih, kontrak dari segi tender untuk kita keluarkan hasil pertanian, ini berlaku banyak ketirisan. Jadi hala tuju saya, saya ada lima hala tuju yang akan saya bawa untuk majukan kementerian ini.

Pertama, tingkatkan produktiviti keluaran dalam tiga sektor pertanian iaitu padi, ternakan dan perikanan. Kedua, kita akan menggalakkan sektor swasta untuk masuk dalam industri ini. Ketiga, jadikan pertanian sumber rezeki, ini penting.

Banyak sumber rezeki baru yang kita telah kenal pasti yang akan membantu bukan saja padi, ikan ternakan tapi buahan lain untuk masuk pasaran dunia. Keempat, tambah baik ekosistem. Mungkin anda ada pelan bisnes yang bagus tapi gagal untuk selamatkan ekosistem.

Kelima, kukuhkan dan susun semula semua agensi di bawah kementerian. Ini mungkin beza saya dengan menteri terdahulu. Kalau kerajaan PH benar-benar komited untuk membawa pendekatan good governance, perangi rasuah, kurangkan ketirisan, bajet RM4,4 bilion kepada kita, kita boleh cukup hantar terus kepada seluruh poket petani-petani. 

Kita import banyak dari luar negara, kita adea tanah pertanian luas, kita ada cuaca sesuia, kenapa kita boleh mengimport begitu banyak sekali bahan makanan?

Saya telah beri satu tugasan penting kepada Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang, Mazlan Aliman untuk tengok tanah-tanah estet yang terbiar dan buat satu perjanjian dengan Felda, Guthrie dan lain-lain,. Ini salah satu kategori tanah terbiar yang kita boleh uruskan.

Yang kedua, agak sukar untuk uruskan tanah terbiar milik orang kampung. Ada tanah, adik-beradik berkelahi tapi saya pergi dulu kepada tanah terbiar estet-estet kita.

Saya nampak bahawa kita ada hala tuju yang jelas, kita nak minta sektor swasta masuk dalam industir ini. Saya ada terima banyak proposal dari Jepun, Brazil, India yang berminat dalam industri ini. Kita ambil pengajaran daripada isu NFC, kita tutup buku itu, kita buka buku baru, jadi kita galakkan sektor swasta untuk masuk.

Yang kedua, kita nak galakkan small holders. Satu konsep baru, satu model baru melibatkan ternakan akan saya kemukakan dan agensi terlibat mesti ambil tanggungjawab untuk uruskan perkara ini supaya ia berjaya mencapai matlamatnya.

Kenapa kita perlukan syarikat besar terlibat sedangkan kita mahu tingkatkan keupayaan petani kita. Kenapa tak dibina sistem koperasi, konsortium di kalangan usahawan, di kalangan petani kecil supaya manfaatkan sumber yang ada. Apa hasil kepada petani-petani kecil?  

Kita tak boleh tolak sektor swasta sebab dalam kita bercakap soal produktiviti, ada empat elemen penting. Pertama, kerajaan, maknanya peranan kerajaan. Kedua, sektor swasta, ketiga SME (usahawan kecil sederhana) dan yang keempat small holders.

Bagaimana small holders  nak naik kepada SME kalau kita tak bantu dia. Misi saya supaya kita tidak lagi terlalu bergantung kepada kerajaan. Saya akan perjuangkan subsidi, insentif tapi saya tidak akan berhenti di situ.

Kita mesti mulakan dengan satu inisiatif, kalau sektor swasta masuk dan mereka berjaya, mereka akan jadi anchor company dan syarikat itu akan tolong SME kita. Bila SME berjaya, small holders akan naik. Ada serampang dua mata yang kita tak boleh berpisah untuk kita jayakan perkara itu.

Ada model bisnes yang berjaya, yang menampakkan kejayaan?

