PEMILIHAN PKR bagi sesi 2018-2021 bakal berlangsung pada 14 September hingga 13 Oktober depan. Tumpuan terarah kepada PKR yang menjadi salah satu parti komponen kerajaan pemerintah.

Ikuti temubual wartawan Sinar Harian, Tuan Buqhairah Tuan Muhamad Adnan dan jurufoto, Sharifuddin Abdul Rahim bersama calon nombor 11 Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin di pejabatnya baru- baru ini.

Pemilihan PKR kali ini cukup berbeza dengan sebelum ini dan ia menjadi tumpuan di mana PKR kali ini merupakan sebahagian komponen parti kerajaan. Bagaimana YB lihat perkembangan pemilihan kali ini?

Saya fikir menarik selain ia sebahagian parti kerajaan. Kali ini pertandingan pemilihan dibuat di semua peringkat iaitu daripada timbalan presiden sehinggalah cabang. Ia merupakan pemilihan julung kali diadakan selepas menjadi parti teras kepada kerajaan PH.

Sudah pastilah tumpuan itu diberikan terhadap PKR. Untuk kita katakan ada perbezaan yang signifikan, saya fikir pemilihan ini adalah proses biasa dalam PKR. Ini bukan kali pertama kita anjurkan pemilihan dan memberi kuasa kepada anggota untuk memilih, tetapi ia lebih bersifat agresif sedikit kerana ramai anggota baharu masuk dan kemudiannya memilih untuk memegang jawatan dalam parti.

Sebab itulah ada sedikit ketegangan yang berlaku dalam proses kempen dan sebagainya.

Jadi adakah itu normal apabila wujudnya ketegangan dalam parti?

Iya, kerana pada kita demokrasi itu suatu proses yang bising. Sudah pasti apabila kita berkempen, mengeluarkan beberapa tawaran sedikit sebanyak membuat sindiran dan sebagainya. Kekuatan kepada PKR adalah kepelbagaian, antaranya kekuatan.

Kenapa YB hanya menjadi calon untuk mempertahankan jawatan naib presiden?

Saya tidak mahu ingin memadatkan lagi pertandingan di peringkat timbalan presiden.

Sebenarnya, secara peribadi saya berpegang kepada satu pendirian bahawa biarlah ia bersifat tenang dan tidak berlaku banyak pertandingan.  Dalam hal ini saya berpegang dengan pendirian bahawa untuk jawatan timbalan presiden biarlah ia sewajarnya gabungan antara pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Azmin Ali.

Itu pendirian saya. Sebab itulah apabila ada yang menawarkan untuk bertanding jawatan itu, pada saya ia sedikit sebanyak menggugat perjalanan parti dalam memberi khidmat kepada rakyat. Sekali gus menunjukkan PKR merupakan parti yang kuat.

Adakah ia benar (Shamsul kem Azmin)?

Saya tidak fikir ia tepat kerana kita semua bermuafakat di bawah kepimpinan Anwar.

Kita yakin selepas ini, PKR akan lebih berkembang dengan tokoh-tokoh yang lain. Dalam masa sama, kita akui ada beberapa kelemahan tetapi kepimpinan itu adalah satu proses yang panjang.

Ada pemimpin yang lahir daripada perjuangan rakyat iaitu tahun 1998 dan bertahan sehingga sekarang. Sewajarnya ia diberikan kedudukan dan peluang untuk terus berkembang, memberi khidmat setelah kita menang.

20 tahun kita berjuang bermula di jalan raya dan sekarang kita berada di Putrajaya. Kita perlu ada sedikit perasaan kesederhanaan untuk sabar dan memberi peluang kepada pemimpin senior. Seperti saya, saya mengambil keputusan untuk berada di lapisan kedua  selepas timbalan presiden untuk memberi sokongan kepada gabungan kedua-dua yang saya sebutkan tadi (Anwar dan Azmin). Di situlah fokus saya.

Saya harap anggota menilai apabila saya memimpin Melaka menjadi Pengerusi PKR negeri, kita bermuafakat telah merampas Melaka daripada BN yang pada awalnya tiada langsung dalam senarai negeri boleh dimenangi. Itulah sedikit sumbangan yang boleh saya berikan.

