PARLIMEN sudah pun dibubarkan dan semua parti sudah pun bersedia menentang lawan mereka pada PRU14 yang dianggap sebagai sengit dalam sejarah.

BN Perak sudah pasti akan berhadapan dengan dua blok pada pembangkang iaitu Pakatan Harapan dan Gagasan Sejahtera.

Ikuti wawancara eksklusif Sinar Harian bersama Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang juga Menteri Besar Perak yang akan mengupas mengenai persediaan dan juga perancangan BN menghadapi PRU14.

Bagaimana persiapan BN Perak dalam menghadapi PRU14?

ZAMBRY: Alhamdulillah, kita pada tahap persiapan sepenuhnya bagi menghadapi plihanraya yang akan datang ini kerana ia merupakan pusingan terakhir juga persiapan kita pada tahap terbaik.

Dari segi pembahagian kerusi dalam kalangan komponen adakah kekal seperti sebelum ini atau ada pertambahan kerusi kepada Umno?

ZAMBRY: Saya tidak melihat konsep pertambahan dari segi parti kerana apabila kita bertanding pada pilihanraya, dalam konteks BN hanya ada satu sahaja iaitu BN, tidak boleh ada katakan Umno nak bertanding nama Umno, MCA begitu. Tapi dari segi kita punya pembahagian berdasarkan semangat konsensus atau pun persefahaman atau musyawarah yang ada kita membuat keputusan berdasarkan kepada formula kemenangan. Sebagai contoh dalam piliharaya yang lalu, kerana kita berasaskan kepada formula kemenangan itu, menyebabkan rakan kita dari MIC sanggup melepaskan dua kerusi bagi membolehkan ia ditandingi daripada Umno untuk memastikan supaya kita mencapai kemenangan. Alhamdulillah, berkat daripada strategik itu kita menang. Begitu juga pada kali ini kita akan mengambil pendekatan berasaskan formula kemenangan. Tidak semestinya kita ambil tempat orang ini, tempat orang itu ataupun kita nak mengumpulkan untuk diri kita semata-mata. Tapi saya nak tegaskan sekali lagi, ia berdasarkan formula kemenangan.

Dari segi calon,  sudah tentunya pemilihan sudah dibuat dan dimuktamadkan. Apakah kriteria calon yang dipilih dan bagaimana pemilihan mereka dibuat?

ZAMBRY: Sudah pasti kita memilih potensi calon yang akan memberikan kemenangan iaitu juga berdasarkan dasar yang kita buat, pendekatan yang kita lakukan iaitu calon yang disukai atau likeable dan calon yang mempunyai potensi untuk menang atau winnable. Jadi sudah pastinya kita akan membuat penilaian calon berdasarkan penilaian yang kita sebutkan ini. Kita akan menggunakan kaedah yang lebih praktikal dan yang lebih seimbang kerana kalau kita menekankan aspek calon itu boleh menang dan dia pun duduk kekal selama-lamanya di situ, dalam masa yang sama Umno dan BN juga menekankan dari aspek kesinambungan peremajaan parti juga penglibatan dari aspek gender seperti lelaki, wanitanya. Yang ini diberikan pertimbangan sewajarnya berdasarkan kepada proses keseimbangan yang perlu kita lahirkan. Ini pengalaman kita lakukan di Perak dan kita akan terus lakukan. Maknanya kalau yang memang disukai walaupun dia sudah tiga penggal, empat penggal, dan dia tidak pernah kalah disebabkan oleh rakyat suka dia dan beliau pun masih berkemampuan sebagai contoh antara faktor kemampuan, faktor umur dia pun mungkinlah tidak terlalu tua sangat untuk bertanding,  maka atas nama perkiraan ini kita akan memberikan keutamaan kepada calon-calon seperti ini. Begitu juga dalam masa yang sama akan ada juga di tempat-tempat tertentu, ini proses yang saya anggap proses secara semulajadi yang berlaku ada tempat-tempat yang mungkin wakil-wakil rakyatnya sudah tidak boleh lagi berfungsi ataupun tidak lagi efektif dan dari segi sumbangan beliau dan peranan beliau sebagai wakil rakyat semakin menurun yang ini merupakan satu proses yang berlaku di mana-mana sahaja. Jadi pada kali ini pun kita akan lihat perkara yang sama.

