SHAH ALAM - Sayang kucing bawa rezeki?...

Kata-kata ini mungkin benar apabila seorang pelayar media sosial terkejut mendapati seekor kucing jalanan membawanya satu bungkus makanan yang tidak diketahui dari mana.

Kedengaran mungkin agak pelik tetapi menerusi Twitter Effy, dia telah memuatnaik dua keping gambar dimana terdapat seekor kucing berwarna kuning dan sebelahnya terdapat sebungkus makanan di hadapan pintu rumahnya.

Mengelar kucing itu sebagai Mama, katanya, kucing berkenaan sering membawa 'hadiah' pelik ke rumah tetapi kali ini berlainan apabila membawa nasi bungkus.

Meskipun menerusi Twitter itu tiada kenyataan tentang kebaikan yang telah dilakukan oleh si gadis itu tetapi kucing jalanan itu sering menjadi penjaga rumah sejak beberapa bulan lalu.

"Yang kelakarnya dia rembat dua bungkus nasi sebab dia tau waktu ini ada dua orang dalam rumah ni, sambal belacan pun ada sekali!.

"Ya, Mama memang pembawa rezeki, tak sabar tunggu esok 'lunch' dia bawak makanan apa, hehe tak tak gurau... ," katanya.

Dalam pada itu, Effy juga teruja apabila netizen sudi menaja kaedah 'kasi' atau memandulkan kucing berkenaan.

"Syukur ada hamba ALLAH nak menaja memandulkan Mama sebelum dipelihara. Moga dia murahkan rezeki dan untung bakal isterinya," katanya.

Rata-rata netizen juga menyokong tindakan si gadis untuk memelihara kucing berkenaan kerana kucing itu sangat baik dan pembawa rezeki.

Termasuk selebriti Adibah Noor yang turut memenuhi ruang bebenang dengan menyatakan kucing itu hendak bersama gadis berkenaan serta tolong belanya.

Twitter ini turut mendapat ciapan hampir 9,000 dan lebih 7,00 tanda suka dari netizen.

Harap kucing itu baik-baik sahaja dengan tuan barunya.