Kalau dilihat kesemua 12 calon naib presiden hebat-hebat belaka dan mempunyai kredibiliti masing- masing, jadi apa strategi YB?

Strategi saya mudah dan tidak memerlukan pemahaman yang tinggi untuk faham apa yang saya lakukan. Ada beberapa kapital politik sedia ada misalnya sebelum ini saya memimpin sayap sebagai Ketua Pemuda Keadilan dan sekarang, pemimpin muda sudah berada di peringkat yang tinggi.

Mereka ini saya gemblengkan untuk bersama-sama membantu saya dalam kempen ini.

Yang kedua, sebagai pemimpin akar umbi yang memperjuangkan reformasi sejak 1998, ada kumpulan menggelarkan mereka sebagai reformis bersama- sama dengan saya bagi memastikan anggota dan pemilih baru dapat menghayati makna perjuangan dan memilih saya.

Ketiga, sudah pasti kita bergerak sebagai pasukan. Saya ada pasukan bersama- sama rakan yang cenderung dalam perjuangan ini.

Kita sedia maklum naib presiden ada empat tempat sahaja, saya harap pengundi dapat memberi peluang kepada rakan lain seperti Tian Chua, Zuraidah Kamaruddin, Dr Xavier Jayakumar.

E-Voting diperkenalkan buat pertama kalinya pada pemilihan kali ini. Apa pandangan YB?

Ini menunjukkan PKR maju ke hadapan. Sudah pasti pelbagai cabaran perlu kita tangani misalnya sejauh mana anggota boleh memahami kaedah mengundi atas talian ini terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Mereka perlu diberikan latihan dan bimbingan. Dengan jumlah 800,000  pemilih, ia bukan suatu yang mudah. Sebab itulah saya harap Jabatan Pemilihan Parti (JPP) dapat terus turun ke akar umbi untuk menjelaskan caranya.

Ia bukan sekadar memberi penerangan tetapi sekali gus membina keyakinan bahawa sistem ini tidak boleh diceroboh dan ditipu.

Apa harapan YB pada pemilihan kali ini?

Saya harap kita dapat memberikan suatu pengertian dan kefahaman mendalam apabila fajar baru menyingsing pada 9 Mei lalu, rakyat meletak harapan yang tinggi kepada PH apatah lagi PKR.

Harapan ini berlaku selepas sempurnanya proses demokrasi melalui PRU. Isunya bagaimana PKR boleh menjadi parti yang mapan dan boleh meyakinkan rakyat untuk terus memberi khidmat.

Dalam istilah mudah, apa yang rakyat mahukan adalah sebuah parti mantap , anggota mendekati rakyat secara berterusan dan pimpinan memahami kehendak serta barisan kepimpinan parti yang bersedia demi memastikan harapan rakyat dipenuhi.

Mungkin YB ada manifesto?

Saya kemukakan tawaran untuk membawakan makna Malaysia Baharu bermaksud adil. Adil (A), demokrasi (D), inklusif (I) dan lestrai (L).

Ini yang saya kemukakan kepada parti. Kita mahu bawa obor dan mandat Malaysia Baharu sebegitu supaya anggota memahami asas perjuangan. Kita mesti berlaku adil kepada semua kelompok yang mana ia menggambarkan PKR yang satu- satunya parti menghayati makna kepelbagaian. Kepelbagaian adalah tunjang kepada sesebuah kekuatan.

Ini adalah andaian. Jika YB tewas dalam pemilihan kali ini, adakah YB bersedia melepaskan jawatan dalam  Kementerian Industri Utama memandangkan barisan Menteri Kabinet merupakan individu mempunyai jawatan dalam parti.

Saya fikir soalan sedia atau tidak itu tidak timbul kerana kedudukan dalam kabinet itu atas cadangan parti. Dan tentulah dalam hal ini perdana menteri telah membuat penelitian sebab itu ada nama yang dicadangkan tidak dipilih dalam barisan Kabinet.

Itu di atas keselesaan perdana menteri kita. Kita perlu bezakan secara jelas antara kedudukan dalam kerajaan dan parti.

Oleh kerana saya berkhidmat dalam PKR, sekiranya kepimpinan merasakan saya tidak perlu berada di dalam Kabinet, ia tiada masalah. Yang penting kesetiaan kepada perjuangan dan parti.