Ada, berdasarkan lawatan saya, ada banyak. Ada satu syarikat yang saya perhatikan di bawah Khazanah, dia buat projek tenusu. Ini kita bagi kepada syarikat, 2,000 ekor lembu dan kita boleh tingkatkan hasil tenusu kita.

Kenapa Thailand dilihat jauh lebih maju dalam soal pertanian. Apa bezanya antara mereka dengan kita?

Dalam lawatan saya ke Vietnam baru-baru ini dan Thailand, ada dua perkara saya lihat di situ. Di Thailand, inovasi pertanian memang jauh meninggalkan kita tapi kena ingat mereka gunakan racun dan bahan kimia yang tinggi.

Itu kita lihat pula kawalan-kawalan yang ada. Mereka dapat mengeluarkan produk dengan jumlah tinggi seperti di Vietnam keluarkan cili kita harus lihat pula tahap racun diguna mereka. Secara objektif. Untuk berlaku adill, saya masuk kementerian dan terfikir kenapa pesawah kita tak dapat tingkatkan hasil, nelayan kita masih mundur.

Bila buat perbandingan, jelapang kita tak sampai 600,000 hektar. Thailand ada 10 juta hektar, Vietnam lapan juta hektar. Saya tanya bagaimana pendapatan petani mereka? Masih miskin, masih B40 juga cuma keluasan merek luas dan mereka boleh eksport.

Apa saya belajar, mereka tidak berhenti dari segi mencari teknologi baru dan kepelbagiaan dan bagaimana mereka memastikan kerajaan memberikan insentif kepada mereka yang terlibat dalam semua sektor dalam pertanian.

Saya harap dengan model-model yang kita belajar ini, saya akan terus berjuang sebagai Menteri Pertanian supaya kerajaan dan Kabinet melihat bahawa sektor pertanian ini perlu dimajukan dan saya percaya bahawa dengan Tun Dr Mahathir yang sekarang acap kali ke Jepun, dasar pandang ke Timur, akan bawa kembali sektor pertanian selari dengan kemajuan negara pada masa akan datang.

Bagaimana nak tarik orang untuk masuk ke dalam sektor ini. Sektor in tak glamor, tak menarik perhatian. Bagaimana nak tarik graduan baru misalnya untuk masuk dalam sektor ini?

Anak-anak muda dah masuk fertigasi cili sebagai contoh. Kita beri bantuan kepada mereka dan mereka berjaya. Saya yakin dengan anak muda dan saya akan memastikan dalam hala tuju ini, peluang-peluang anak muda akan kita berikan sepenuhnya.

Saya akan berjuang supaya mereka dapat pinjaman daripada Agro Bank. bagi kita proposal, satu pandangan untuk kita teliti dan kalau mereka telah berjaya, kita pastikan mereka pergi ke tempat yang sah. Kita mahu mereka meredah segala mimpi buruk.

Anak muda telah mula menceburi bidang ini dengan teknologi. Siapa nak pandu dron? Kalau kita kata nak tanam benih padi guna jentera baru, ini anak muda yang boleh lakukan, bukan era orang tua.

Saya dan bincang dengan Pengerusi Fama yang baru, akan buat sistem atas talian, nak buat jadi seperti pasaraya seperti Lazada, kenapa tidak? Ini perkara yang belum kita ceburi. Dengan pendekatan ini, saya yakin kita dapat maju ke hadapan.

Kita bercakap soal makanan mencukupi sudah lama. Apa strategi baru Datuk untuk cukupkan makanan di negara ini?

Sekiranya kita dapat pastikan subsidi atau insentif ditingkatkan, dengan tiada ketirisan, saya sasar dalam hala tuju dalam tiga tahu akan datang kita boleh tingkatkan kepada 70 ke 75 peratus. Dalam 10 tahun akan datang, kita boleh capai 80 peratus, kita mesti bergerak.