Di sebalik penampilan nama-nama baharu, sudah pasti ada yang akan digugurkan? Berapa peratus calon yang digugurkan?

ZAMBRY: Kita tidak ada dari segi peratusannya, walaupun kita dah sampai ke peringkat penghujung untuk membuat penilaian. Penilaian terakhir hanya akan kita buat apabila senarai calon-calon akan diumumkan. Saya tidak boleh meletakkan dari segi kuota-kuotanya kerana tidak adil untuk meletakkan peratusan kuota berapa orang lama, berapa orang baru kerana kemungkinan kita akan ada yang telah berfungsi dengan begitu baik dan yang efektif, maka kita akan kekalkan. Tapi kebiasaannya kalau dalam pilihanraya yang dulu hampir-hampir 40 peratus muka-muka baru tapi itupun berdasarkan penilaian di peringkat terakhir bukan semata-mata kita hendak letakkan peratusan jadi yang saya sebutkan di sini ialah dari segi kita hendak meletakkan peratusan adalah tidak wajar dan yang paling penting ialah melihat dari segi potensi setiap calon-calon yang ada untuk dikekalkan atau calon-calon baru yang hendak dinaikkan wanitanya, pemudanya, puterinya dan juga dewasanya.

Jika pada PRU13 lalu, BN Perak menggunakan formula calon langsung dan ia dilihat berjaya.  Apakah kali ini formula sama akan digunakan?

ZAMBRY: Kita akan melihat (formula itu), kita tidak boleh menutup ruang bagi yang berpotensi kerana Umno dan BN khususnya, kita melihat dari segi calon-calon yang bukan sahaja berpotensi untuk menang, tetapi juga sebagai tambahan kepada itu, mereka yang boleh melaksanakan tugas dan tanggungjawab selepas mereka dilantik. Ini bukan hanya sekadar untuk menjadi wakil rakyat kemudian selepas menjadi wakil rakyat dia tidak melaksanakan tugasnya dan pada masa yang sama apabila kita membentuk kerajaan kita perlu ada kemahiran mentadbir pengurusan dan sebagainya. Beberapa kualiti yang ada kita imbangkan yang berasaskan akar umbi, sampailah ke peringkat pentadbiran sebuah negeri dan juga di peringkat negara. Kesemua aspek ini diambil apabila BN membuat keputusan. Lantaran itu soal calon langsung dan sebagainya kebiasaannya dalam tradisi BN bukan sahaja di Perak tapi di mana-mana. Yang paling penting apabila mereka dilantik mesti ada kesesuaian mereka untuk duduk bersama dengan parti dan dia tidak boleh kata dia diambil secara langsung tetapi tidak ada sentuhan di peringkat bawah di peringkat parti untuk dia bersama-sama bekerja sebagai satu pasukan.

Adakah sebarang petunjuk prestasi (KPI) ditetapkan untuk calon?

ZAMBRY: Di negeri Perak kita ada pendekatan kita antaranya kita meletakkan KPI-KPI mereka iaitu yang pertama sejauh mana mereka berada dengan rakyat itu yang paling penting bagi kita. Keduanya sejauh mana kerajinan mereka. Kalau mereka jenis malas yang tak datang (program rakyat) , buat tak peduli mungkin nak jumpa sebulan sekali rakyat pun susah menyebabkan mereka tak penuh kriteria ini. Kita ukuran kita, salah satu daripada pendekatan kita lakukan, saya sendiri turun melalui pendekatan permukiman saya, jelajah saya, kerana saya menggunakan pendekatan Menteri Besar yang berada di bawah. Turun ke mana-mana, tidak berada di pejabat saya hanya menerima laporan-laporan dan telefon sahaja. Jadi kalau MB turun ke bawah dia tak turun ke bawah kira alamatlah. Dalam konteks Perak tiada YB bermusim kerana kita sepanjang tahun sejak tahun 2013 selepas itu kita bekerja sampailah ke saat ini.