Dengan amalan-amalan ini, saya yakin. Mardi, mesti bergerak ke hadapan. Kita tak jauh bea sangat dengan Vietnam dan Thailand. Kalau kita boleh gunakan baja yang tersasar di jelapang kita di mana kerajaan sedang menyiapkan sistem perairan. Sekinchan , sistem perairannya jauh ke hadapan, bila siap projek, perairan di Mada (Lembaga Kemajuan Pertanian Muda) akan lebih baik.

Masalah sebenarnya bukan masalah Cina, Melayu sangat, masalahnya bagaimana teknologi itu diaplikasikan dan bagaimana ia harus diurus dengan baik, tiada ketirisan, Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) yang menjadi nadi kepada peladang dapat dibetulkan semula, saya yakin kita berjaya bangunkan sektor ini.

Selagi sektor ini tidak dimodenkan, selagi itulah kita akan bercakap perkara ini dalam 10 ke 20 tahun akan datang. Adakah Datuk setuju?

Saya harus positif, proaktif dan inovatif. Biarlah 10 tahun nanti orang kata saya berjaya atau tidak tapi saya harus mulakan hari ini, saya harus memandu kementerian ini, inilah tugas saya hari ini. Itu tanggungjawab saya.

Pertanian antara sektor yang paling banyak diberikan subsidi. Ini tanggungan besar kerajaan, apa strategi Datuk selepas ini?

Negara maju seperti dalam laporan, Denmark, Sweden, Jepun, Korea. Kalau saya sebut subsidi, mereka beban subsidi tapi subsidi itu telus, sampai ke poket rakyat. Indeks rasuah mereka terbaik di dunia. Kita ada RM2 bilion tiris. Ini berlaku kepada negara dunia ketiga.

Semakin banyak kita lambakkan subsidi dan tiris. Petani tak boleh keluar dari kelompok B40. Jadi, ini tugas saya banteras perkara ini. Saya nak tegaskan perkara ini supaya jelas untuk membawa perkara positif ke hadapan.

Saya tak mahu ungkit perkara lama tetapi saya harus beritahu saya masuk pejabat pada 21 Mei 2018 dengan segala legasi yang dulu yang harus saya bawa, saya kena betulkan, luruskan yang bengkok.

Saya harus ada kekuatan, kementerian harus kuat untuk memandu perkara ini barulah subsidi yang kita berikan bukan beban. Di Jerman tak ungkit pun kerana ia cukup untuk negara mereka malah mereka eksport makanan ke luar juga.

Berdasarkan kepada pandangan orang ramai, kita subsidi beras seperti padi dari benih samapi pengeluaran, ada subsidi tapi harga beras macam itu juga. Kemudian ada monopoli beras, ramai orang bercakap perkara ini. Perjanjian monopoli ini berakhir pada 2021, sementara itu apakah langkah-langkah yang akan dibuat?

Dalam dunia perniagaan, persaingan itu adalah bagus, dalam mana-mana bidang pun. Sebab itu monopoli tak bagus dalam mana-mana negara pun, sebab itu kita nak pecahkan. Saya dah bawa perkara ini dalam Kabinet dan mereka bersetuju tapi semua kena ingat ini bukan tanggungjawab kementerian sahaja.

Sebab itu Kabinet putuskan masukkan lapan kementerian dalam jawatankuasa khas Kabinet untuk memikirkan model baru bagi menggantikan Bernas supaya bila ia tamat pada 2021, kita ada model baru. Ada dua ke tiga model baru yang kita telah hantar dan kemukakan kepada Kabinet jadi kita tunggu dulu.

Saya tak boleh cakap sebab itu masih lagi dalam perbahasan tapi bila Bernas dipecahkan monopoli itu, kita harap rakyat akhirnya dapat manfaat, dapat beli beras dengan harga lebih relevan dan pasaran lebih kompetitif.

Lagi satu yang orang banyak bercakap adalah harga ikan. Ada bagi subsidi juga tapi harga ikan tetap tinggi. Realitinya, apa masalah sebenar perikanan kita?

Aspek positif dulu, saya lihat dengan Bantuan Sara Hidup, kita dapat ringankan sikit beban nelayan. Golongan ini memang perlu dibantu.

Ada kumpulan-kumpulan yang melihat ada tanah terbiar, mereka tanam dan kementerian memberikan mereka peluang, bantu mereka dari segi tanaman yang hasilkan rezeki baru seperti kelapa, nanas, nangka yang boleh ditanam hari ini sebagai tanaman sampingan di samping mereka kekal sebagai nelayan.

Masalah yang sangat besar adalah nelayan laut dalam, pembersihan perlu dibuat. Sebenarnya yang dapat lesen itu bukan nelayan.

Saya dan pegawai saya sedang teliti, empat ke lima bulan ini kita ambil perhatian. Lebih kurang 1,000 lesen laut dalam kita telah keluarkan. Kabinet sekitar 2008 kalau tak silap telah keluarkan 500 lesen untuk bot-bot nelayan besar dari Vietnam dilesenkan di sini.

Pada waktu itu ada isu tidak cukup ikan. Balik pada good governance, sekarang ada lebih kurang 1,000 lesen lagi. Bot-bot luar, pakai lesen kita, tangkap ikan di perairan kita tapi jual di Vietnam, di Thailand, yang lebih dahsyat lagi jual tengah laut. Depan mata kami, dia hantar ikan kecil-kecil yang orang buat keropok sedangkan lesen mereka untuk ikan-ikan besar.

Pegawai kita yang ambil dalam borang declare hasil itu tulis satu angka yang tak betul. Ikan Kelas A jual tengah laut, tak pun bot Vietnam dan Thailand bawa balik negara mereka. Ini cabaran besar yang saya sedang hadapi pada masa ini.

Oleh itu, beri saya masa untuk buat pemutihan, lihat perkara ini betul-betul, pegawai mesti bersama saya untuk pastikan perkara ini tidak berlaku di masa akan datang, barulah nanti isu perikanan ini dapat diselesaikan.

Bagaimana perkara seumpama ini berlaku kerana ia bukan melibatkan 10 lesen tetapi 1,000 lesen dan macam mana menangani perkara ini daripada terus berlaku?

Nanti orang tidak seronok jika saya bercerita tentang kerajaan lama tetapi saya nak maklumkan bahawa apabila saya menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, ini adalah perkara yang perlu saya hadapi di mana wujud campur tangan politik.

Dalam Kongres Bumiputera yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini, apa yang ditekankan oleh beliau adalah orang Melayu yang diberikan kuasa politik dan berikan permit Import (AP) mereka jual.

Apa yang Datuk lihat dengan peranan Fama sekarang ini?

Saya tidak boleh nafikan bahawa Fama telah memainkan perananya yang terbaik pada era yang lalu.  Kalau kita lihat mereka telah laksanakan pasar tani mega dan pasat tani yang dibesarkan. Bila saya turun padang di Johor, Selangor dan Kelantan, memang konsep pasar tani dapat beri sumbangan besar kepada petani kita.

Telah ada pembaharuan dengan penggunaan food truck yang memberi nilai tambah kepada petani kita dalam memasarkan hasil mereka. Ini memberi peluang kepada anak muda kerana kos tidak terlalu tinggi dan mereka boleh berniaga.

Bila saya turun padang saya suka naik food truck ini untuk lihat barang jualan. Ada yang memperoleh pendapatan antara RM3,000 hingga RM6,000 sebulan,

Saya telah melantik seorang anak muda yang ada pengalaman luas dalam dunia korporat di mana beliau mempunyai idea supaya Fama jadi lebih besar. Harapan petani bawah mahukan Fama benar-benar dapat membeli hasil tanaman mereka dan dipasarkan.

Itu dapat mengurangkan orang tengah dan petani dapat pendapatan berpatutan. Idea beliau dalam masa terdekat ini adalah memperkenalkan penjualan hasil secara offline dan online dengan kos murah serta dipasarkan.