Bagaimana BN Perak menilai pembangkang di negeri ini?

ZAMBRY: Menilai pembangkang ini, mereka pada saya mudah sahaja, mereka adalah pembangkang. Sama ada mereka kuat atau lemah, mereka ini, penilaian kita ini tidak boleh hanya mengambil mudah dengan apa keadaan sekalipun. Saya tidak boleh mengatakan dalam keadaan mereka berpecah mereka lemah ataupun mereka kuat sebenarnya mereka kita takut. Yang paling penting kita itu sendiri, kita yang berada di sini kena sentiasa bersiap sedia, berwaspada, bekerja keras dan supaya kita tidak terperangkap dalam permainan mereka. Dari segi kedudukan mereka sebenarnya,  mereka tidaklah menjadi satu Pakatan seperti mana yang diharap-harapkan walaupun mereka Pakatan Harapan, tetapi bagi saya, tidak seperti apa yang mereka harap-harapkan. Kerana kita dapat lihat masalah dalaman mereka sendiri, masalah pencarian kepimpinan di peringkat mereka, perebutan untuk kerusi dan sebagainya. Tambahan lagi pula dengan kemunculan parti-parti baharu seperti PPBM (Bersatu) dan juga Amanah kemudian bersama parti-parti yang lebih dominan seperti DAP dan sebagainya. Ini bukan merupakan suatu perkara yang mudah untuk mereka selesaikan. Ia perlu mengambil masa bertahun-tahun untuk mencari keserasian. Buat masa ini masing-masing mempunyai hala tujunya, masing-masing mempunyai matlamatnya, masing-masing menggunakan masing-masing dan agak sukar membentuk satu persepakatan yang benar-benar mantap di kalangan mereka. Walaupun mereka berada dalam keadaan begitu, dalam konteks kami, BN perlu terus mantap.

Sejak akhir-akhir ini, ramai pemimpin lama dan veteran bersuara dan mengkritik kepimpinan secara terbuka. Adakah ini memperlihatkan pemimpin lama ini lebih dekat atau menyokong bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan adakah ia beri kesan kepada akar umbi Umno?

ZAMBRY: Kalau kita lihat mungkin kerana kita terfokus kepada satu-satu nama golongan seperti yang disebutkan itu tetapi ramai juga lagi golongan-golongan lama yang masih berada bersama memberikan pandangan dan nasihat kepada kita dalam konteks yang ada iaitu terus bersama. Jadi untuk kita menutup mulut mereka mengatakan mereka tidak wajar sepatutnya mereka lebih tahu bagaimana pendekatan terbaik untuk mereka sampaikan seperti tokoh-tokoh ini. Mereka bukanlah orang baharu dalam parti tentunya mereka lebih mengetahui kaedah-kaedah parti kita. Macam saya nak menegur umpamanya, tentulah saya menegur dalam konteks berparti kita. Jadi saya nak sebutkan di sini, ketika mana ada yang menyuarakan begini, tetapi ramai juga yang tidak semestinya bisu. Kita juga memberikan pandangan dari tokoh-tokoh yang lama kerana perdana menteri dari segi karakter yang kita kenali, beliau mendengar, cuma kadang kala ada di kalangan kumpulan tertentu yang mengambil pendekatan sebaliknya. Jadi ini perkara yang dibahaskan di peringkat parti dan sebagainya. Sebab paling penting ialah semangat kepartian. Konsep berparti dan cara mencari jalan penyelesaian melalui kaedah berparti itu agak berlainan dengan kaedah orang biasa. Orang biasa dia akan sampaikan apa sahaja.

Bagaimana keadaan sokongan golongan veteran di Perak?

ZAMBRY: Alhamdulillah dalam konteks golongan veteran-veteran Umno dan BN di Perak ini, mereka begitu rapat dengan saya malah saya turut memenuhi (permintaan) sebagai menghormati mereka  dan mereka yang banyak berjasa dan apabila mereka nak menganjurkan program-program, saya bersama dengan mereka. Jemputan-jemputan yang mereka hantar kepada saya sebagai contoh kebiasaannya saya akan penuhi termasuklah saya sendiri menawarkan tempat mesyuarat mereka di kediaman saya sendiri. Jadi rasa saling hormat-menghormati itu, yang tua dikasihi menyebabkan tradisi kita khususnya Umno dan BN di negeri Perak ini kekal berada dalam keadaan baik dan mereka juga sentiasa berhubung dengan saya dan saya juga tidak mengenepikan bagi pandangan orang-orang lama ini terhadap kemaslahatan parti, kebaikan parti dan sebagainya.

Bagaimana nasib ahli dan pemimpin parti yang keluar menyertai pembangkang kemudian keluar dari pembangkang dan menyepi. Adakah mereka ini diperhatikan atau dipinggirkan?

ZAMBRY: Saya yakin bahawa mereka ini sebenarnya ahli Umno dan mereka sayang kepada parti. Mungkin kadangkala disebabkan oleh cetusan perasaan, emosi, atau membuat keputusan dalam keadaan tergesa-gesa, maka akhirnya apabila mereka berada di luar dari parti mereka dapat menyaksikan sendiri. Ada di kalangan mereka yang datang menceritakan kepada saya sebagai contoh. Bagaimana mereka menganggap segala-galanya indah di luar sana tetapi apabila berada di dalam, baru dia tahu dari segi keadaannya. Sebab itu di kalangan mereka ada yang keluar sama ada bersama-sama semula dengan Umno atau ambil langkah menyepikan diri sikit untuk sementara waktu. Namun, saya percaya bahawa perasaan mereka ini masih kepada Umno kerana mereka ini membesar, pendewasaan politik mereka sebenarnya dibina melalui pendekatan dan pemikiran Umno. Saya percaya Umno tidak membuang golongan-golongan ini. Saya tidak pernah dengar ucapan-ucapan daripada pemimpin kita oleh kerana mereka dah keluar kemudian patah balik, kita tak perlu ambil mereka. Bagi saya pintu parti masih terbuka buat mana-mana pihak yang ingin bersama-sama dengan BN dan Umno.

Setiap pemimpin memerlukan pelapis malah Datuk Seri pernah menyatakan kesediaan untuk berundur jika sudah tidak lagi diperlukan. Persoalannya, jika berundur sudahkah ada pelapis?

ZAMBRY: Sebagai seorang pemimpin, kita tidak selama-lamanya akan memimpin. Namun dalam masa yang sama sebagai seorang pemimpin juga kita bertanggungjawab membentuk barisan-barisan kesinambungan kepimpinan. Kalau kita tidak berjaya melakukan ini maka bagi saya dari satu aspek sebenarnya kita tidak berjaya dalam aspek kepimpinan keseluruhannya. Seorang pemimpin yang diangkat antara tugasnya ialah memikirkan siapa pemimpin selepasnya atau pun mencadangkan untuk membentuk barisan kepimpinannya. Dalam konteks negeri Perak, saya mengemukakan beberapa cadangan sama ada yang lama atau baharu agar ada barisan kita khususnya daripada generasi muda supaya mereka berada di kelok pelajaran untuk belajar pahit maung, asam garam dalam dunia politik, pentadbiran dan sebagainya. Ini sangat penting kerana kalau tidak ada proses ini kadang kala akan berlaku dipanggil ketegangan disebabkan ada yang merasakan dia paling sempurna, dia paling hebat dan sebagainya sedangkan dalam ilmu pengurusan politik dan ilmu pengurusan negeri, negara ia tidak semata-mata bersandarkan kepada kehebatan kita yang bergelar doktor dan sebagainya tetapi juga perlu mempunyai kehebatan akademik dan kehebatan dari segi pengalaman-pengalaman yang perlu ada dan diperolehi terlebih dahulu untuk menjadi pemimpin.

Di negeri Johor, mereka melancarkan Dekad Baharu Johor. Apa pula tawaran untuk rakyat Perak?

ZAMBRY: Sepertimana yang disebutkan sebelum ini, dulu kita pernah mengemukakan Amanjaya kita, dan kali ini kita akan membuat kesinambungan iaitu Amanjaya 2.0 kerana ini tekad keazaman kita dan di dalamnya mengandungi pelbagai perancangan untuk Perak dan rakyat keseluruhan aspek pembangunan sama ada pembangunan ekonomi, pembangunan sosial, pembangunan manusia dan lain-lain lagi yang perlu kita laksanakan bersama. Dari segi detailnya, kita telahpun merancang pelbagai aspek agar suatu hari nanti kita dapat melihat rakyat negeri Perak berada bersama-sama seiring dan setanding dengan negeri-negeri lain. Ini adalah harapan. Mungkin ada yang tersenyum sinis dan sebagainya tetapi bayangkan jika kita hanya merancang tetapi tidak ada visinya, impiannya tidak ada akhirnya ia tidak akan mencapai apa-apa dan jadi adhoc semata-mata. Kita telahpun meletakkan satu asas kita.

Pemerhati melihat hubungan dan kerjasama erat antara Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri merancakkan lagi  pembangunan di Perak, benarkah begitu?

ZAMBRY: Kita bersyukur kerana mempunyai seorang Timbalan Perdana Menteri daripada Perak. Saya secara peribadi hubungan dengan Datuk Seri (Dr Ahmad) Zahid telah berjalan begitu lama sekali dan mengimbau balik zaman pemuda walaupun saya junior kepada beliau ketika zaman beliau saya menjadi Ketua Pemuda Bahagian dan kami juga mempunyai sejarah yang sama. Kami berada ditahan dan dipenjarakan di bawah ISA (Akta Rahsia Rasmi) bersama. Jadi dari segi hubungan itu agak istimewa sedikit dan saya tidak nafikan itu. Hasil dari itulah menyebabkan dari segi perancangan untuk negeri Perak dapat dirancang dengan begitu baik sekali khususnya bagi pembangunan di kawasan Hilir Perak dan Bagan Datuk. Kerana Bagan Datuk seperti yang kita ketahui adalah kawasan yang sebelum ini agak ketinggalan sedikit dan saya juga memberikan dokongan kepada Datuk Seri Zahid agar beliau dapat terus melakukan sesuatu yang terbaik kepada Bagan Datuk kerana saya tidak boleh kata saya jelous dengan apa yang Datuk Seri Zahid bawa ke Bagan Datuk dan juga tempat-tempat yang lain kerana bagi saya itu adalah sebahagian daripada rahmat kita untuk orang negeri Perak dan apa yang dibawa ke Bagan Datuk itu tandanya apa yang dibawa ke negeri Perak. Kita perlukan pembangunan maksimum di Bagan Datuk. Hari ini kita lihat bagaimana hasil daripada usaha besar dan usaha bersungguh-sungguh TPM memberikan yang terbaik kepada kawasan Bagan Datuk yang saya difaham berbilion telah dibawa ke Bagan Datuk. Begitu juga dengan kawasan-kawasan lain di negeri Perak hasil persefahaman saya hubungan yang ada itu. Demikian juga saya berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Kedua-dua mereka sebenarnya begitu prihatin dan begitu baik dalam  membantu negeri Perak kita.